Stesen minyak di seluruh Malaysia akan mengenakan caj pengisian angin tayar bermula 1 Februari 2023.
Sumber : Twitter / Januari 2023
Tiada kenyataan rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN). Dakwaan itu merupakan satira atau gurauan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Umum pasti tahu, untuk memiliki sesebuah kenderaan, kita bukan sahaja perlu memiliki wang untuk membeli kenderaan itu, tetapi juga mempunyai wang untuk minyak, insurans dan menyelenggara kenderaan tersebut.
Kos penyelenggaraan biasanya bergantung kepada jenis kenderaan yang kita miliki, namun ada kos wajib atau rutin yang diperlukan oleh hampir semua kenderaan iaitu penyelenggaraan tayar.
Tayar merupakan antara aspek penting dalam memastikan keselamatan kenderaan di jalan raya, namun adakala kos penyelenggaraannya agak tinggi.
Kebiasaannya pengisian angin tayar adalah percuma dan bagi tayar yang tidak bermasalah seperti bocor atau lain-lain, anginnya boleh diisi sendiri oleh pemilik kenderaan di mana-mana stesen minyak tanpa sebarang caj.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menemukan satu dakwaan tular di Twitter menyatakan stesen minyak di seluruh negara akan mengenakan pembayaran bagi pengisian angin tayar kenderaan bermula 1 Februari 2023.
Berdasarkan ciapan pengguna Twitter dengan nama akaun @shirocut3, kesemua pengusaha stesen minyak telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan untuk mengenakan caj tersebut kepada pelanggan berikutan tarif elektrik yang meningkat.
Selain itu, pelanggan juga dikatakan perlu membayar RM3 di kaunter sebelum mengisi angin tayar kenderaan mereka.
Kami dapati dakwaan yang sama juga tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Tapi betul ke ada caj pengisian angin ini? Mari kami semak dulu!
APA YANG KAMI TEMUI
Pertama sekali, kami membuat carian rawak di enjin Google bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung dakwaan tular.
Bagaimanapun kami tidak menemukan mana-mana media arus perdana yang melaporkan berita berkaitan dakwaan itu.
Tiada Kenyataan Rasmi Daripada KPDN Mengenai Dakwaan Tular
Seterusnya kami ke portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup dan membuat carian menggunakan kata kunci ‘harga angin tayar’ namun pencarian kami nihil (tidak ada sesuatu apa, kosong) juga.
Dakwaan Sebenarnya Adalah Gurauan
Kami kemudian menelusuri Facebook untuk membuat pencarian lanjut dan berjaya mengesan beberapa hantaran yang hampir sama dengan dakwaan.
Setelah meneliti satu persatu hantaran tersebut, kami dapati dakwaan yang dikatakan sebenarnya adalah sebuah gurauan.
Menurut hantaran yang dimuat naik di satu akaun Facebook menggunakan nama Penduduk Tikam Batu Sungai Petani Kedah, dakwaan tersebut mempunyai sambungan seperti gambar yang kami telah tandakan di bawah.
Berdasarkan hantaran tersebut, penulis menyatakan semua itu (dakwaan) hanya terjadi di dalam mimpi.
Bahkan penulis turut menyatakan bahawa jangan mempercayai hantaran yang ditulis kerana beliau hanya ingin menguji mereka yang hanya suka membaca tajuk tetapi tidak membaca keseluruhan cerita atau berita.
Jelas, hantaran itu berbentuk satira atau gurauan.
Individu yang menulis dan memuat naik hantaran itu mungkin menulisnya untuk suka-suka namun telah menjadi tular.
Lebih buruk apabila mereka yang berkongsi dakwaan itu hanya mengambil separuh daripada keseluruhan hantaran yang ditulis, sehingga mencetuskan panik kepada orang ramai.
KESIMPULAN
MyCheck kategorikan dakwaan tersebut sebagai maklumat tidak benar kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh KPDN mahupun kerajaan.
Bahkan penulis hantaran itu juga telah menyatakan bahawa usah mempercayai apa yang ditulisnya kerana ia (dakwaan) hanya berlaku di dalam mimpi.
Namun, walaupun dakwaan itu jelas adalah gurauan, ia telah mencetuskan rasa bimbang dan tidak puas hati kepada orang ramai.
Salah siapa? Penulis hantaran berbentuk gurauan itu atau mereka yang menyebarkan maklumat tidak penuh?
Salahkan diri kita yang sering bulat-bulat mempercayai maklumat tersebar yang belum pasti kesahihannya itu.
MyCheck berharap agar rakyat Malaysia akan lebih berhati-hati dan bijak semasa menggunakan media sosial dan latih diri untuk tidak terburu-buru percaya yang palsu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.