+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

SPR Belum Tetapkan Sebarang Tarikh Penting Bagi PRU15. Tarikh Penamaan Calon Dan Pengundian Yang Tular Hanya Spekulasi

Benarkah...

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Oktober, diikuti tarikh mengundi awal pada 1 November dan tarikh mengundi 5 November.

Sumber : WhatsApp / Oktober 2022

Hasil

Tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh-tarikh yang tular. Penetapan tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya sah diumumkan SPR.

10/10/2022 10:38 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tersebar maklumat mengenai tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
  • Menerusi maklumat tersebut tertera tarikh bubar (10 Oktober 2022), tarikh penamaan calon (22 Oktober 2022), tarikh mengundi awal (1 November 2022) dan tarikh mengundi (5 November 2022).
  • Tarikh-tarikh penting PRU15 itu tular beberapa jam selepas Perdana Menteri membuat pengumuman khas pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022.
  • Setakat laporan ini dikeluarkan, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak SPR berhubung tarikh berkenaan.
  • Mengikut peruntukan undang-undang, SPR bertanggungjawab menguruskan segala proses pilihan raya.
  • Dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, pilihan raya mesti diadakan berdasarkan kepada Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.


Sumber: Bernama

 

LATAR BELAKANG

Dua minggu kebelakangan ini hangat menjadi perbincangan ramai mengenai desas-desus Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Teka-teki itu akhirnya terjawab hari ini apabila Perdana Menteri secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen dalam satu Perutusan Khas pada 3 petang.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai pembubaran Parlimen ke-14, tengah hari semalam.

Sehubungan itu selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan pembubaran tersebut.

Susulan pembubaran tersebut, mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

 

MENGENAI DAKWAAN

Beberapa jam selepas Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, tular senarai tarikh penting bagi PRU15 iaitu tarikh penamaan calon, mengundi awal dan mengundi.

Maklumat itu tular menerusi aplikasi WhatsApp.

 


Sumber: WhatsApp

 

Ia menjadi persoalan ramai mengenai kesahihan tarikh berkenaan memandangkan Parlimen baharu sahaja dibubarkan.

Ramai yang inginkan kepastian sama ada tarikh-tarikh berkenaan benar atau tidak.

Mungkin mudah jika tarikh sudah dipastikan, bolehlah rakyat merancang cuti dan menyusun jadual untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Namun, jangan terburu-buru, biar MyCheck semak kesahihannya terlebih dahulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Disebabkan pengumuman pembubaran Parlimen ke-14 itu baharu sahaja diumumkan Perdana Menteri, MyCheck cuba menyemak jika terdapat sebarang maklumat rasmi daripada pihak SPR berkenaan tarikh yang tular itu bagi mendapat kepastiannya.

Setakat laporan ini ditulis (10 Oktober 2022), tiada sebarang kemas kini terbaharu berhubung perkara tersebut termasuk di laman media sosial SPR.

 

Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Tertakluk Kepada Bidang Kuasa SPR

Kami seterusnya cuba mencari sekiranya terdapat sebarang laporan berita berhubung tarikh-tarikh tersebut.

Menggunakan kata kunci ‘tarikh Pilihan Raya Umum ke-15’ menerusi enjin carian Google, apa yang kami temukan adalah seperti berikut.

 


Sumber: Google

 

Laporan-laporan yang ada hanyalah sekadar jangkaan atau spekulasi pihak-pihak tertentu sahaja, tiada maklumat rasmi.

AstroAwani melaporkan penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan SPR seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.

 

SPR Akan Adakan Mesyuarat Berkenan Tarikh-Tarikh Penting PRU15

Seterusnya kami menjumpai pautan yang melaporkan bahawa SPR baru sahaja mahu mengadakan mesyuarat khas.

Jika disemak menurut laporan Harian Metro yang disiarkan pada 6.44 petang, 10 Oktober 2022 menyatakan SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting PRU15.

Ia susulan Proklamasi Pembubaran Parlimen ke-14 oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra dekat Putrajaya, petang tadi.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat itu juga akan mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Maklumat yang sama juga turut dinyatakan dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPR hari ini, seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

KESIMPULAN

Penetapan tarikh-tarikh penting berhubung PRU seperti tarikh pencalonan dan hari mengundi ditetapkan SPR.

Maka sebarang informasi yang mendahului pihak berwajib tersebut merupakan maklumat yang tidak benar.

Apa pun sama-sama kita nantikan tarikh rasmi bilakah seluruh rakyat Malaysia boleh menjalankan tanggungjawab masing-masing pada hari mengundi kelak.

Kami di MyCheck faham ramai yang ingin tahu tarikh penting tersebut namun, anda perlu tahu prosedur dan proses selepas Parlimen dibubarkan serta peranan pihak SPR dalam menetapkan tarikh pengundian.

Infografik berikut mungkin boleh membantu memberi penjelasan yang jelas buat kita semua.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Hati-hati dengan sebarang informasi tidak pasti, khususnya spekulasi-spekulasi liar di musim PRU ini.

Sama-sama kita lebih cakna dengan fakta dan informasi sahih, Jangan Sebar Melulu, MyCheck dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. SPR akan tentukan tarikh penting berkaitan PRU15 - PM Ismail Sabri- AstroAwani 

  2. Parlimen bubar hari ini, pulang mandat kepada rakyat 

  3. Tarikh pilihan raya masih belum pasti -Mahdzir - Utusan Malaysia 

  4. Pembubaran parlimen kuasa budi bicara yang di-Pertuan Agong - BebasNews 

  5. SPR adakan mesyuarat khas 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.