+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Rempah Jenama McCormick Tidak Mengandungi Babi. Dakwaan Timbul Akibat Salah Memahami Bahasa Inggeris Pada Label Produk

Benarkah...

Rempah berjenama McCormick tidak halal kerana mengandungi babi.

Sumber : TikTok, Twitter / Januari 2023.

Hasil

Produk itu tidak mengandungi babi dan pemegang sijil halal yang sah. Individu yang menularkan dakwaan itu tersalah membaca maklumat dalam bahasa Inggeris pada label di botol rempah.

21/01/2023 04:23 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video seorang wanita mendakwa rempah jenama McCormick yang terdapat di pasaran mengandungi babi.
  • Wanita itu meminta orang ramai berhati-hati semasa membeli produk tersebut kerana menurutnya mengandungi unsur yang haram bagi orang Islam.
  • Rempah jenama McCormick tidak mengandungi babi dan pemegang sijil halal Da’wah Islamic Council of The Philippines (IDCP) yang merupakan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
  • Dakwaan timbul ekoran pemilik video yang tersalah membaca dan memahami label dalam bahasa Inggeris yang tertera pada botol rempah.
  • Apa yang tertera di botol rempah adalah 'USE ON’ bermaksud ‘guna pada’ dan ‘USE IN’ iaitu ‘guna dalam’ yang merupakan cadangan untuk penggunaan rempah itu, bukannya bermaksud kandungan di dalam rempah itu.
  • Dakwaan seumpama ini dikategorikan sebagai maklumat salah (misinformation), iaitu informasi yang tidak disengajakan seperti salah kapsyen, terjemahan atau maklumat jenis satira yang dianggap serius oleh khalayak.


Sumber : Canva

 

LATAR BELAKANG

Rempah ratus merupakan antara bahan asas yang cukup sinonim dengan pelbagai menu masakan citarasa tempatan mahupun antarabangsa.

Bahan tersebut diperbuat daripada tumbuhan yang beraroma kuat, dikeringkan kemudian diproses untuk ditambah ke dalam masakan bagi membangkitkan rasa.

Jika di Malaysia masakan Melayu atau India sememangnya kita tahu banyak menggunakan rempah ratus.

Namun tidak kurang juga dengan masakan Cina mahupun barat seperti ayam dan daging panggang, stik, stiu dan sebagainya.

Selain ayam dan daging, ada juga yang mempelbagaikan citarasa dengan menggunakan makanan laut, daging itik, puyuh atau ayam belanda.

Terdapat pelbagai jenis rempah ratus yang telah diproses dan dibotolkan di pasaran.

Pilih sahaja sama ada anda mahu serbuk lada hitam, lada putih, rempah campuran, parsley, cajun , kayu manis, rempah Itali, oregano dan banyak lagi.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Twitter

 

Baru-baru ini tular satu dakwaan di bahawa rempah berjenama McCormick mengandungi unsur tidak halal iaitu atau daging babi.

Seorang wanita dikatakan telah merakam satu video di sebuah pasar raya dengan menunjukkan beberapa produk rempah McCormick.

Menurut wanita itu rempah McCormick tidak halal kerana mengandungi bahan berunsur babi berdasarkan perkataan ‘pork’ atau daging babi yang tertera pada belakang botol rempah itu.

Wanita berkenaan turut meminta orang ramai untuk berhati-hati semasa membeli produk tersebut kerana menurutnya mengandungi babi yang haram bagi orang Islam.

MyCheck juga diajukan pertanyaan sama oleh orang awam berkenaan isu tersebut untuk kepastian.

 


Sumber: WhatsApp

 

Selain itu terdapat akaun di Instagram dengan nama @tiktok.viral.my turut bertanyakan kepada @MyCheckofficial sama ada kami telah menyemak isu tular di TikTok tersebut.

 


Sumber: Instagram

 

Apabila sesuatu perkara atau isu itu telah tular di media sosial, pastinya ada pihak yang terkesan dan keliru.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal halal dan haram sesuatu produk di pasaran. Bagi orang Islam perkara seumpama ini amatlah dititikberatkan.

MyCheck berperanan bukan sahaja menyemak fakta malah kami bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memahami kriteria maklumat tidak sahih serta implikasinya.

Justeru, mari kami jelaskan satu persatu untuk anda ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Isu ini tidak sukar untuk kita kesan di mana silapnya kerana ia sedang mendapat perhatian ramai dan ramai yang sebenarnya faham kekeliruan sebenar.

Bagaimanapun, kami di MyCheck berpendapat tidak semua dalam kalangan kita mempunyai kemudahan media sosial untuk tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Paling parah apabila segelintir golongan yang tidak mempunyai akaun media sosial mendapat maklumat seperti ini hanya dari cakap-cakap orang.

 

Video Asal Daripada Pengguna TikTok

Jika dilihat berdasarkan tangkap layar di bawah ini, kandungan video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dengan nama @nurshaheera1 telah tular di kebanyakan platform media sosial lain seperti di Twitter.

 


Sumber: Twitter @isusemasaviral

 

Perkongsian Twitter Isue Semasa Viral berkenaan dakwaan tular itu telah mendapat sebanyak 3.1 juta tontonan dan lebih 6,000 ciapan semula setakat laporan ini ditulis.

Melihat kepada kapsyen pada video ciapan akaun Twitter berkenaan 'sumpah confident dia tu sampai tahap dewa', dapat kita fahami bahawa ada sesuatu tidak tepat mengenai kandungan video yang viral itu.

Apabila MyCheck melihat video tular milik pengguna akaun Tiktok @nurshaheera1, ternyata memang maklumat yang didakwa tidak tepat.

Bagaimanapun, kami tidak dapat menjejaki semula pemilik asal akaun TikTok tersebut untuk melihat lebih lanjut sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung tujuan sebenar beliau memuat naik video tersebut.

Difahamkan juga akaun TikTok wanita itu sudah ditukar kepada tetapan peribadi dan tidak boleh diakses secara umum.

 

Salah Faham Maksud Label Produk

Seterusnya kami menelusuri komen dan reaksi warganet berkenaan kandungan video tular tersebut.

Ternyata ramai yang memberi nasihat dan pandangan masing-masing.

 


Sumber: Twitter

 

Jika melihat kepada reaksi yang diberikan oleh warga Twitter seperti dalam tangkap layar di atas, jelas terdapat salah faham dalam memahami bahasa Inggeris pada label rempah jenama McCormick itu yang menyebabkan timbulnya dakwaan sedemikian.

Individu yang merakamkan video itu dan mendakwa ia mengandungi babi mungkin terlepas pandang atau tidak memahami perkataan ‘USE ON’ dan ‘USE IN’ yang tertera pada belakang botol rempah.

'USE ON’ bermaksud ‘guna pada’ manakala ‘USE IN’ bermaksud ‘guna dalam’ yang merupakan cadangan untuk penggunaan rempah itu, sama ada untuk ditambah ke dalam sajian, ditabur di atas bahan tertentu atau digandingkan dengan rempah lain, bukannya bermaksud kandungan di dalam rempah itu.

Beberapa jenis daging yang disenaraikan pada USE ON adalah beef (daging lembu), chicken (daging ayam), lamb (daging kambing), pork (daging babi), fish (ikan) dan seafood (makanan laut).

Individu yang membuat dakwaan itu bagaimanapun mentafsirkan frasa 'USE ON PORK' yang bermaksud guna pada daging sebagai ‘CONTAIN PORK’ iaitu mengandungi babi.

 


Sumber: Twitter

 

Jelas sekali rempah tersebut boleh digunakan pada pelbagai jenis bahan mentah antaranya seperti yang dicadangkan di belakang botol rempah.

Ia sama sekali tidak membawa maksud bahawa rempah itu mempunyai kandungan atau diperbuat daripada bahan yang mengandungi daging babi.

 

Rempah McCormick Pemegang Sijil Halal

Memetik laporan The Star, rempah ratus jenama McCormick adalah pemegang sijil halal Da’wah Islamic Council of The Philippines (IDCP).

“Additionally, McCormick Singles are recognised as halal-certified by the Islamic Da'Wah Council of the Philippines (IDCP), a halal-body that is recognised by the Department of Islamic Development Malaysia,” menurut laporan The Star.

IDCP merupakan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 

Dakwaan Dikategori Sebagai Maklumat Salah (Misinformation)

Mengikut istilah bagi jenis-jenis maklumat tidak benar dalam semakan fakta, maklumat salah ialah informasi yang tidak disengajakan seperti salah kapsyen, tarikh, statistik, terjemahan atau maklumat jenis satira yang dianggap serius oleh khalayak.

Selain maklumat salah, terdapat juga maklumat jenis palsu (disinformation) iaitu kandungan yang sengaja dibuat-buat atau dimanipulasi. Maklumat jenis ini juga biasanya bertujuan dengan sengaja menghasilkan teori konspirasi dan khabar angin.

Ketiga ialah jenis maklumat hasad (malinformation) iaitu sengaja menerbitkan maklumat peribadi individu atau organisasi yang bukan bertujuan untuk kepentingan awam tetapi sengaja menukar maklumat serta kandungan asli bagi membalas dendam atau merosakkan reputasi.

Ketiga-tiga jenis maklumat tidak benar ini sememangnya memberi kesan dan impak yang tersendiri kepada masyarakat umum jika ditularkan tanpa ada usaha membanterasnya.

Antara kesannya ialah orang ramai ada yang menjadi panik, risau, terancam, takut serta membentuk persepsi dan kepercayaan dalam sebuah komuniti secara salah.

Jika isu yang tular itu lebih serius, tidak mustahil ia boleh menjurus kepada kekacauan, menggugat kestabilan sosial dan sebagainya.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul dan semak jelas bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

Walaupun dakwaan ini mungkin kelihatan remeh namun hakikatnya ada pihak yang terkesan sehingga berasa waswas kerana telah menggunakan rempah jenama tersebut bertahun lamanya.

Selain itu ada juga yang terfikir untuk membuang bahan masakan itu sebaik menerima dakwaan itu dari WhatsApp.

Isu seperti ini sepatutnya membuat kita sedar betapa pentingnya untuk masyarakat membuat semakan maklumat dalam apa juga perkara.

Tidak kira sama ada anda di pihak yang ingin berkongsi maklumat, penerima maklumat atau berniat untuk menyebarkan maklumat kepada orang lain.

Periksa fakta terlebih dahulu sebelum diwarwarkan kepada umum.

Apa pun kemusykilan yang anda fikirkan, 'jangan sebar melulu, MyCheck dulu ya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. M'sian Claims Cajun Seasoning Has Pork In It But She Just Didn't Read The Label Carefully 

  2. TikToker Condemned For Assuming Spices Contain Pork When Label Reads 'Use On' - WORLD OF BUZZ 

  3. Viral video claiming spices filled with pork ingredients condemned-MSN 

  4. Malaysian woman claims McCormick’s Cajun season has pork in it, gets schooled by social media users- Yahoo News

  5. Ini Rupanya Kegunaan Rempah Ratus McCormick Dan Bahan Dapur Lain Yang Wajib Korang Tahu | Daily Makan

  6. Kecoh rempah ratus kandungi ‘babi’, rupanya wanita salah baca Inggeris - Kosmo Digital 

  7. Yakin dakwa rempah ada 'pork', netizen sekolahkan wanita tak faham Inggeris 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.