Gelombang kedua angin kencang dijangka melanda Malaysia pada 27 Disember ini.
Sumber : WhatsApp / Disember 2022
Ia merupakan dakwaan lama yang pernah tular pada 2021. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga 22 Disember 2022 di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Cuti penggal ketiga persekolahan sudah bermula.
Tempohnya yang agak panjang iaitu kira-kira tiga minggu dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak.
Ada yang pulang ke kampung halaman, bercuti di pulau serta melancong di dalam dan luar negara.
Pelbagai aktiviti menyeronokkan dirancang seperti berkelah di taman dan pantai, serta rekreasi di sungai dan air terjun.
Bagaimanapun, keadaan cuaca yang kerap hujan dan sukar diramal pada musim tengkujuh kini menimbulkan kebimbangan ramai kemungkinan banyak rancangan yang disusun terpaksa dibatalkan.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu mesej di WhatsApp yang memaparkan ‘pesanan kepada orang ramai’ berserta pautan mengenai gelombang kedua angin kencang dijangka melanda Malaysia pada 27 Disember ini.
Dikatakan angin kencang dengan kelajuan 22 kilometer per jam (kmsj) dijangka melanda Kuantan manakala Langkawi akan dilanda angin kencang paling teruk iaitu pada kelajuan 35 kmsj.
Keadaan tersebut juga dikaitkan dengan risiko banjir kilat di Pulau Pinang termasuk jalan terjejas dari arah Johor ke Kelantan.
Orang ramai turut diingatkan untuk tidak melawat ke Langkawi atau kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung menjelang akhir bulan ini.
Maklumat dan dakwaan yang diterima ini pastinya menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk di Semenanjung Malaysia.
Apa pun jangan panik dahulu, biar MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Pertama sekali MyCheck membuka pautan yang dilampirkan di mesej tersebut dan kami dibawa ke laman sesawang earth nullschool iaitu suatu laman yang memaparkan gambaran ramalan cuaca di seluruh dunia.
Namun, laman tersebut tidak memberi apa-apa penjelasan yang berkaitan dengan dakwaan itu.
Kami seterusnya membuat carian rawak menerusi enjin carian Google menggunakan kata kunci ‘extreme wind on 27th December’ bagi mendapatkan maklumat jika terdapat laporan awal berkenaan perkara itu dalam tempoh 24 jam atau beberapa hari lepas.
Hasil carian kami mendapati terdapat beberapa laporan yang sepadan dengan dakwaan berkaitan.
Bagaimanapun, menerusi tarikh laporan-laporan itu diterbitkan, kami dapati ia merupakan laporan lama.
Dakwaan Lama Tular Semula
MyCheck kemudiannya klik pada pautan portal berita The Star bertarikh 22 Disember 2021 itu dan mendapati dakwaan yang sama diterbitkan dalam laporan tersebut.
Ini bermakna dakwaan sama pernah tular di media sosial pada 2021.
Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, dakwaan itu adalah separuh benar.
Dilaporkan MetMalaysia ada mengeluarkan jangkaan cuaca yang mana akan berlakunya luruan monsun dan hujan berterusan di kawasan Pantai Timur Semenanjung bermula 27 Disember 2021.
Namun kebarangkalian berlakunya hujan berterusan di kawasan tersebut adalah lebih rendah berbanding di Sabah Timur dan Sarawak Barat.
Tambah MetMalaysia lagi, angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut Cina Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung selama tiga hari.
Kenyataan MetMalaysia
Bagi mendapatkan maklumat ramalan cuaca terkini, MyCheck menelusuri laman sosial MetMalaysia di Twitter dan menemukan satu kenyataan rasmi dimuat naik oleh jabatan itu.
Menerusi kenyataan itu, MetMalaysia meramalkan bakal berlakunya luruan monsun di rantau negara sehingga 22 Disember 2022.
Fenomena cuaca tersebut juga boleh membawa kepada angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah.
Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 20 Disember 2022.
MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang serta laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan sehingga 22 Disember 2022.
KESIMPULAN
Maka jelaslah di sini bahawa mesej seumpama ‘pesanan khidmat masyarakat’ ini adalah dakwaan lama yang tular semula.
Tidak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga namun janganlah menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga mencetuskan panik dan cemas kepada orang ramai.
Semak www.met.gov.my atau muat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat keadaan cuaca yang terkini dan sahih.
Selamat bercuti dan berhati-hati ke destinasi!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.