Terdapat kertas undi yang telah dicetak dan siap ditanda pada nama calon dan parti diedarkan kepada pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sumber : Twitter / Ogos 2023
Kertas undi tersebut hanyalah ‘mockup’ dan tidak mempunyai ciri-ciri lengkap kertas undi rasmi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Pilihan raya merupakan waktu yang genting bagi rakyat Malaysia kerana mereka perlu membuat pilihan untuk menentukan parti politik dan pemimpin mana yang berkemampuan untuk menyelesaikan kesulitan negara.
Pada waktu itulah, kesemua parti politik bertungkus lumus mempromosikan manifesto masing-masing untuk meraih sokongan dan kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun, semasa hari pengundian PRN membabitkan enam negeri pada 12 Ogos 2023, muncul spekulasi yang mengatakan terdapat satu parti politik telah bertindak licik untuk menang undi dengan mudah.
MENGENAI DAKWAAN
Menerusi pemantauan MyCheck di Twitter, kami mengesan satu ciapan tular mendakwa terdapat sebuah parti politik telah mencetak dan mengedar kertas undi klon semasa hari pengundian.
Menerusi ciapan bebenang oleh @wanfayhsal yang juga merupakan ahli politik, beliau mengatakan parti Pakatan Harapan (PH) telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana mengedar kertas undi yang siap di pangkah kepada pengundi di DUN Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 12 Ogos 2023.
Beliau turut memuat naik gambar kertas undi tersebut, menunjukkan ia telah dipangkah pada bahagian kotak di sebelah logo dan nama calon parti Pakatan Harapan.
Perkara ini telah membuatkan orang ramai terkejut dan marah.
Warganet turut meninggalkan komen-komen mengajukan ketidakpuasan hati mereka terhadap penipuan undi sedemikian.
Namun betul ke ada pencetakan dan pengedaran kertas undi klon ini? MyCheck semak kesahihannya dulu!
APA YANG KAMI TEMUI
Kertas Undi Tidak Mempunyai Ciri-Ciri Yang Lengkap
Bagi memulakan semakan, MyCheck meneliti gambar tular terbabit dan kami sedari kertas undi yang dipaparkan itu tidak mempunyai ciri-ciri kertas undi rasmi yang lengkap.
Menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981, antara kriteria kertas undi rasmi adalah ia mesti mempunyai suatu nombor tercetak pada sudut kiri sebelah atas dan dicantum pada kaunterfoil yang mana nombor yang sama juga tercetak padanya.
Selain itu, setiap kertas undi perlu dicap dengan tanda rasmi SPR atau ditandatangani oleh ketua tempat mengundi di sebelah tepinya sebelum diberikan kepada pengundi.
Bagi mendapatkan pandangan jelas rupa kertas undi sebenar, anda juga boleh klik di sini untuk melihat video proses pengecapan kertas undi yang disediakan oleh pihak SPR.
Sebagai perbandingan juga, kami ada tandakan perbezaan antara kertas undi tular itu bersama contoh kertas undi rasmi pada gambar di bawah.
Jadi, apa sebenarnya kertas undi yang ditularkan itu?
Kertas Undi Tersebut Hanyalah ‘Mockup’
Menerusi semakan kami pada ruangan komen ciapan terbabit, rata-rata warganet mengatakan ia bukan kertas undi sebenar sebaliknya adalah ‘mockup’ atau contoh kertas undi.
Malah melalui komen-komen itu, kami juga menemui beberapa mockup kertas undi lain yang dicetak dan digunakan oleh segelintir parti politik untuk mengajar pengundi cara memangkah kertas undi yang betul.
Maka tidak hairan terdapat contoh kertas undi yang siap dipangkah dan diberikan kepada pengundi.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
Oleh kerana dakwaan terbabit menyatakan tindakan tersebut telah melanggar akta pilihan raya, MyCheck meneruskan semakan dengan meneliti Akta Pilihan Raya 1954 dan kami menemui penjelasannya pada bahagian kedua akta tersebut.
Tertulis di sana, adalah menjadi satu kesalahan bagi individu tanpa kuasa sewajarnya untuk mencetak kertas undi rasmi atau seakan-akan dengannya yang mana ia boleh digunakan semasa pilihan raya.
Memandangkan kertas undi yang siap dipangkah itu mempunyai ciri-ciri kertas undi rasmi yang tidak lengkap, maka ia tidak boleh digunakan untuk mengundi. Tambahan pula, ia dicetak oleh kumpulan parti politik dan bukan pihak SPR sendiri.
KESIMPULAN
Dengan itu, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan terdapat kertas undi rasmi dicetak dan siap dipangkah sebagai tidak benar.
Kertas undi tersebut hanyalah ‘mockup’ kertas undi yang digunakan untuk mendidik pengundi cara betul mengundi.
SPR juga tidak akan menerima kertas undi tersebut disebabkan ia tidak mempunyai ciri-ciri kertas undi rasmi serta bukan dicetak atau dikeluarkan oleh pihaknya.
Sebagai orang yang berpengaruh, kita seharusnya berhati-hati dengan pertuturan dan penulisan kita agar tidak menimbulkan kekeliruan atau kemarahan rakyat dengan mengongsi maklumat tidak sahih.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.