Terdapat bantuan RM600 yang boleh disemak melalui pautan di Telegram.
Sumber : Telegram / Ogos 2023
Pautan tersebut adalah scam (penipuan) yang bertujuan memancing data.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Bantuan atau sumbangan adalah salah satu inisiatif yang dinantikan rakyat terutama bagi individu yang memerlukan.
Tidak dinafikan, pelbagai jenis bantuan diberikan kepada rakyat untuk meringankan beban mereka selari dengan keadaan semasa yang semakin mencabar terutamanya apabila melibatkan peningkatan kos sara hidup.
Acap kali terdengarnya bantuan yang akan disalurkan kepada rakyat, orang ramai pasti menderu-deru membuat semakan lanjut berkaitan bantuan bagi mengetahui sama ada mereka tersenarai sebagai penerima yang layak ataupun tidak.
Bukan itu sahaja, semakan yang dilakukan itu juga bertujuan mengemas kini borang berkenaan maklumat diri atau urusan berkaitan bantuan dari masa ke masa.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima tangkap layar melalui WhatsApp mendakwa terdapat bantuan kewangan khas sebanyak RM600 yang disalurkan kepada rakyat.
Tangkap layar itu memaparkan hantaran mesej di Telegram berserta poster Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada poster terbabit tertera kapsyen ‘Bantuan Kewangan Khas RM600 Mula Dikreditkan Hari Ini’.
Turut disertakan pautan untuk orang ramai melakukan semakan lanjut berhubung penerimaan bantuan tersebut.
APA YANG KAMI TEMUI
Pautan Semakan Bantuan Adalah ‘Scam’'
Berdasarkan dakwaan yang kami terima, tertera pautan (link) untuk membuat semakan penerima bantuan tersebut.
Namun, kami tidak dapat klik pautan tersebut kerana dakwaan itu dalam bentuk gambar.
Jadi, untuk memastikan keabsahan pautan terbabit, kami ke enjin Google bagi membuat carian menggunakan alamat pautan yang sama.
Ketika kami klik pautan tersebut, carian kami dibawa ke satu saluran (channel) Telegram Bantuan Kerajaan Malaysia 2023.
Untuk pengetahuan anda, ketika laporan ini ditulis kami masih boleh membuka pautan tersebut malangnya kini pautan tersebut sudah tidak boleh diakses, berkemungkinan ia telah disekat.
Namun, kami bernasib baik kerana sempat untuk menangkap layar (screenshot) kumpulan (group) Telegram yang dimaksudkan seperti di bawah.
Setelah kami mengambil langkah untuk klik ‘join group’, kami kemudian diminta untuk log masuk ke akaun Telegram kami.
Namun, selepas proses log masuk dilakukan muncul seakan borang bantuan kerajaan dan kami diminta mengisi butiran diri seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor bank akaun dan e-mel.
Kami dapati borang tersebut agak mencurigakan kerana proses pengisian maklumat mengenai bantuan kerajaan lazimnya dilakukan melalui saluran rasmi seperti di portal rasmi kerajaan.
Bagaimanapun bagi mendapatkan petunjuk seterusnya, MyCheck cuba mengisi maklumat borang terbabit menggunakan butiran palsu.
Setelah kami klik ‘done’ akhirnya kami dibawa ke satu halaman tertera ‘Login Your Online Banking’ yang meminta kami mengisi maklumat perbankan seperti id pengguna dan kata laluan bank.
Anda boleh lihat gambar di atas.
Maklumat perbankan seperti kata laluan atau ‘password’ adalah maklumat sulit yang tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya kepada sesiapa.
Ini kerana indakan terbabit akan memberi akses kepada penjenayah ‘scammer’, menceroboh masuk ke dalam akaun bank untuk melakukan transaksi ‘haram’ tanpa pengetahuan mangsa.
Jelas di sini, pautan semakan mengenai bantuan tersebut adalah ‘scam’ (phishing scam) yang bertujuan memancing data orang ramai.
Namun, bagaimana pula dengan poster bantuan yang dikongsi itu?
Laman Sesawang ikerajaan.com
Seterusnya, kami imbas poster dakwaan terbabit sekali lagi dan mendapati tertera ayat ‘layari www.ikerajaan.com’.
Berdasarkan petunjuk tersebut, kami membuat carian di Google bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.
Hasilnya, pautan tersebut membawa kami ke sebuah laman sesawang ikerajaan.com.
Kami dapati laman web berkenaan sering memuat naik informasi berkaitan hebahan bantuan kerajaan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, kami membuat carian (search) di laman sesawang terbabit dengan menggunakan kata kunci ‘bantuan kewangan khas’.
Hasilnya, kami menemui laporan yang menggunakan poster sama seperti dakwaan tular.
Setelah menelusuri portal tersebut, kami dapati poster itu mengenai bantuan khas bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 yang mana bantuan berkenaan disalurkan kepada penerima untuk keperluan makanan asas.
Hebahan bantuan itu diterbitkan di portal terbabit pada 29 Julai lepas.
Sumbangan Asas Rahmah (SARa)
Menurut laman sesawang rasmi Kementerian Kewangan (MOF), Sumbangan Asas Rahmah (SARa) adalah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Bantuan ini disalurkan kepada isi rumah penerima STR yang tersenarai sebagai ‘Miskin Tegar’ mengikut data eKasih.
Anda boleh rujuk perincian mengenai SARa di bawah.
Menurut MOF, semakan kelayakan serta maklumat terperinci berhubung mekanisme SARa boleh dirujuk melalui laman rasmi SARa dan laman MySTR.
Sebarang maklumat lanjut berhubung SARa boleh diperoleh melalui laman rasmi tersebut.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, pautan yang tertera berhubung semakan bantuan pada mesej Telegram tular itu adalah palsu.
Hasil semakan MyCheck mendapati ia merupakan pautan (link) ‘scam’ yang meminta orang ramai mengisi maklumat sulit perbankan.
Namun, bantuan SARa sememangnya wujud namun penerima yang tersenarai adalah mengikut data eKasih yang akan dikreditkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Bahkan, status semakan mengenai SARa juga perlu dirujuk melalui laman rasmi seperti yang dinyatakan MOF.
Ingat, jangan melulu isi sebarang maklumat sulit di platform yang tidak ditentukan kesahihannya.
Pastikan anda membuat semakan fakta terlebih dahulu, jangan mudah terpedaya sehingga berputih mata.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.