+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tidak Semua Produk Yang Mempunyai Label Kod E Adalah Berasaskan Babi

Benarkah...

Terdapat 185 jenis produk seperti makanan dan sabun dihasilkan daripada babi dan dapat dikenal pasti menerusi kod E yang dilabelkan pada produk.

Sumber : WhatsApp / November 2022

Hasil

Tidak semua kod E pada sesuatu produk itu menandakan ia berasaskan babi. Ada juga produk dengan kod E bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan. Di Malaysia, produk dengan kod E yang mendapat pengesahan halal Jakim boleh digunakan tanpa waswas.

05/12/2022 04:31 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video mendakwa terdapat 185 produk kegunaan harian dihasilkan daripada babi. 
  • Perkara itu didakwa ditemukan seorang pelukis yang berasal dari Belanda, Christien Meindertsma yang membuat kajian serta penelitian terhadap produk-produk dihasilkan daripada babi.
  • Antara produk yang menggunakan sumber tersebut adalah seperti asid lemak daripada tulang babi digunakan untuk membuat sabun mandi dan makanan seperti kek dan manisan.
  • Produk yang disebut pelukis itu adalah seperti mentega rendah lemak, kek dan manisan makanan yang mempunyai kandungan kod E yang digunakan sebagai bahan aditif.
  • Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tidak semua produk dengan kod E berasaskan babi.
  • Jakim menjelaskan sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa waswas sekalipun mempunyai kod E.
  • Namun jika produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan kod E yang sama, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih produk tersebut.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Setiap agama menetapkan beberapa larangan bagi penganutnya.

Bagi umat Islam, hukum memakan daging babi atau organ badan haiwan itu adalah dilarang dan haram sama sekali.

Umum sedia maklum bahawa isu halal adalah perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam.

Sebarang dakwaan berkaitan produk atau makanan yang mempunyai kandungan babi amat dititikberatkan pengguna Muslim.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej berserta video menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat 185 produk dihasilkan daripada sumber babi.

 


Sumber: WhatsApp

 

Video berkenaan menyatakan ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa bahan asas yang digunakan untuk kehidupan seharian dihasilkan daripada sumber haiwan tersebut.

Perkara itu dikatakan ditemui apabila seorang pelukis yang berasal dari Belanda, Christien Meindertsma menghabiskan tiga tahun untuk membuat kajian serta penelitian terhadap produk-produk yang dihasilkan daripada babi.

Hasil kajian beliau mengejutkan apabila produk-produk untuk kegunaan harian itu telah menggunakan sumber tubuh badan babi termasuk tulang, rambut, kulit, daging dan darah bagi kepentingan konsumsi tanpa sisa.

Antara produk yang menggunakan sumber tersebut antaranya asid lemak daripada tulang babi yang digunakan untuk membuat sabun mandi, pelembut rambut, losyen badan dan ubat gigi.

Kolagen daripada babi digunakan untuk menyembuh jerawat manakala protein daripada rambut babi pula digunakan sebagai pelembut adunan roti, begitu juga dengan gelatin babi yang banyak ditemukan dalam makanan seperti aiskrim, jus buah, yogurt dan krim keju.

Benarkah dakwaan tersebut? Jom MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dari Mana Asal Video Ini?

Langkah pertama yang MyCheck lakukan adalah meneliti semula dakwaan yang dikongsikan melalui hantaran video tersebut.

Kami dapati  individu yang bercakap dalam video terbabit menggunakan bahasa Indonesia bagi menjelaskan berkenaan produk yang dihasilkan itu.

Ia jelas dapat dilihat melalui penggunaan bahasa dan struktur ayat yang digunakan dalam video tersebut.

 


Sumber: WhatsApp

 

Malah, penggunaan perkataan bahan baku adalah bahasa Indonesia yang membawa maksud bahan asas.

Seterusnya bagi mendapatkan maklumat lanjut, kami membuat carian rawak di enjin Google menggunakan kata kunci ‘185 produk dihasilkan daripada babi’.

 


Sumber: Google

 

Hasilnya, kami menemukan laman sesawang yang menerbitkan laporan berkenaan isu terbabit.

Namun, apabila kami klik satu persatu artikel yang tertera, kami mendapati kebanyakan laman sesawang tersebut diterbitkan dari negara jiran, Indonesia.

 

Video Christien Meindertsma: How Pig Parts Make The World

Seterusnya, carian kami menemukan video Christien Meindertsma: How pig parts make the world di YouTube.

Menerusi video itu Christien memberi ucapan awam di sebuah program TED pada 2010 yang mana beliau menceritakan bagaimana seekor haiwan, babi boleh menghasilkan pelbagai produk.

Christien memaklumkan bahawa beliau mengikuti perjalanan seekor babi yang diberi kod 05049 bagi menelusuri apa yang berlaku kepada haiwan tersebut bermula daripada proses penyembelihan, pemprosesan tubuh sehingga penghasilkan pelbagai produk.

Beliau menemui ramai individu yang terlibat seperti petani, tukang sembelih, pembuat aluminium dan lain-lain.

Christien juga membukukan hasil kajiannya dalam bentuk katalog ‘PIG 05049’ yang mengisahkan banyak produk diperbuat daripada babi.

 


Sumber: christienmeindertsma.com

 

Katalog itu mengandungi tujuh bab, terbahagi kepada kulit, tulang, daging, organ dalaman, darah, lemak dan lain-lain sekali gus menyatakan perspektif dan pandangan yang mendalam tentang bagaimana haiwan daripada satu sumber itu menyediakan bahan mentah untuk sejumlah besar produk bagi kegunaaan harian.

Menurut video TED tersebut, Christien mendapati babi boleh menghasilkan produk-produk seperti sabun, roti, mentega rendah lemak, kek, manisan dan makanan yang lain.

Malah, babi juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan komersial seperti ubat kosmetik, rokok, brek kereta api dan injap jantung.

Ini bermakna, video dakwaan yang diterima MyCheck itu adalah memetik kenyataan Christien Meinderstma terbabit.

Namun, siapa Christien Meindertsma ini?

 

Latar Belakang Christien Meindertsma

Menurut laman sesawang MutualArt , Christien Meindertsma yang lahir pada 1980 adalah seorang pelukis seni pasca perang dan pelukis kontemporari Belanda.

Beliau banyak menghasilkan karya seni dan projek yang melibatkan kajian bahan.

Bahkan, terdapat banyak galeri dan muzium utama seperti Muzium Stedeljik, Amsterdam yang mempamerkan karya-karyanya.

Beliau juga sering mengkaji berhubung penggunaan bahan-bahan mentah dan menghasilkan karya buku daripada hasil kajiannya termasuklah buku ‘PIG 05049’.

Bagaimanapun, perkara ini menimbulkan persoalan ramai ekoran bahan yang disebut oleh Christien itu mempunyai kandungan babi yang jelas menimbulkan keraguan dan kegusaran bagi umat Islam yang menitikberatkan isu halal dan haram.

 

Produk Yang Mempunyai Kod E

Produk yang disebut Christien seperti mentega rendah lemak, kek keju, kek dan manisan makanan itu mempunyai kandungan kod E yang digunakan sebagai bahan aditif.

Kod E sering kali dikaitkan dengan lemak babi, menyebabkan orang ramai salah faham berkenaan setiap produk yang mempunyai label kod E tersebut.

Menurut WorldOfIslam.info, kod dengan huruf E mewakili bahan tambahan tertentu yang digunakan oleh industri makanan dalam pembuatan pelbagai produk makanan.

Kod E merupakan aditif makanan dalam kandungan atau ramuan makanan yang telah melalui proses teknologi, ini termasuk pewarna, pemanis, pengawetan, pemekat dan seumpamanya.

Ia telah diformulasi dan dirumuskan oleh Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) dan diterima pakai secara universal oleh industri makanan di seluruh dunia.

Kod E adalah nombor rujukan yang digunakan oleh Kesatuan Eropah bagi memudahkan proses mengenal pasti bahan tambahan makanan.

Semua bahan makanan yang digunakan Kesatuan Eropah dikenal pasti melalui kod ‘E’ yang bermaksud ‘Eropah’ atau ‘Kesatuan Eropah’.

Suruhanjaya Kesatuan Eropah memberikan kod E selepas aditif makanan itu diluluskan oleh Jawatankuasa Saintifik mengenai Makanan (SCF) iaitu badan yang bertanggungjawab membuat penilaian keselamatan bahan tambahan makanan.

 

Aditif Makanan

Menurut portal rasmi Myhealth.gov, aditif makanan adalah bahan selamat dimakan yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.

Kementerian Kesihatan bertanggungjawab mengawal dan meluluskan penggunaan aditif dalam makanan, hal ini kerana penggunaan aditif hanya dibenarkan dalam makanan tertentu dan kadar maksimumnya telah ditetapkan seperti yang disenarai di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kementerian itu juga juga meluluskan penggunaanya apabila mendapati terdapat bukti kukuh bahawa aditif makanan tidak mendatangkan kesan bahaya kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, walaupun kod E atau aditif makanan ini selamat digunakan atau dimakan, namun ia tetap menimbulkan keraguan dalam konteks halal.

 

Respons Jakim

 


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Menurut Jakimtidak semua kod E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan adalah berasaskan daripada sumber yang haram.

Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan.

Berdasarkan kenyataan media Jakim, skim penomboran ini mengikut Sistem penomboran Antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius.

 


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Ia adalah koleksi pelbagai standard, kod praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan yang bertujuan untuk menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Menurut Jakim, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai kod E.

Tetapi sekiranya produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan kod E yang sama, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih produk tersebut.

 

KESIMPULAN

MyCheck kategorikan dakwaan ini sebagai bercampur.

Ini kerana tidak semua kandungan produk yang mempunyai kod E adalah berasaskan babi dan tidak halal.

Di Malaysia, sebarang produk walaupun dilabelkan kod E, boleh digunakan oleh pengguna Muslim namun dengan syarat ia mempunyai logo dan sijil pengesahan halal daripada Jakim.

MyCheck faham, wajib bagi pengguna Muslim menitikberatkan makanan atau produk yang dijamin halal dan selamat digunakan, namun, janganlah kita cepat melatah atau salah faham terhadap dakwaan yang tidak pasti kesahihannya.

Jadi, rajin-rajinlah semak logo halal dan membaca setiap kandungan yang dilabel sebelum membeli atau menggunakan apa jua produk.

Pesanan kami di MyCheck, jadilah pengguna bijak yang cakna terhadap pelbagai isu termasuklah isu halal.

Jika tidak tahu, jom semak fakta dengan MyCheck!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook Iyet Redy Heriyadi

  2. Christien Meindertsma: How pig parts make the world turn

  3. Christien Meindertsma | 2 Artworks at Auction | MutualArt

  4. PIG 05049 - christienmeindertsma

  5. FOOD INGREDIENTS NUMBERS (e-numbers) - WorldOfIslam - Halal & Haram Food

  6. ADITIF MAKANAN - Apa yang perlu anda tahu? - PORTAL MyHEALTH

  7. Kenyataan Media KP Jakim Berkenaan Penjelasan Kod E Yang Dikaitkan Mengandungi Lemak Babi

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.