Satu video memaparkan sebuah pesawat besar sedang terbakar di ruang udara berdekatan perumahan awam adalah pesawat yang terhempas di Elmina, Selangor.
Sumber : Sumber: WhatsApp / Ogos 2023
Video tersebut merupakan suntingan imej bergerak janaan komputer (CGI) yang telah diterbitkan pada 28 Mei 2023.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan satu kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.
Menurut Free Malaysia Today, nahas tersebut telah meragut 10 nyawa dengan lapan daripadanya adalah penumpang pesawat manakala dua lagi merupakan orang awam yang sedang melalui kawasan tersebut.
Rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa, namun ada juga yang seolah tidak prihatin apabila berkongsi rakaman kejadian tragis itu di media sosial.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu video tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan sebuah pesawat besar yang sedang bergerak di ruang udara terbakar berhampiran sebuah kawasan perumahan.
Pada video itu tertera kapsyen menyatakan pesawat yang dirakamkan adalah pesawat yang terhempas di Bandar Elmina.
Tentunya ramai yang panik selepas menonton video itu, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan terbabit.
Benarkah dakwaan itu?
Jangan panik dahulu! Biar MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck memulakan semakan dengan membuat penelitian pada video berkenaan dan kami mengesan beberapa petunjuk yang boleh membantu carian selanjutnya.
Berikut adalah petunjuk yang kami temui:
Reka bentuk dan warna pesawat jet.
Reka bentuk kawasan perumahan.
Logo bendera di sayap belakang pesawat.
Pesawat Nahas Adalah Jenis Pesawat Beechcraft Premier 1
Menggunakan petunjuk di atas, MyCheck membuat carian seterusnya iaitu mengenal pasti jenis pesawat yang terhempas di dalam nahas.
Menerusi aplikasi Flightradar24, kami membuat carian dengan menggunakan kata kunci ‘N28JV’ dan terpapar di sana data-data berkaitan dengan pesawat seperti jenis pesawat, gambar pesawat termasuk jadual penerbangan terakhir pesawat.
Apabila kami zum dalam (zoom in) kepada gambar pesawat, kami dapati ia berwarna biru dan seakan-akan dengan warna pesawat di dalam video. Bagaimanapun, reka bentuk dan saiz kedua-dua pesawat mempunyai perbezaan ketara.
Bagi mendapatkan kepastian, MyCheck membuat carian perkataan ‘Beechcraft Premier 1 N28JV’ di Google Image dan muncul beberapa gambar pesawat bersaiz kecil dan berwarna putih.
Semasa meneliti setiap gambar, kami menemukan satu infografik oleh Berita Harian.
Memetik Berita Harian, pesawat yang terlibat dalam nahas itu sebenarnya berwarna putih serta mempunyai kepala yang tirus. Pesawat juga hanya mempunyai beberapa tingkap berbanding pesawat di dalam video tular.
Di sini, kami dapati video tersebut agak meragukan memandangkan terdapat banyak percanggahan fizikal antara pesawat nahas dan pesawat di dalam video.
Reka Bentuk Rumah Tidak Sepadan Dengan Rakaman Dalam Video
MyCheck meneruskan carian dengan mengenal pasti di manakah lokasi kawasan perumahan kemalangan tersebut berlaku.
Menurut artikel Astro Awani, pesawat tersebut dilaporkan terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina di Seksyen U16, Shah Alam.
Menggunakan maklumat tersebut, kami membuat carian di aplikasi Google Maps dan meneliti reka bentuk rumah di kawasan itu.
Hasilnya, kami dapati struktur rumah di kawasan perumahan terbabit tidak sama dengan rumah-rumah yang dirakamkan di dalam video.
Jadi timbul persoalan di manakah sebenarnya lokasi video tersebut dirakam dan pesawat apakah yang kelihatan terbakar itu?
Video Sebenarnya Suntingan CGI
Justeru kami membuat carian berikutnya menggunakan kaedah imej berbalik di Google Lens untuk menjejak semula sumber asal video tersebut.
Kami menemukan jawapan kepada persoalan itu apabila mengesan satu gambar yang seakan rakaman dalam video tular.
Kami kemudiannya klik pada gambar berkenaan dan dibawa ke laman TikTok.
Paparan di TikTok itu menunjukkan bagaimana pemilik akaun menggunakan nama @ra6kaa, menyunting video pesawat meletup dengan menggunakan CGI.
Walaupun video tersebut sedikit berbeza dengan video tular, namun ia masih menggunakan landskap kawasan perumahan yang sama.
Jadi, kami klik pula pada profil akaun pengguna TikTok itu dan setelah kami menatal satu persatu video di sana, kami berjaya mengesan video pesawat terbakar itu.
Selepas meneliti, kami dapati video sebenarnya telah dimuat naik sejak 28 Mei 2023, dan kapsyen pengguna TikTok itu mengatakan pesawat yang terhempas adalah pesawat Amerika.
Untuk kepastian, kami membuat carian gambar pesawat terbang Amerika dan ternyata ia adalah pesawat Air Force One yang warnanya adalah biru serta mempunyai logo bendera pada sayap belakang.
Selain itu, kami dapati penggguna TikTok itu juga pernah mengeluarkan beberapa video suntingan yang sama sejak 2021 dan beliau akan menukar karakter atau elemen kepada helikopter, naga, godzilla dan lain-lain dengan berlatarbelakangkan perumahan yang sama.
Maka, jelas di sini bahawa video pengguna TikTok itu telah diambil dan disunting semula supaya kelihatan seperti ia berlaku semasa kejadian nahas di Elmina.
KESIMPULAN
Justeru MyCheck menyimpulkan dakwaan video pesawat terbakar adalah pesawat yang terhempas di Elmina sebagai tidak benar.
Pesawat tersebut bukanlah pesawat sebenar sebaliknya ia adalah suntingan CGI.
Malah, video asal tersebut telah disunting dan diletakkan kapsyen seolah-olah ia nahas yang berlaku di Elmina.
MyCheck ingin menasihati rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan maklumat seperti ini kerana ia boleh menimbulkan kecemasan orang ramai.
Hormatilah perasaan keluarga yang terlibat dalam tragedi menyayat hati ini.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Free Malaysia Today (FMT) | 10 dead in Elmina plane crash | 17 Ogos 2023
Flightradar24 | N28JV Beechcraft Premier [RB-97] | 17 Ogos 2023
Berita Harian | Nahas Elmina: Apa yang kita tahu mengenai pesawat Beechcraft | 18 Ogos 2023
Astro Awani | Kapal terbang terhempas di Elmina, Shah Alam | 17 Ogos 2023
autoevolution | Next Air Force One Livery Changes Revealed, Blink and You’ll Miss Them | 13 Mac 2023
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.