+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Poster Pelaburan Saham Guna Logo ASNB, Gambar Ketua Eksekutif PNB Adalah Palsu

Benarkah...

Terdapat tawaran pelaburan saham daripada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang memberi keuntungan lebih RM26,000 sehari.

Sumber : WhatsApp / September 2023

Hasil

Poster mengenai pelaburan saham itu adalah palsu dan telah disunting pihak tidak bertanggungjawab dengan menyalahgunakan logo ASNB.

03/10/2023 05:46 PM

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima satu poster mengenai iklan pelaburan saham yang dikatakan memberi keuntungan lebih RM26,000 sehari.
  • Pada poster tersebut tertera beberapa logo termasuk logo ASNB.
  • Turut terpapar gambar Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn.
  • Semakan MyCheck mendapati poster tersebut adalah palsu yang disunting untuk kepentingan tertentu.
  • Pihak PNB juga telah menyeru orang ramai untuk berwaspada terhadap percubaan pihak yang menyalahgunakan nama dan logo ASNB dalam mana-mana bentuk siaran media.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Penggunaan teknologi dalam kehidupan kini bukanlah satu perkara asing lagi.

Seperti menjadi kewajipan, setiap orang akan mempunyai sekurang-kurangnya satu telefon pintar.

Tambahan pula dengan wujudnya group (kumpulan) di laman sembang seperti WhatsApp dan Telegram, pelbagai informasi dalam bentuk pemberitahuan, pesanan dan bantuan diperoleh dengan mudah.

Namun, adakalanya pengguna sendiri harus bijak menapis maklumat yang diterima sama ada benar ataupun tidak.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck telah menerima satu mesej melalui WhatsApp mengenai sebuah poster pengiklanan pelaburan saham yang mendapat keuntungan yang lumayan iaitu berjumlah lebih RM26,530 sehari.

Pada poster tersebut tertera imej seakan penyata bank berserta logo Bursa Malaysia, logo halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan logo Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Turut terpapar gambar seorang individu.

Lazimnya, apabila terdapat logo rasmi dipaparkan pada setiap poster yang diiklankan membawa maksud ia adalah daripada sumber rasmi dan sah.

Mesej tersebut turut disertakan dengan pautan (link) ‘wasap dgn kami’ yang dikongsi berkali-kali (forwarded many times).

Namun, sejauh manakah keabsahan poster terbabit?

Jom ikut MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan klik pautan yang disertakan. Namun setelah kami klik, paparan tersebut seperti sudah tidak tersedia.

Berkemungkinan ia tidak boleh diakses atau telah dipadam.

 


Sumber: WhatsApp

 

Kesalahan Ejaan Pada Poster

Seterusnya, kami beralih semula dengan meneliti poster tersebut untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Lazimnya, acap kali MyCheck membuat semakan terhadap poster palsu atau hantaran yang tidak benar, kami sering melihat terdapat kesalahan ejaan yang boleh dikenal pasti sebagai petunjuk untuk menentukan kesahihan dakwaan.

Dalam kes ini, terdapat satu kesalahan ejaan yang boleh dikesan iaitu:

SALAH: Tiada Caj Tersembungi

BETUL: Tiada Caj Tersembunyi

Sekiranya tawaran pelaburan saham tersebut benar-benar diiktiraf, tidak mungkin ia mempunyai kesilapan ejaan sedemikian.

 

Carian Imej Berbalik

Bagi mendalami isu ini dengan lebih lanjut, MyCheck membuat carian poster dan imej berbalik di Google bagi mendapatkan maklumat.

 


Sumber: Google

 

Bagaimanapun disebabkan poster yang kami terima agak kabur, kami tidak menjumpai sebarang petunjuk.

MyCheck kemudian mengambil langkah menggunakan aplikasi PicWish (photo enhancer) di Google bagi meningkatkan kualiti gambar tersebut.

Setelah kami memperoleh gambar yang lebih jelas, kami membuat carian imej berbalik (reverse image) sekali lagi.

 


Sumber: Google

 

Hasilnya, kami tidak temui sebarang poster yang sama seperti dakwaan.

Namun, apabila kami fokus pencarian kepada wajah individu yang terdapat dalam poster tersebut, hasilnya ia menemukan kami kepada beberapa laman sesawang yang boleh dijadikan petunjuk.

Kami kemudiannya klik salah satu laman sesawang terbabit dan mendapati individu dalam poster tersebut adalah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn.

 

Kenyataan Permodalan Nasional Berhad Rasmi

Berdasarkan petunjuk tersebut, kami menelusuri pula carian di platform media sosial PNB jika ada poster yang sama atau pemberitahuan mengenai tawaran pelaburan saham tersebut.

Namun, hasilnya bertentangan apabila kami menemukan kenyataan rasmi di Facebook rasmi PNB seperti di bawah.

 


Sumber: Facebook Permodalan Nasional Berhad Rasmi

 

Menurut kenyataan itu, PNB mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang percubaan atau pihak yang menyalahgunakan nama atau logo PNB dan ASNB.

Orang awam juga diingatkan berhati-hati sekiranya ada yang bertindak menyamar sebagai Presiden, Ketua Eksekutif Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Pasukan Pengurusan Kanan dan pegawai yang menuntut orang ramai untuk melabur, membuat pembayaran, menyediakan data sulit atau mengambil bahagian yang menyalahi undang-undang.

Ini kerana aktiviti sedemikian boleh dilakukan melalui WhatsApp, e-mel, laman web seperti pautan, e-brosur, panggilan telefon, SMS, kad perniagaan dan siaran di media sosial atau mana-mana bentuk komunikasi lain.

Hantaran Facebook itu dimuat naik pada 9 September 2023.

 

Sebenarnya.my Sahkan Poster Adalah Palsu

Bagi mendapatkan pencerahan yang lebih menyeluruh, kami telusur isu ini di enjin carian Google.

Hasilnya, kami temui portal semakan fakta Sebenarnya.my yang bertajuk ‘Waspada Penyalahgunaan Nama, logo PNB & ASNB Oleh Penyamar’ yang mengesahkan bahawa poster tular tersebut adalah palsu serta menyarankan orang ramai untuk semak melalui e-mel rasmi PNB atau pusat khidmat pelanggan ASNB.

 


Sumber: Sebenarnya.my

 

Suntingan Poster Hanyalah Trend Pemasaran

Dalam konteks ini, kita dapat lihat pihak yang membuat poster tersebut telah menggunakan beberapa elemen seperti meletakkan logo syarikat pelaburan dan juga gambar Ahmad Zulqarnain selaku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.

Hal ini dianggap sebagai taktik pemasaran yang mampu meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap iklan sedemikian.

Ditambah lagi apabila poster tersebut turut memaparkan penyata bank dan juga beberapa isi penting seperti kononnya pelaburan tersebut dipimpin golongan pelabur profesional dan lain-lain.

Syarikat pelaburan seperti PNB serta anak syarikatnya ASNB adalah syarikat pengurusan dana yang stabil dan kukuh di Malaysia, justeru sekiranya ada tawaran atau iklan seperti itu serba sedikit mampu membuatkan orang ramai yakin bahawa poster tersebut adalah sahih.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar.

MyCheck mendapati poster terbabit telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan bagi kepentingan tertentu.

Sekiranya anda menerima poster sedemikian, jangan lupa untuk semak terlebih dahulu informasi dan juga maklumat yang tertera.

Pastikan anda semak di platform yang sahih dan jangan sewenang-wenangnya percaya terhadap iklan yang tidak ditentukan kesahihannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. PicWish | Photo Editing Platform

  2. SIDC | About The Speaker 

  3. Facebook | Permodalan Nasional Berhad | 9 September 2023

  4. Sebenarnya.my | Waspada Penyalahgunaan Nama, Logo PNB & ASNB Oleh Penyamar |9 September 2023                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.