+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benar, Dua Insiden Peti Undi Tidak Berkunci Semasa PRN Enam Negeri

Benarkah...

Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos 2023 kecoh kerana terdapat peti undi yang tidak berkunci.

Sumber : WhatsApp, Facebook / Ogos 2023

Hasil

Terdapat dua insiden peti undi tidak berkunci di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Pulau Pinang.

18/08/2023 10:15 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan terdapat peti undi yang tidak berkunci semasa PRN enam negeri.
  • Disebabkan itu timbul rasa tidak puas hati calon pembangkang kerana khuatir proses PRN bagi DUN tersebut tidak telus.
  • Calon tersebut melapor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kemudian proses pengundian bagi saluran terbabit digantung sementara untuk siasatan, seterusnya pengundian disambung semula dua jam kemudian.
  • Semakan MyCheck mendapati sebenarnya terdapat dua insiden peti undi tidak berkunci berlaku di DUN Paya Terubong, Pulau Pinang.
  • Dua laporan polis berhubung insiden berkenaan telah dibuat calon tersebut di Balai Polis Jalan Patani, Georgetown pada hari pengundian.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Lebih 9.7 juta pengundi memilih wakil rakyat di kawasan DUN masing-masing melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN yang berlangsung 12 Ogos 2023.

Peristiwa itu juga adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia apabila enam negeri mengadakan PRN secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) pada November 2022.

Direkodkan sebanyak 3,190 pusat mengundi bagi PRN enam negeri itu mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Kebiasaannya antara aspek yang menjadi perhatian sepanjang proses pengundian berlangsung ialah peratusan pengundi yang keluar mengundi serta kelancaran perjalanan pengundian di kesemua pusat pengundian terlibat.

Walaupun polis melaporkan keseluruhan proses berjalan lancar dan aman tanpa sebarang insiden kacau-bilau, namun sedikit sebanyak isu-isu berbangkit tetap mewarnai hari pengundian tersebut.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam menerusi WhatsApp seperti dalam gambar berikut:

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Pesanan itu disertakan dengan tangkap layar yang mendakwa terdapat peti undi tidak dikunci semasa proses pengundian PRN melibatkan enam negeri sedang berlangsung.

Mesej itu juga memaparkan gambar peti undi dipercayai di sebuah pusat pengundian.

Bagaimanapun, tiada pautan disertakan bersama dakwaan tersebut.

Malah MyCheck tidak dapat meneliti secara terperinci gambar yang dihantar kerana tidak menunjukkan keseluruhan suasana di dalam kawasan pembuangan undi tersebut.

Benarkah perkara seperti ini berlaku? Jom MyCheck semak untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Oleh kerana maklumat yang kami terima daripada orang awam tersebut amat terhad, kami cuba membuat carian rawak menggunakan kata kunci ‘peti undi tidak berkunci’ bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Hasil carian Google mendapati banyak laporan berkaitan perkara itu di Internet.

Liputan pilihan raya sememangnya ‘acara’ besar di mana-mana negara. Jadi tidak hairanlah jika ada isu panas berbangkit yang pasti mendapat perhatian media.

Apa pun, jangan cepat membuat spekulasi ya! Adalah lebih baik jika kita meneliti satu persatu maklumat yang terdapat di Internet.

Lebih bagus jika kita boleh membuat perbandingan silang antara setiap informasi  yang dilaporkan berkenaan sesuatu isu itu.

 

Kejadian Di Pulau Pinang

Menurut laporan oleh portal berita Malaysia Gazette di laman Facebooknya, satu peti undi didapati tidak berkunci berisi ratusan kertas undi ditemui calon Ooi Gheen Oon (Perikatan Nasional) kerusi DUN Paya Terubong ketika membuat tinjauan di pusat pengundian SK Seri Relau, Pulau Pinang.

Portal berita Sinar Harian turut melaporkan pusat mengundi berkenaan kecoh apabila didapati sebuah peti undi di saluran 15 tidak diikat dengan baik. Kejadian itu difahamkan berlaku pada pukul 11.30 pagi.

Akibatnya perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati serta pelbagai spekulasi kononnya dikhuatiri proses PRN bagi DUN tersebut dilihat tidak telus.

 

Bagaimana Peti Undi Dikunci?

Bagi yang tidak jelas bagaimana keadaan peti undi dikunci atau tidak, MyCheck kongsikan seperti dalam rajah di bawah.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Selain istilah dikunci, istilah dimeterai, diikat sempurna atau ditutup sempurna juga membawa maksud yang serupa.

Jika diteliti pada gambar di atas, gambar nombor satu merupakan keadaan sebenar apabila sesebuah peti undi itu dikunci sempurna. Terdapat tali putih dan kabel oren yang mengikat penutup peti undi berserta pelekat.

Berdasarkan dakwaan yang dibuat Ooi menerusi video tular itu, kelihatan peti undi yang dimaksudkan tidak berkunci atau diikat sempurna.

 

Proses Pengundian Di Saluran Berkenaan Digantung Sementara

Seterusnya berbalik kepada insiden yang didakwa, difahamkan SPR telah menggantung sementara proses pengundian di satu saluran di pusat mengundi berkenaan selepas diberitahu bahawa peti undi tersebut tidak dimeterai (unsealed).

Ini bermakna proses di saluran-saluran lain dalam pusat mengundi DUN terbabit berjalan seperti biasa.

Menurut laporan Buletin TV9, proses pengundian di saluran berkenaan terhenti kira-kira dua jam sementara menunggu SPR hadir untuk membuat pemeriksaan ke atas peti undi tersebut.

Ooi turut memaklumkan proses pengundian disambung selepas arahan SPR untuk mengikat semula peti undi berkenaan.

 

Bukan Satu, Tetapi Dua Peti Undi Tidak Berkunci

Menurut portal Harian Metro, Ooi membuat dua laporan polis berhubung peti undi tidak ditutup sempurna di Balai Polis Jalan Patani, Georgetown pada 12 Ogos sekitar tengah hari.

Beliau mendakwa terdapat satu lagi peti undi yang tidak ditutup sempurna iaitu tidak diikat tali kabel, juga berlaku di pusat pengundian Dewan Blok 4E di Farlim pada pukul 1.50 tengah hari.

Beliau turut memaklumkan perkara itu kepada petugas SPR.

Difahamkan Pengarah SPR Pulau Pinang Dr Siti Nazariah Abd Halim memaklumkan SPR akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun carian MyCheck setakat laporan ini ditulis mendapati belum ada sebarang kenyataan rasmi oleh SPR seperti dilaporkan.

Namun, MyCheck akan mengemas kini laporan jika ada kenyataan terbaharu daripada SPR berhubung isu ini.

 

SOP Pusat Pengundian Dipertikai

Pelbagai kecaman diterima pihak berwajib berhubung isu peti undi tidak dikunci ini, termasuk komen warganet yang mempertikaikan SOP dalam kawasan pusat pengundian terbabit.

Selain itu turut dipersoalkan peranan PACA iaitu ‘polling agent/counting agent’ ataupun ejen mengundi atau ejen pengiraan undi yang bertugas di pusat itu.

Tahukah anda peranan PACA sangat penting! Tugasnya sebagai pemantau proses pilihan raya yang terdiri daripada wakil parti kerajaan, pembangkang, ataupun calon bebas.

PACA bertanggungjawab untuk memastikan supaya pilihan raya dikelola dengan adil dan tanpa apa-apa penipuan sekalipun.

Selain itu menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 yang kami semak menerusi laman SPR menyatakan perkara berkaitan 'Peti undi' antara lain adalah seperti berikut: 

  1. Ketua tempat mengundi hendaklah memastikan sebelum pengundian dimulakan, perlu menunjukkan setiap peti undi yang hendak digunakan kepada mana-mana orang yang hadir secara sah di tempat mengundi itu supaya mereka boleh menyaksikan bahawa peti itu adalah kosong.

  2. Ketua tempat mengundi (KTM) juga hendaklah selepas itu mengunci peti undi itu; dan hendaklah mengenakan pada peti undi itu suatu klip, melekatkan perekat keselamatan dan perekat keselamatan hendaklah ditandatangani oleh ketua tempat mengundi itu dan oleh setiap calon atau ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundinya yang hadir bagi mencegah peti undi itu daripada dibuka tanpa dipecahkan klip dan perekat itu.

  3. Peti undi itu tidak boleh dibuka lagi sehingga selepas pengundian itu ditutup.

  4. KTM hendaklah menyimpan peti undi itu dalam jagaannya sehingga peti itu dihantar atau dihantar serah kepada pegawai pengurus.

Kami kongsikan juga gambaran lebih jelas cara-cara mengunci peti undi yang dilakukan oleh KTM sesebuah pusat mengundi dengan anda semua. Tonton di sini atau di sini.

Jadi berbalik kepada insiden tersebut, adakah PACA dan KTM tidak mengikut SOP, terlepas pandang atau tidak memeriksa peti undi berkenaan supaya berada dalam keadaan yang sepatutnya?

Kami turut kongsikan tangkap layar warganet berkenaan isu ini seperti berikut:

 


Sumber: TikTok

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah MyCheck kumpul, dakwaan terdapat peti undi tidak dikunci semasa PRN di enam negeri pada 12 Ogos 2023 adalah benar.

Kedua-dua peti undi tidak berkunci terbabit berlaku di dua tempat pusat mengundi berasingan dalam DUN Paya Terubong, di kawasan Parlimen Bukit Gelugor Pulau Pinang.

Seharusnya menjadi iktibar bagi para petugas pilihan raya agar berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka mengikut SOP yang ditetapkan suruhanjaya berkenaan.

Setiap proses yang dilaksanakan dengan berpandukan SOP yang ketat dan dedikasi seharusnya dapat mengelakkan kesilapan teknikal dan sebagainya.

Kami percaya taklimat dan garis panduan sudah acap kali diingatkan serta diuar-uarkan kepada mereka yang lulus dan terpilih menjadi PACA pada setiap kali PRN.

Maka apabila menerima amanah, pastinya perlu memberi seratus peratus tanggungjawab terhadap tugas yang dipikul.

Buat warga maya pula, ingat pesan kami di MyCheck, spekulasi dan persepsi juga merupakan antara bentuk maklumat palsu yang tidak seharusnya disebarkan.

Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Adalah lebih baik membincangkan cadangan penambahbaikan bagi sesuatu isu berbangkit daripada menyebarkan kecaman.

Sama-sama kita menyumbang kepada pembangunan negara dan kemajuan anak bangsa. MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. [INFO PRU-14] - SEMAKAN ISI PETI UNDI | Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) 

  2. Malaysia Gazette | Buat pilihan raya semula untuk DUN Paya Terubong - calon PN | 12 Ogos 2023 

  3. BULETIN TV3 | [KEMAS KINI] PRN 2023: Peti undi tidak berkunci, pengundian digantung di sebuah saluran | 12 Ogos 2023 

  4. Harian Metro | Bukan satu tapi dua peti undi tak dimeterai, calon PN minta undian semula | 12 Ogos 2023 

  5. BuzzKini | PRN: Proses Pengundian Paya Terubong Dihentikan Gara-Gara Peti Undi Tidak Berkunci |  12 Ogos 2023 

  6. Kinitv | Kecoh peti undi tak berkunci, pengundian di pusat undi Paya Terubong digantung | 12 Ogos 2023 

  7. Astro Awani | PRN: Calon PN buat laporan polis, peti undi tidak ditutup sempurna | 12 Ogos 2023 

  8. Facebook Malaysia Gazette | Satu Peti Undi Didakwa Berisi Ratusan Kertas Undi Ditemui Calon PN di SK Seri Relau, P. Pinang | 12 Ogos 2023 

  9. Harian Metro | Peti undi tidak 'dikunci', Andrew Ooi buat 2 laporan polis | 12 Ogos 2023 

  10. Daftar Sebagai PACA - Undi Negaraku

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.