+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Bukti Saintifik Sahkan Campuran Serbuk Cili Dan Air Panas Atasi Serangan Jantung Mengejut

Benarkah...

Campuran serbuk cili dan air panas mampu menyelamatkan nyawa individu yang mengalami serangan jantung mengejut.

Sumber : Laman sesawang / Disember 2022

Hasil

Pakar perubatan sahkan kaedah berkenaan adalah tidak benar. Kaedah itu juga bersifat anekdotal (pemerhatian tanpa kajian saintifik kukuh).

28/12/2022 08:54 PM

SEKILAS FAKTA

  • Sebuah laman sesawang dalam bahasa Myanmar mendakwa campuran serbuk cili dan air panas boleh mengurangkan simptom akibat serangan jantung.
  • Pakar perubatan sahkan dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
  • Dakwaan asal disebarkan oleh seorang pakar herba dari Amerika Syarikat melalui sebuah buku.

 

LATAR BELAKANG

Penyakit jantung merupakan penyumbang kematian tertinggi yang berlaku di seluruh dunia secara umum dan di Malaysia secara amnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang dipetik daripada laman sesawang kpkesihatan.com memaklumkan di Malaysia, penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di mana 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan berpunca daripada penyakit jantung.

Kematian akibat serangan jantung bukanlah perkara baharu kerana kita sering mendengar figura terkemuka atau selebriti  meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Sebagai contoh, pada 2020 dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian artis Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Pada September lepas, kita sekali lagi dikejutkan dengan pemergian pelakon era 80-an, Aman Shah yang meninggal dunia juga akibat serangan jantung.

 

MENGENAI DAKWAAN

Sebuah laman sawang dari Myanmar, Apannpyay.org menerbitkan artikel bertajuk bagaimana menyelamatkan individu yang berdepan serangan jantung secara mengejut.

Menurut artikel berbahasa Myanmar yang diterbitkan pada 20 November 2022 itu, terdapat satu kaedah tradisional yang diamalkan oleh seorang doktor perubatan Dr John Christopher dalam menyembuhkan individu yang mengalami serangan jantung secara mendadak.

Artikel tersebut mendakwa Dr Christopher yang dikatakan mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang perubatan telah menyelamatkan ramai nyawa pesakit yang berdepan serangan jantung menerusi penggunaan campuran lada dan air panas.

Penulis artikel berkenaan memaklumkan Dr Christopher berjaya menyelamatkan ramai pesakit yang berdepan serangan jantung mengejut dengan mencampurkan serbuk cili dengan segelas air panas dan memberi campuran minuman berkenaan kepada pesakit tersebut.

Dikatakan air panas membuka saluran injap jantung yang tersumbat, manakala serbuk cili akan melancarkan proses pengepaman darah ke seluruh badan.

“Kaedah ini boleh membantu menyelamatkan individu yang mengalami serangan jantung secara mengejut,” menurut artikel tersebut.

 


Sumber: Apannpyay.org

 

APA YANG KAMI TEMUI

Fungsi Jantung

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita perlu mengetahui tentang peranan yang dimainkan oleh jantung kepada tubuh manusia.

Jantung merupakan salah satu organ terpenting dalam tubuh manusia dan ia merupakan pusat bagi sebuah sistem dalam tubuh yang dinamakan sistem kardiovaskular.

Jantung merupakan organ yang unik dan berstruktur kompleks kerana ia terdiri daripada empat ruangan yang dipisahkan oleh dinding (myocardium) jantung dan injap-injap.

Ia dihubungkan oleh empat pembuluh darah utama yang membawa darah ke jantung atau menghantar darah daripada jantung ke organ lain.

Menurut sebuah laman sesawang pusat rawatan kesihatan, heartbit.com.my, jantung mempunyai beberapa peranan kepada tubuh manusia.

Antara fungsi terpenting termasuk mengepam darah ke seluruh tubuh dan memastikan semua bahagian tubuh terlindung daripada ancaman penyebab penyakit.

Sistem kardiovaskular yang dikawal oleh jantung pula berfungsi dalam mengawal suhu tubuh.

Pembuluh-pembuluh darah akan mengecut sekiranya suhu menurun untuk menyimpan haba dan akan mengembang ketika cuaca panas untuk mengeluarkan haba daripada permukaan kulit.

Sistem ini juga turut bekerjasama dengan organ lain seperti kelenjar peluh untuk mengawal suhu badan.

 

Jenis-Jenis Penyakit Jantung

Menurut sebuah laman sesawang pusat hentian setempat bagi rawatan kesihatan kepada golongan lelaki, suamisihat.com.my mendedahkan terdapat tujuh jenis penyakit jantung yang kebiasaanya berlaku disebabkan pelbagai faktor.

Penyakit jantung koronari merupakan penyakit jantung yang paling kerap berlaku di negara ini dan ia terjadi apabila salur darah yang bertindak membekalkan darah ke seluruh badan tersumbat dengan plak-plak yang berlebihan yang dipanggil sebagai atherosclerosis.

Ia menyebabkan saluran arteri jantung menjadi sempit dan mengeras.

Penyakit jantung ini kebiasaannya berkait rapat dengan beberapa punca seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan tinggi kolesterol.

Ia sering dipanggil sebagai serangan jantung mendadak.

Penyakit jantung kedua dikenali sebagai aritmia yang terjadi kepada pesakit yang mempunyai degupan jantung yang tidak normal.

Ia berlaku apabila isyarat elektrik yang dibekalkan kepada otot jantung tidak dapat berfungsi dengan baik dan ini menjejaskan fungsi jantung pesakit untuk mengepam darah ke seluruh badan.

Ia akan menyebabkan jantung mereka berdegup dengan laju atau perlahan tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Pesakit yang menghidap penyakit jantung ini sering berasa berdebar-debar atau rasa tidak sedap hati berbanding individu normal yang mengalami perubahan degupan jantung disebabkan oleh pelbagai faktor seperti penyakit darah tinggi, kerap bersukan, dan tidur yang tidak mencukupi.

Penyakit jantung ketiga pula dikenali sebagai kecacatan kongenital jantung dan ia berlaku kepada bayi dalam kandungan.

Ia turut dipanggil sebagai penyakit jantung berlubang.

Kecacatan pada jantung berlaku pada beberapa bahagian jantung seperti dinding, injap, otot dan saluran darah.

Kecacatan ini boleh mengganggu fungsi jantung untuk mengepam darah, peredaran darah boleh menjadi perlahan, pergi ke arah yang lain atau terhalang terus sama sekali.

Bayi yang lahir dengan kecacatan jantung kebiasaannya mempunyai simptom-simptom seperti kulit yang pucat kebiru-biruan (cyanosis) di beberapa bahagian tubuh seperti di tapak tangan, tapak kaki, mata dan bibir.

Selain itu, bayi yang mengalami kecacatan jantung turut menunjukkan beberapa simptom lain seperti bengkak di bahagian kaki dan tangan, sukar bernafas, kerap berasa penat dan tidak bertenaga serta mengalami degupan jantung yang tidak normal.

Penyakit jantung seterusnya dikenali sebagai kardiomiopati dan ia merupakan masalah yang berlaku pada otot jantung yang mana jantung mereka menjadi lebih tebal dan lebih keras berbanding jantung normal.

Otot yang tebal dan mengeras menyukarkan jantung untuk mengepam darah keseluruh badan, selain ia turut mengganggu proses jantung untuk mengembang dan mengecut.

Sekiranya penyakit jantung ini tidak dirawat, ia akan memberi kesan buruk kepada individu berkenaan termasuk berdepan kegagalan jantung, degupan jantung menjadi tidak normal, masalah pada injap jantung selain serangan jantung kardiak.

Terdapat beberapa punca seseorang individu itu boleh menghidap penyakit jantung kardiomiopati seperti tekanan darah tinggi, jangkitan kuman atau penyakit-penyakit lain selain disebabkan penyakit keturunan.

Penyakit jantung kelima dikenali sebagai endokarditis yang berlaku disebabkan kerosakan atau jangkitan yang berlaku di beberapa bahagian jantung seperti dinding atau injap jantung.

Pelbagai punca berlakunya penyakit jantung ini seperti jangkitan bakteria, virus dan elemen-elemen bahaya yang masuk ke dalam darah melalui mulut atau hidung.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh memberi kesan buruk kepada individu berkenaan seperti kerosakan pada injap jantung, penyakit aritmia selain boleh membawa maut.

Penyakit jantung seterusnya dikenali sebagai masalah injap jantung dan ia terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama ialah regurgitation yang mana darah kembali masuk ke dalam jantung dan ke arah yang salah; keadaan kedua dikenali sebagai mitral valve prolapse iaitu salah satu daripada injap jantung rosak dan tidak dapat tertutup dengan rapat.

Keadaan ketiga dikenali sebagai stenosis iaitu bukaan injap tidak cukup besar dan menyukarkan darah untuk bergerak.

Di dalam organ jantung terdapat empat injap utama yang sentiasa terbuka dan tertutup untuk mengawal pergerakan darah didalam jantung.

Injap kanan jantung akan terbuka apabila jantung mengembang dan ini menyebabkan darah dapat masuk kedalam ventrikel kanan ke ventrikel kiri.

Apabila otot jantung mengempis, darah akan ditolak keluar manakala injap kiri tadi akan tertutup bagi menghalang darah daripada berpatah balik ke ruang yang telah dilalui.

Masalah injap jantung boleh berlaku sejak lahir atau disebabkan oleh jangkitan kuman, serangan jantung ataupun penyakit-penyakit jantung yang lain.

Bunyi ‘murmur’ pada jantung merupakan salah satu tanda utama seseorang itu menghidap penyakit injap jantung.

Ia boleh didengari oleh doktor dengan menggunakan stethoscope iaitu sejenis alat yang digunakan untuk mendengar bunyi dalam tubuh manusia.

Penyakit jantung terakhir dikenali sebagai serangan kardiak yang berlaku apabila sistem elektrik jantung terganggu dan menyebabkan degupan jantung menjadi terlalu perlahan, atau terlalu laju atau terhenti dengan tiba-tiba.

Ini berbeza dengan serangan jantung, yang mana disebabkan oleh saluran pada jantung yang tersumbat.

Jantung manusia mempunyai sistem elektrik dalaman yang mengawal kadar degupan jantung.

Pelbagai punca yang menyebabkan seseorang individu mendapat serangan kardiak seperti kecederaan fizikal, penyakit keturunan atau mempunyai penyakit jantung yang lain.

Sekiranya seseorang individu berkenaan lambat menerima rawatan kecemasan, mereka boleh berdepan kematian kurang daripada lima minit.

Cara untuk merawat penyakit jantung seperti yang dinyatakan di atas adalah berbeza bagi setiap individu.

 


Sumber: suamisihat.com.my

 

Siapa Dr John Christopher?

Memandangkan artikel berkenaan menyebut seorang individu dikenali sebagai Dr John Christopher, kami membuat carian di Google bagi mengetahui latar belakang individu berkenaan yang dikatakan memperkenalkan kaedah rawatan tradisional itu.

Hasilnya, kami mendapati mendiang merupakan seorang pakar herba terkemuka dari Amerika Syarikat dan dikenali dengan rawatan ke atas manusia dengan menggunakan lebih 50 formula herba yang diciptanya.

Mendiang turut menerbitkan pelbagai jenis buku yang menceritakan mengenai kebaikan herba kepada manusia.

 


Sumber: drchristopher.com

 

Dakwaan Bukan Isu Baharu

Semakan lanjut di enjin carian Google membawa kami kepada sebuah buku bertajuk “Cayenne Cures” yang ditulis oleh mendiang Dr Christopher.

Antara dakwaan dalam buku itu adalah campuran serbuk cili Cayenne dengan segelas air panas mampu menyelamatkan individu yang mengalami serangan jantung dalam tempoh kurang seminit.

Kami membuat perbandingan di antara dakwaan dalam artikel berkenaan dan tulisan mendiang Dr Christopher dalam buku tulisannya dan mendapati kaedah yang digunakan dalam kedua-dua dakwaan berkenaan adalah hampir sama.

Perbezaan di antara dakwaan di antara dua kaedah berkenaan hanyalah pada jenis cili sahaja, iaitu artikel asal tidak menjelaskan jenis cili manakala tulisan Dr Christopher menjelaskan mengenai penggunaan cili Cayenne.

Lebih menarik, kami menemui sebuah artikel terbitan laman sesawang thesurvivaldoctor.com yang membuat semakan mengenai sejauh mana dakwaan Dr Christopher itu mampu menyelamatkan nyawa seseorang individu yang berdepan serangan jantung.

Laman sesawang berkenaan mendedahkan walaupun wujud kajian yang menyatakan penggunaan serbuk cili mampu mengurangkan risiko serangan jantung, namun tiada bukti kukuh mengesahkan ia mampu menyelamatkan nyawa individu yang mengalami serangan jantung.

Dakwaan yang dikeluarkan oleh Dr Christopher itu juga disifatkan anekdotal (pemerhatian tanpa kajian saintifik kukuh).

 


Sumber: thesurvivaldoctor.com

 

Cili Cayenne Ada Kebaikan Kepada Kesihatan Manusia?

Mungkin ramai di antara kita tertanya apakah itu cili Cayenne dan adakah ia membawa kebaikan kepada kesihatan tubuh manusia?

Berdasarkan laporan beberapa laman sesawang berkaitan herba dan kesihatan, cili Cayenne merupakan sejenis cili daripada keluarga Capsicum dan ia dikatakan berasal dari Cayenne, ibu negara French Guiana yang terletak di benua Afrika.

Ia banyak digunakan dalam pelbagai jenis masakan seperti barat daya Amerika, Mexico, Cajun, and Creole selain turut digunakan sebagai serbuk rempah untuk penambah rasa dalam masakan Korea, Sichuan dan beberapa masakan Asia yang lain.

Kami menemukan pelbagai laman sesawang yang menerangkan mengenai kebaikan cili Cayenne kepada kesihatan jantung.

Laman sesawang Healthline.com mendedahkan satu kajian yang dijalankan pada 2019 membabitkan 22,811 lelaki dewasa di Itali mendapati pengambilan cili secara kerap dikatakan mampu menurunkan risiko kematian akibat penyakit jantung.

Laman sesawang healthiersteps.com pula mendedahkan satu kajian mendapati sejenis bahan kimia yang menjadikan cili menjadi pedas dikenali sebagai capsaicin dalam cili Cayenne boleh mencegah pengumpulan kolesterol dalam saluran arteri, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

 


Sumber: healthline.com

 

Pandangan Pakar

Kami membuat semakan di enjin carian Google dan media sosial bagi mendapatkan kesahihan dakwaan serbuk cili dan air panas bagi mengatasi serangan jantung namun tidak menemukan sebarang kajian saintifik yang kukuh menyokong dakwaan itu.

Terdapat pelbagai kaedah tradisional yang didakwa oleh warganet bagi merawat sakit jantung seperti mencampurkan kuning telur dengan madu lebah asli, memakan buah tunjuk langit, makan buah kurma dan beberapa petua lain, namun ia juga tidak dapat dibuktikan dengan fakta sahih.

Apa yang kami temukan adalah kaedah yang disarankan untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Pakar Perubatan Dalaman & Jantung, Kol (B) Dr Mohamad Anuar Mohamad menerusi TikTok mencadangkan tujuh kaedah bagi mengatasi penyakit jantung koronari.

Tujuh kaedah itu adalah melakukan aktiviti fizikal bagi menguatkan jantung, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, mengawal berat badan, mengawal tekanan diri, mengawal paras kolestrol dalam badan menerusi pemantauan berkala, senaman dan pemakanan seimbang.

Kaedah lain adalah tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

 


Sumber: Tiktok Dr Anuar Mohamad

 

Pengesahan Badan Semakan Fakta

Kami turut menemukan artikel daripada beberapa badan semakan fakta yang turut membuat semakan mengenai dakwaan itu.

Antaranya adalah AFP Fact Check dan Mafindo yang mendapatkan pandangan pakar perubatan yang mengesahkan dakwaan tular adalah tidak benar dan kaedah tersebut tidak berkesan dalam merawat serangan jantung.

 


Sumber: AFP Fact Check, Mafindo

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan ini adalah tidak benar kerana tiada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa penggunaan serbuk cili dan air panas mampu mengurangkan risiko serangan jantung secara mengejut.

Walaupun terdapat kajian yang mengaitkan kebaikan cili kepada jantung, namun ia tidak dapat dibuktikan mampu merawat individu yang mengalami serangan jantung.

Dapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital jika diserang sakit jantung.

Jangan berlengah kerana setiap saat yang terbuang adalah sangat berharga, untuk menyelamatkan nyawa.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Kenyataan Akhbar KPK 29 September 2022 Sempena Hari Jantung Sedunia 2022

  2. How to immediately save a person who has a sudden heart attack?Published by Apannpyay.org

  3. 7 Jenis Penyakit Jantung – Heart Bit EECP

  4. Jenis Penyakit Jantung – Perbezaan, Risiko, Cara Mencegah, Dan Banyak Lagi.Diterbitkan oleh suamisihat.com.my

  5. Does Cayenne Pepper work if youare having a heat attack?Published by the survivaldoctor.com

  6. Cayenne by Dr John Christopher

  7. 6 Potential Health Benefits of Cayenne Pepper.Published by healthline.com

  8. 9 Incredible Benefits of Cayenne Pepper.Published by healthiersteps.com

  9. TikTok Kol (B) Dr Anuar Mohamad

  10. Burmese posts falsely claim hot water with chilli powder mixture can treat heart attacks.Published by AFP Fact Check

  11. [SALAH] Cara Cepat Menyelamatkan Seseorang Dari Serangan Jantung Dengan Bubuk Cabai.Diterbitkan oleh Mafindo

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.