+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

IHR: Perjanjian Belum Ditandatangani, Malaysia Berhak Tolak Pindaan Yang Boleh Gugat Kedaulatan Negara

Benarkah...

Malaysia telah menandatangani pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Sumber : Facebook / November 2023

Hasil

Pindaan itu masih dalam rundingan. Malaysia berhak menolak pindaan IHR demi kedaulatan negara.

05/01/2024 10:35 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa Malaysia telah menandatangani pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) sehingga menggugat kedaulatan negara.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi jaminan bahawa setiap negara berhak membuat keputusan dasar mengikut kepentingan negara masing-masing.
  • Menurut bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustapha, pindaan itu masih dalam rundingan dan akan dimuktamadkan pada 2024.
  • Dakwaan kedaulatan negara tergugat itu disangkal pakar perundangan yang menegaskan Malaysia mempunyai hak dan kedaulatan dalam membuat keputusan mengenai tindakan kesihatan awam di dalam negara sendiri.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Negara menyaksikan pelbagai episod rakyat mendepani pandemik COVID-19, bermula dengan peningkatan kes jangkitan sehinggalah mencatatkan kes kematian tinggi.

Jika diimbas kembali ketika penularan COVID-19, masyarakat dunia menjadi saksi bagaimana dunia bergelut dalam menanganinya ekoran ketidaksediaan berhadapan dengan pandemik tersebut. Malah hingga kini dunia masih belum bersedia untuk menghadapi krisis kesihatan baharu sekiranya ia berlaku.

Rentetan itu COVID-19 dilihat seperti satu peringatan atau ‘wakeup call’ kepada sistem kesihatan awam dalam mengurus peristiwa membabitkan kecemasan kesihatan awam (Public Health Emergency).

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp berhubung dakwaan bahawa Malaysia telah menandatangani pindaan IHR yang menggugat kedaulatan negara.

Pada 26 Okt 2023, Bebas News menerbitkan artikel mengenai tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menghantar memorandum bantahan ke Istana Negara.

Bantahan itu mengenai Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 yang dikatakan menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Memetik artikel yang sama, dikatakan pindaan IHR 2005 itu berpotensi mengambil alih atau melucutkan serta mengurangkan kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara dalam menjaga kedaulatan Malaysia.

Bertenang dahulu. Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan membuat carian rawak di media sosial bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kami dapati isu ini menjadi perhatian ramai khususnya rakyat Malaysia yang menzahirkan kebimbangan terhadap perjanjian kesihatan antarabangsa tersebut. Anda boleh lihat di sini dan di sini.

 

Apakah Sebenarnya Yang Dicadangkan WHO?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab dalam kesihatan awam antarabangsa.

Ia terdiri daripada 194 negara anggota yang diwakili melalui Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA).

Kami kongsikan kronologi cadangan tersebut:

  1. 28 Okt 2021 : Kumpulan kerja ‘Working Group on Strengthening WHO Preparedness for and Response to Health Emergencies (WGPR)’ menerbitkan laporan ‘draf sifar’ (Zero Draft) bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan respons berkenaan ‘health emergency’.

  2. 1 Dis 2021 : Sebagai respons kepada cara pengendalian negara anggota ketika pandemik COVID-19, persidangan WHA bersetuju untuk merangka dan merunding perjanjian global bagi mengukuhkan tindak balas dunia terhadap wabak baharu pada masa akan datang.

  3. 24 Mei 2022 : WHO mewujudkan “Working Group on IHR amendments” (WGIHR) pada perhimpunan WHA yang ke-75.


Sumber: PAHO

 

    4. 3 Mac 2023 : Negara anggota WHO telah memulakan rundingan global mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas wabak dengan menggunakan ‘zero draft’ sebagai asas perundingan perjanjian.

 

Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR)

Menurut WHO, IHR adalah instrumen undang-undang antarabangsa yang mewujudkan tanggungjawab dan hak negara-negara dalam melaporkan sebarang kejadian yang membahayakan kesihatan awam secara global.

Regulasi ini menetapkan kriteria dan prosedur untuk menentukan sebarang kejadian yang memerlukan tindakan segera WHO serta negara-negara lain atau dalam bahasa mudah iaitu perkara-perkara yang melibatkan “public health emergency of international concern” (PHEIC).

Bagi memahami dengan lebih jelas mengenai PHEIC, kami membuat carian di Google.

Jika anda sedari, sebelum ini Malaysia telah pun mematuhi regulasi IHR melalui pengisytiharaan PHEIC. Antaranya seperti:

  1. Pandemik Influenza A (H1N1) (2009)

  2. Pengisytiharan Polio ( 2014) 

  3. Wabak Ebola di Afrika Barat (2014)

  4. Wabak Ebola di Congo (2018-2020)

  5. Epidemik Zika (2015-2016)

  6. Pandemik COVID-19 (2020-2023)

  7. Wabak Monkeypox (2022-2023)

Pengisytiharan ini adalah bagi mengkoordinasi dan mengawal sesuatu penyakit sekali gus membendung risiko penyebaran ke luar negara.

 

Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+)

Perjanjian WHO CA+ (Convention Agreement) pula adalah perjanjian konvensyen dalam mengurus krisis kesihatan awam yang bertujuan mencapai kesaksamaan dan keberkesanan bagi pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak melalui kerjasama antarabangsa.

 

Adakah Perjanjian Kesihatan Antarabangsa Itu Mengancam Kedaulatan Negara?

Pada 1 Feb 2023, WHO mengeluarkan laporan draf sifar bagi mesyuarat keempat dengan Intergovernmental Negotiating Body (INB).

 


Sumber: WHO

 

Sekiranya anda teliti pada laporan terbabit, ia menekankan prinsip kedaulatan negara-negara anggota di awal perenggan. Anda boleh semak laporan itu di sini.

Seterusnya, bagi mendapatkan kesahihan yang lebih menyeluruh MyCheck menghubungi (Global Team Lead, Science Knowledge Translation for Public Health Emergencies) Supriya Bezbaruah dari WHO.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Menurut respons WHO, negara-negara yang terlibat akan memutuskan isi kandungan perjanjian tersebut dan akan melaksanakannya selaras undang-undang negara mereka sendiri.

Tiada negara yang akan menyerahkan kedaulatan mereka kepada WHO,” katanya kepada MyCheck melalui e-mel.

 


Sumber: WHO

 

Malah, pada 30 Okt 2023 memetik kenyataan WHO, draf teks perjanjian pandemik yang disediakan negara anggota menegaskan semula berkenaan prinsip kedaulatan negara-negara dalam menangani isu kesihatan awam.

Kami dapati draf dokumen asal IHR dan pindaan dalam siri-siri mesyuarat sepanjang proses rundingan diadakan boleh diakses melalui laman web WHO

Ini bermakna, anda boleh semak perkembangan berhubung pindaan atau perjanjian pandemik itu dari semasa ke semasa.

 

Malaysia Masih Dalam Proses Rundingan

Pada 2 Nov 2023, bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustapha menyatakan sesi rundingan berkenaan pindaan IHR sedang berjalan dan masih di peringkat awal.

Tambahnya, proses rundingan itu akan terus berjalan sehingga selesai pada April 2024.

Pada 27 Okt 2023, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata rundingan telah berlangsung melibatkan penyertaan delegasi negara anggota WHO termasuk Malaysia dan metodologi rundingan yang komprehensif memberi peluang untuk setiap negara menyuarakan pandangan masing-masing.

"Prinsip asas Malaysia, termasuk kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, kesamarataan, keperluan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lestari serta kesedaran awam dan ketelusan menjadi asas dalam setiap rundingan," katanya dengan menambah, prinsip-prinsip itu turut mendapat sokongan daripada negara anggota WHO lain.

Beliau berkata KKM sebagai penyelaras kedua-kedua rundingan itu telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara untuk memastikan kedaulatan undang-undang Malaysia terpelihara dan kepentingan rakyat diutamakan.

Tambahnya, keputusan muktamad hanya diberikan apabila kesemua negara anggota bersetuju dalam rundingan berkenaan.

 

Pindaan Diputuskan Negara-Negara Anggota

MyCheck meneruskan carian isu ini di media sosial seperti di platform X.

Pada 1 Nov 2023, Pengerusi MedTweetMY Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin memuat naik ciapan menyatakan terdapat tiga fasa proses pindaan, yang mana setakat ini pindaan itu baru melalui proses pertama iaitu proses rundingan.

MedTweetMY adalah sebuah platform yang berkongsi informasi berkenaan perubatan.

Menurut beliau, sewaktu cadangan pindaan ini mahu dilaksanakan, WHO bertindak sebagai sekretariat serta mengumpul dan meminta semua cadangan-cadangan pindaan daripada semua negara anggota.

“Pada Mei 2024 nanti undian akan dibuat, waktu itu Kerajaan Malaysia boleh memilih untuk bersetuju atau tidak melalui undian. Satu negara anggota mempunyai satu undi.

“Ada pihak yang mendesak KKM dan Kerajaan Malaysia untuk menolak IHR ini, akan tetapi, pindaan ini masih dalam fasa rundingan, bagaimana kita mahu menerima atau menolaknya?,” soalnya.

 

Kekal Pendirian Menjaga Kedaulatan Negara

Pada 1 Nov 2023, melalui rancangan ‘podcast’ Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya beliau telah menjual kedaulatan negara apabila menandatangani IHR ketika memegang jawatan Menteri Kesihatan.

“IHR digubal pada 1969, dipinda pada 1973 dan 1981, dan yang terakhir pada tahun 2005. Sebagai Menteri Kesihatan saya tidak tandatangan apa-apa, kita memang adalah negara yang menjadi sebahagian daripada undang-undang antarabangsa pengamalan dunia,” katanya.

Beliau berkata sememangnya ada negara yang menuntut perjanjian baharu, tetapi Malaysia berpendirian untuk pindaan bersasar kepada akta dan peraturan sedia ada, iaitu bukan pindaan keseluruhan atau perjanjian baharu.

Pada 24 Mei 2022, ketika Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-75, Khairy menegaskan pendirian kerajaan Malaysia bahawa sebarang pindaan ke atas IHR wajar menghormati  kedaulatan sesebuah negara.

Menurut Khairy, terdapat beberapa cadangan dari negara lain contohnya dari Amerika Syarikat (AS) yang tidak dipersetujui Malaysia kerana didakwa boleh menjejaskan kedaulatan.

Antara cadangan tersebut adalah mengenai peruntukan membuang (delete) teks di dalam Artikel 9 iaitu mengenai konsultasi negara anggota dalam melaporkan wabak penyakit.

 


Sumber: WHO

 

Kami dapati lebih 300 pindaan telah dicadangkan oleh negara anggota. Anda boleh semak cadangan yang dikemukakan itu di sini.

 

Pandangan Pakar Kesihatan

Memahami isu ini memerlukan bidang kuasa pakar-pakar khususnya dalam bidang kesihatan, MyCheck seterusnya mendapatkan perspektif daripada doktor perubatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah.

Suhazeli banyak menulis berkenaan isu-isu perubatan yang tular di Facebook dan beliau turut mengulas mengenai IHR di laman web suhazeli.com.

Ketika ditanya mengenai pindaan IHR yang didakwa berpotensi menjejaskan kedaulatan negara, Suhazeli menjawab:  “Setiap negara masih mempunyai hak dan kedaulatan dalam membuat keputusan mengenai tindakan kesihatan awam di dalam negara masing-masing.

Sudah tentu pakar-pakar yang bertungkus-lumus untuk menguruskan  wabak itu akan merujuk kepada kajian-kajian yang sahih (Evidence Based Medicine) sebelum menentukan sesuatu syarat atau polisi dalam negara,” katanya kepada MyCheck.

Menurut Suhazeli, WHO tidak mempunyai kuasa pemerintahan negara mahupun politik bahkan tidak mempunyai kuasa ketenteraan untuk menjajah negara-negara lain.

 

Peranan WHO

Pada masa sama, MyCheck bertanyakan mengenai gesaan beberapa pihak untuk menolak WHO.

Namun, sekiranya Malaysia mengambil jalan ‘Exit WHO’ adakah ia tidak memberi sebarang implikasi?

Menurut Suhazeli, WHO adalah satu kesatuan negara-negara berdaulat yang akan membincangkan isu-isu kesihatan terutama sekali dalam pengurusan wabak penyakit di seluruh dunia, maka sudah tentu ia mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu kepada negara-negara ahli antaranya: 

    1. WHO memainkan peranan penting dalam mengumpul dan menyebarkan data kesihatan, menyediakan sokongan teknikal, logistik, dan menggalakkan kerjasama antara negara-negara ahli dan rakan kongsi.

  • Data kesihatan ini penting untuk sesebuah negara membuat kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua bentuk wabak kesihatan yang melanda dunia.

    2. WHO adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan keadaan kedaruratan kesihatan awam yang penting di tahap antarabangsa dan mengkoordinasikan tindakan pencegahan dan respons global.

  • Negara yang keluar dari WHO mungkin tidak mendapat manfaat daripada inisiatif dan program WHO, seperti COVAX, yang bertujuan untuk memastikan akses yang adil dan saksama kepada vaksin COVID-19.

 

Apa Pula Kata Pakar Perundangan?

MyCheck teruskan semakan dengan mendapatkan pandangan dari aspek perundangan.

Ia bagi mengukuhkan semakan kami sekali gus memastikan setiap konteks yang dilontarkan beberapa pihak dapat ditelaah.

Menurut pakar perundangan dan perlembagaan merangkap Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, Malaysia boleh menerima pakai peruntukan dalam IHR selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan.

“Apabila kita meratifikasi sesebuah peraturan antarabangsa, ia hanya mengikat apabila kita meluluskan undang-undang tempatan yang mengandungi peraturan-peraturan dalam undang-undang antarabangsa tersebut.

“Selagi Parlimen tidak meluluskan undang-undang tempatan tersebut, selagi itu peraturan antarabangsa tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Antara contoh undang-undang yang diratifikasi adalah Konvensyen International Labour Organisation (ILO), Malaysia telah menolak peruntukan mengenai buruh paksa dalam peraturan ILO kerana perlembagaan kita membenarkan buruh paksa bagi mereka yang ditahan di penjara seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MyCheck.

Oleh sebab itu, tambahnya tiada isu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Malaysia berhak menentukan undang-undang sendiri.

Pada 7 Nov 2023, FMT menerbitkan artikel pindaan IHR tidak gugat kedaulatan negara yang memetik kenyataan pakar undang-undang antarabangsa Salawati Mat Basir.

“Kita ada Pejabat Peguam Negara yang bukan duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, mereka bersama Kementerian Kesihatan meneliti setiap draf.

“Kita bukan negara yang ambil bulat-bulat undang-undang antarabangsa, kalau bertentangan Perlembagaan kita tak akan laksanakannya atau buat perubahan sesuai,” katanya.

 

Kontroversi Pindaan IHR

Sewaktu kami menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami dapati pindaan IHR telah mendapat pelbagai reaksi.

Selain itu, terdapat petisyen orang ramai yang membuat bantahan bagi menolak pindaan itu.

Bukan sahaja di Malaysia malah membabitkan negara-negara seperti di Jerman, Amerika Syarikat, Thailand dan Australia.

Bagaimanapun, dakwaan ini telah disangkal (debunked) beberapa pihak semakan fakta di seluruh dunia seperti di sini, di sini dan di sini. 

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar. Pindaan IHR itu masih dalam proses rundingan.

Malaysia berhak menentukan peraturan dalam IHR selaras dengan keselamatan dan kedaulatan negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Bebas News | PPIM Hantar Memorandum Bantahan Ke Istana Negara | 26 Oktober 2023

  2. Facebook | Juju Jaja | 23 November 2023 

  3. Facebook | Sungkai Darat | 1 November 2023

  4. Astro Awani | Dunia masih Belum Bersedia Untuk Pandemik Seterusnya - Badan Pemantau | 30 Oktober 2023 

  5. Health Policy Watch | Lacking Resources & Authority, WHO Was Too Slow To Act Against COVID-19 – Says Independent Review Panel | 19 Januari 2021

  6. WHO | About WHO

  7. WHO | World Health Assembly

  8. WHO | Report of the Member States Working Group on Strengthening WHO Preparedness for and Response to Health Emergencies to the special session of the World | 28 Oktober 2021

  9. WHO | World Health Assembly agrees to launch process to develop historic global accord on pandemic prevention, preparedness and response | 1 Disember 2021

  10. WHO | Pandemic prevention, preparedness and response accord | 28 June 2023

  11. WHO | Seventy-fifth World Health Assembly – Daily update: 24 May 2022 | 24 May 2022

  12. NCBI | Public health emergencies of international concern: a historic overview - PMC 

  13. WHO | Zero draft of the WHO CA+ for the consideration of the Intergovernmental Negotiating Body at its fourth meeting | 1 Februari 2023

  14. WHO | International health regulations

  15. WHO | Fourth meeting of the Intergovernmental Negotiating Body (INB) for a WHO instrument on pandemic prevention, preparedness and response | 27 Februari 2023 

  16. WHO | Proposal for negotiating text of the WHO Pandemic Agreement | 30 Oktober 2023

  17. Utusan Malaysia | PARLIMEN: Malaysia tidak akan putuskan ratifikasi atau tolak WHO CA+, IHR 2005 sebelum 1 Disember ini | 2 November 2023 

  18. Astro Awani | Pendirian Malaysia dalam WHO CA+, pindaan IHR 2005 untuk jaga kepentingan kesihatan awam | 27 Oktober 2023

  19. Youtube | Laporan PAC Pengurusan COVID-19, IHR, Minggu Solidariti Palestin, Statut Rom-Palestin.| 1 Novermber 2023

  20. Kosmo | Malaysia bertegas pindaan IHR perlu hormat kedaulatan negara - Kosmo Digital | 24 Mei 2022

  21. Code Blue | Khairy: Proposed Pandemic Treaty Reform Affects National Sovereignty - CodeBlue | 27 May 2022

  22. WHO | Proposed Amendments to the International Health Regulations (2005) submitted in accordance with decision WHA75(9) (2022)

  23. Suhazeli.com | Perjanjian WHO CA+ dan IHR2005 | 25 Oktober 2023

  24. Twitter | Khairul Hafidz | 1 November 2023

  25. FMT | Tak Gugat Kedaulatan Negara - Kata Pakar | 7 November 2023

  26. TikTok | mellganu | 30 November 2023

  27. AFP Fact Check | Posts misrepresenting draft WHO pandemic accord spread online in Thailand | 20 June 2023 

  28. Change.org | Petition · Reject amendments to the International Health Regulations which infringe on human rights | 19 Oktober 2023 

  29. DW | Fact check: Conspiracy theories about the 'pandemic treaty' – DW – 06/25/2023

  30. Times of Malta | Fact-check: Petition warns that WHO will assume power over Malta’s constitution | 23 Oktober 2023 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.