Orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi daerah Pekan dan Rompin di Pahang susulan penularan penyakit pertussis atau batuk kokol.
Sumber : WhatsApp, Facebook / Ogos 2023
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sahkan penyebaran penyakit batuk kokol terkawal dan orang ramai boleh mengunjungi daerah Pekan dan Rompin seperti biasa.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Penyebaran wabak penyakit dalam kalangan komuniti merupakan satu perkara yang berlaku pada setiap musim di mana-mana negara di seluruh dunia.
Pelbagai penyakit seperti pertussis atau batuk kokol dan influenza dalam kalangan kanak-kanak ketika ini disebabkan oleh penyebaran virus tertentu.
Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan di peringkat negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memantau perkembangan semasa mana-mana wabak penyakit supaya ia tidak tersebar secara meluas.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu mesej tular di WhatsApp mendakwa daerah Pekan dan Rompin di Pahang tidak selamat untuk dikunjungi disebabkan penularan jangkitan pertussis atau batuk kokol.
Menerusi mesej yang dikongsi berkali-kali (forwarded many times) itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melawat Pekan dan Rompin selain diminta memakai pelitup muka sekiranya mengunjungi kedua-dua daerah tersebut.
Kandungan mesej berkenaan antara lain turut mendakwa bahawa batuk kokol adalah lebih berbahaya daripada wabak Covid-19 kerana boleh menyebabkan seseorang individu terus mengalami sesak nafas selepas dijangkiti batuk tersebut.
Individu yang berkongsi mesej berkenaan turut bertanyakan adakah simptom batuk kokol boleh menyebabkan sesak nafas selain pengenalan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pemakaian pelitup muka.
Turut disertakan satu surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Rompin yang menyatakan bahawa satu kes batuk kokol disahkan berlaku di daerah berkenaan.
Dakwaan itu turut tular di media sosial.
Kami menemukan dakwaan sama di Facebook dan anda boleh lihat di sini dan di sini.
APA YANG KAMI TEMUI
Apakah Itu Pertussis Atau Batuk Kokol?
Memetik laporan buku elektronik di laman Facebook JKNP, batuk kokol merupakan satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Bordetella Pertussis pada saluran pernafasan merangkumi mulut, hidung dan kerongkong.
Penyakit ini boleh menjangkiti semua peringkat umur, namun golongan bayi dan kanak-kanak adalah kumpulan paling berisiko mengalami komplikasi serius sekiranya dijangkiti batuk kokol.
Cara Penyebaran
Menurut laman Facebook JKNP, batuk kokol disebarkan menerusi titisan pernafasan semasa batuk, bersin atau bercakap dan bakteria juga boleh disebarkan apabila menyentuh permukaan alat permainan atau tangan yang tercemar.
Individu yang mengalami simptom batuk kokol seperti batuk dan selsema masih boleh menjangkiti individu lain selagi masih menunjukkan gejala.
Hal ini disebabkan penyakit berkenaan disebarkan menerusi titisan udara oleh individu yang masih menunjukkan gejala atau simptom kepada individu yang sihat.
Simptom Batuk Kokol
Menurut e-book berkenaan, antara gejala awal jangkitan bagi mereka yang dijangkiti batuk kokol adalah seperti demam, selsema, batuk dan bersin dan kebiasaannya kesemua gejala berkenaan kekal dalam tempoh seminggu ke dua minggu.
Gejala batuk kokol akan bertambah teruk selepas tempoh berkenaan sehingga menyebabkan individu yang dijangkiti batuk kokol mengeluarkan bunyi desisan disebabkan kesukaran untuk bernafas selepas mereka batuk.
Individu yang mengalami simptom lebih teruk akan mengalami menunjukkan beberapa simptom lain seperti muntah, sukar bernafas, kebiru-biruan, sukar untuk tidur dan hilang selera makan.
Perkataan “kokol” itu digunakan untuk menamakan penyakit ini disebabkan sifat dan bunyi batuk berkenaan.
Kaedah Rawatan
Terdapat beberapa kaedah rawatan bagi penyakit batuk kokol untuk golongan dewasa seperti pengambilan beberapa antibiotik termasuk Erythromycin, Clarithromycin, Azithromycin.
Kanak-kanak dan golongan bayi pula dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan khusus di klinik kesihatan atau hospital bagi memastikan doktor dapat melakukan pemantauan rapi.
Kanak-kanak Tidak Disuntik Vaksin Pertussis Berisiko Tinggi Dijangkiti Batuk Kokol
Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman yang dipetik menerusi portal BERNAMA memaklumkan kanak-kanak yang belum atau tidak mengambil vaksin pertussis lebih berisiko mendapat jangkitan penyakit berkenaan sekiranya terdedah kepada persekitaran berisiko untuk tempoh lima hari hingga maksimum 21 hari.
Sehubungan itu beliau menasihatkan individu yang disahkan dijangkiti batuk kokol untuk diisolasi atau dikuarantin bagi tempoh tertentu bertujuan mengelakkan penyakit berkenaan merebak kepada golongan lain termasuk kanak-kanak.
Malahan laman sesawang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat turut mendedahkan batuk kokol amat berbahaya kepada golongan bayi.
Menurut laporan CDC, kematian bayi secara purata boleh mencecah sebanyak 20 orang setiap tahun di antara 2010 sehingga 2020 di Amerika Syarikat dan ini menunjukkan penyakit batuk kokol memang berbahaya.
CDC turut mendedahkan wanita hamil dan remaja berusia 10 sehingga 19 tahun turut berisiko menghadapi beberapa komplikasi akibat jangkitan batuk kokol seperti kegagalan kawalan pundi kencing, patah tulang rusuk dan pengsan.
Batuk Kokol Tidak Boleh Disamakan Dengan Covid-19
Mesej yang tular tersebut turut mendakwa penyakit batuk kokol lebih berbahaya daripada wabak Covid-19.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Nur Azimi Yunus yang dipetik daripada laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, batuk kokol adalah sama bahaya dengan beberapa penyakit lain seperti demam denggi kerana boleh menyebabkan kematian.
“Kalau kita nak katakan ia (lebih) berbahaya daripada Covid-19, sebenarnya tak (tepat) juga…maksudnya kita tak boleh nak bandingkan.
“...sebab penyakit (demam) denggi bahaya juga (kerana) boleh menyebabkan kematian… berapa ribu penyakit demam denggi, berapa ramai kematian disebabkan denggi, (jadi) bahaya juga,” jelasnya.
Batuk Kokol Tidak Menyebabkan Masalah Sesak Nafas Pada Peringkat Awal
Mesej yang tular itu turut mendakwa individu yang dijangkiti batuk kokol akan terus mengalami masalah sesak nafas.
Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, gejala awal penyakit ini adalah demam, selesema, bersin dan batuk.
Namun jika pesakit menghadapi gejala batuk yang berterusan, pesakit akan mengalami gejala muntah, sukar bernafas, kebiru-biruan, sukar untuk tidur dan hilang selera makan.
Menurut portal MyHEALTH, sesak nafas adalah keadaan apabila seseorang mengalami kesukaran untuk bernafas atau semput dan kebiasaannya keadaan ini lebih ketara ketika mereka melakukan aktiviti fizikal.
Tiada SOP Pemakaian Pelitup Muka, Tetapi Individu Bergejala Digalakkan Pakai
Selain itu dakwaan di dalam mesej berkenaan turut bertanya kewujudan SOP pemakaian pelitup muka ketika berkunjung ke kedua-dua daerah berkenaan.
Hasil semakan MyCheck mendapati tiada sebarang SOP pemakaian pelitup muka seperti yang didakwa kerana Pejabat Kesihatan Daerah Rompin sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang penularan batuk kokol.
Sekiranya SOP pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan, sudah semestinya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau pihak yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengeluarkan satu SOP khusus mengenai perkara tersebut dan disiarkan menerusi kenyataan akhbar atau laman sosial masing-masing.
Namun, bagi individu yang mempunyai gejala dinasihatkan untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Pekan Dan Rompin Selamat Dikunjungi, Edaran Surat Pekeliling Untuk Pemberitahuan
Berbalik kepada dakwaan tular, benarkah Pekan dan Rompin tidak selamat dikunjungi?
MyCheck menemukan kenyataan daripada Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus yang menjelaskan isu itu menerusi satu video klip yang diterbitkan di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
Dr Nor Azimi mengesahkan bahawa daerah Rompin masih selamat untuk dikunjungi walaupun terdapat satu kes jangkitan batuk kokol.
Beliau menjelaskan pengeluaran surat pekeliling oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin seperti yang tular di laman sosial adalah untuk pemberitahuan umum sekiranya terdapat penyebaran sebarang wabak penyakit.
“Jangkitan Pertussis di Kampung Bahagia itu betul, ada tiga kes (tiga individu) tapi tidaklah sampai sesuatu yang menakutkan…sampai kita (JKNP) tidak benarkan orang (ramai) datang ke Rompin (dan) saya rasa tak sepatutnya berlaku dan diviralkan begitu.
“(Keadaan) di Pahang tidaklah seperti yang diuarkan-uarkan begitu,” jelas Dr Nor Azimi.
Mengulas lanjut, beliau berkata amalan kebersihan diri menjadi platform terbaik dalam mengekang penularan penyakit batuk kokol seperti kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul selain mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat awam sekiranya mengalami apa sahaja gejala penyakit.
Kenyataan Media Dikeluarkan Lebih Awal Bagi Tujuan Pemakluman Umum
Mungkin ramai pengguna media sosial terutamanya di laman Facebook yang berkongsi fakta tidak tepat mengenai isu ini.
Semakan MyCheck mendapati JKNP menerusi Dr Nor Azimi telah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 17 Ogos 2023 mengenai penularan penyakit batuk kokol melibatkan sebuah keluarga di Kampung Bahagia, Rompin pada 14 Ogos lepas.
Beliau mengesahkan terdapat satu kes batuk kokol berlaku di kawasan berkenaan melibatkan tiga ahli keluarga iaitu dua orang anak serta ibu dan kesemua mereka telah mendapat rawatan sewajarnya.
Dr Nor Azimi turut memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah Rompin telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan di kawasan terlibat bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.
Malahan Pekan pula tidak merekodkan sebarang kes penyakit batuk kokol.
Jadi isu bahawa daerah Pekan dan Rompin adalah tidak selamat dikunjungi sepatutnya tidak wujud kerana Pejabat Kesihatan Daerah Rompin sudah mengambil tindakan awal bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.
Dilapor Media Arus Perdana
MyCheck turut mendapati penjelasan Dr Nor Azimi berhubung isu yang ditularkan di WhatsApp telah diterbitkan media arus perdana antaranya Sinar Harian, Harian Metro dan Kosmo.
Beberapa stesen televisyen tempatan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 turut menyiarkan kenyataan Dr Nor Azimi.
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan MyCheck, dakwaan tular bahawa daerah Pekan dan Rompin tidak selamat dikunjungi ekoran penularan batuk kokol adalah tidak benar.
Memang terdapat kes batuk kokol di Rompin namun jangkitan adalah terkawal manakala tiada sebarang kes dilaporkan di Pekan.
Pejabat Kesihatan Daerah Rompin juga sudah melaksanakan tindakan awal bagi memastikan penyakit berkenaan tidak merebak dalam kalangan komuniti setempat.
Justeru orang ramai tidak perlu bimbang untuk ke Pekan atau Rompin kerana kedua-dua daerah disahkan selamat untuk dikunjungi.
Nasihat kami jangan sebarkan perkara yang tidak pasti terutamanya mengenai wabak penyakit kerana ia merupakan satu dakwaan serius yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Pesakit batuk kokol dinasihat jalani kuarantin-pakar | 22 Ogos 2023
Centers for Disease Control and Prevention | Whooping Cough is Deadly for Babies | Dec 1 2022
Sinar Harian | Batuk kokol di Rompin terkawal, henti tular berita palsu - JKNP | 22 Ogos 2023
Harian Metro | Kes batuk kokol di Rompin terkawal | 22 Ogos 2023
Kosmo | Tiada kes baharu batuk kokol di Rompin, hanya 3 kes setakat ini | 22 Ogos 2023
Berita RTM | Tiada jangkitan baru, kes batuk kokol di Pahang terkawal | 22 Ogos 2023
Buletin TV3 | Tiada kes baharu batuk kokol di Rompin, henti tular berita palsu | 22 Ogos 2023
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.