Dr Nur Amalina Che Bakri aktif mempromosi dan menyarankan orang awam membeli produk kesihatan dari Jepun di akaun Facebook beliau.
Sumber : Facebook / Disember 2022
Pakar bedah itu memaklumkan bahawa beliau tidak memiliki sebarang akaun Facebook dan tidak pernah menjual, mempromosi atau menjadi duta mana-mana produk kesihatan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kebanyakan masyarakat Malaysia pasti mengenali pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.
Dr Nur Amalina mula dikenali selepas mencipta sejarah di Malaysia apabila menjadi pelajar Melayu pertama memperoleh paling banyak A iaitu 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.
Kini beliau merupakan seorang doktor pakar bedah berjaya di salah sebuah hospital terkemuka di London.
Biarpun menetap dan bertugas jauh di perantauan, kehidupan dan perkembangan Dr Nur Amalina sentiasa menjadi perhatian dan ‘diikuti rapat’ oleh masyarakat Malaysia menerusi media sosial.
Bahkan beliau yang aktif di Instagram dan TikTok juga sering menjadi rujukan ramai kerana berkongsi pelbagai aktiviti dan informasi termasuk berkaitan kesihatan dan perubatan.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu video yang dimuat naik di Facebook menggunakan nama akaun Dr Amalina bakri.
Dalam video itu terpapar gambar Dr Nur Amalina sedang memegang sejenis produk kesihatan berjenama Meizhou Chia Seed Cereal.
Suara latar menerusi video itu menjelaskan mengenai kebaikan produk berkenaan yang dikatakan mampu menurunkan berat badan serta menghilangkan bintik hitam dan kedutan di muka.
Video itu turut memaparkan beberapa artis tempatan seperti Amyra Rosli dan Mira Filzah serta angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan keluarganya.
Di ruangan komen pula disertakan pautan untuk mereka yang berminat membeli produk tersebut.
Namun benarkah Dr Nur Amalina menjual produk itu? MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Apa Itu Meizhou Chia Seed Cereal?
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk kesihatan itu, MyCheck membuat carian menerusi pautan yang dilampirkan di hantaran tersebut.
Bagaimanapun, kami dibawa ke laman portal yang menjual produk yang berbeza.
Kami kemudiannya membuat carian di Google menggunakan kata kunci ‘Meizhou Chia Seed Cereal’ dan berjaya mengesan laman yang menjual produk berkenaan.
Menurut laman itu Meizhou Chia Seed Cereal adalah sejenis bijirin campuran segera yang mengandungi lima bahan berkhasiat iaitu biji chia, serbuk akar teratai, buah jujube, benih bijan hitam dan buah kismis.
Selepas membuat penelitian, kami menemukan beberapa petunjuk yang agak meragukan.
MyCheck jelaskan kepada anda melalui gambar di bawah yang kami tandakan sebagai klu satu, dua dan tiga.
Banyaknya Akaun Facebook Dr Nur Amalina!
MyCheck seterusnya menelusuri laman sosial Facebook untuk mendapatkan kepastian sama ada benarkah akaun tersebut adalah milik Dr Nur Amalina.
Hasil carian kami mendapati ada lebih daripada tiga akaun Facebook yang menggunakan nama Dr Nur Amalina dan gambar beliau sebagai profil.
Kami membuka dan meneliti satu persatu akaun dengan nama Dr Nur Amalina itu dan mendapati kebanyakannya mempunyai gambar Dr Nur Amalina sama ada bersama suami, ibu atau anaknya.
Akaun-akaun itu pula mempromosikan pelbagai jenis produk kesihatan selain jenama Meizou itu.
Gambar Dr Nur Amalina Disunting
MyCheck kemudian meneliti video yang tular di salah satu akaun Facebook itu dan mendapati bahawa gambar Dr Nur Amalina yang dipaparkan bukanlah gambar asal sebaliknya ia telah diambil di akaun Instagram @dramalinabakri.
Gambar itu telah disunting seolah-olah beliau sedang memegang produk kesihatan.
Kenyataan Daripada Dr Nur Amalina
Dr Nur Amalina telah memuat naik satu kenyataan penjelasan mengenai perkara itu menerusi akaun Instagram beliau.
Menurut Dr Nur Amalina, beliau tidak pernah menjual atau menjadi duta bagi apa-apa produk kesihatan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak tertipu dengan scammer yang telah menyunting gambarnya.
Selain itu Dr Nur Amalina juga memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang akaun Facebook.
KESIMPULAN
Jelas di sini, kesemua akaun Facebook yang menggunakan nama Dr Nur Amalina adalah palsu.
Maka segala hantaran, video, gambar yang dimuat naik di mana-mana akaun Facebook itu tidak boleh dipercayai walaupun ia disertakan dengan gambar Dr Nur Amalina sendiri.
Jadilah pengguna media sosial yang peka dan tapis dahulu apa jua maklumat yang anda baca agar tidak terpedaya.
Sekiranya anda ingin membeli apa-apa produk kesihatan, semaklah dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk memastikan produk itu selamat untuk diambil.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.