+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kredit eMADANI Dilarang Ditebus Tunai, Akaun Penerima Boleh Disekat Dan Kredit Dilucut Hak

Benarkah...

Penerima kredit eMADANI dibenarkan membuat penebusan tunai (menukar kredit kepada wang tunai) menerusi perkhidmatan ‘cash-out’ yang ditawarkan di media sosial.

Sumber : Sumber: Facebook / Disember 2023

Hasil

Tindakan tebus tunai eMADANI adalah dilarang. Akaun penerima eMADANI akan disekat oleh kerajaan atau dilucutkan hak kredit sekiranya mereka membuat penebusan tunai atau ‘pemindahan ‘peer-to-peer’.

12/01/2024 06:02 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial tawaran penebusan tunai atau ‘cash-out’ kredit eMADANI oleh individu-individu yang menawarkan perkhidmatan itu kepada penerima sama ada secara percuma atau berbayar.
  • Tindakan tebus tunai atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI adalah dilarang oleh kerajaan.
  • Penerima eMADANI boleh dikenakan sekatan akaun dan dilucutkan hak kredit sekiranya berbuat demikian.
  • Nilai kredit eMADANI hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui empat penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
  • Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tawaran penebusan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Prihatin dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia.

Antara inisiatif yang menyasarkan kumpulan B40 dan M40 sebagai contoh, adalah Sumbangan Tunai Rahmah, eBelia Rahmah serta program eMADANI.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial Facebook mengenai kewujudan perkhidmatan penebusan tunai atau ‘cash-out’ kredit eMADANI.

Perkhidmatan itu ditawarkan oleh beberapa individu dengan ada antaranya melakukan secara percuma dan ada yang mengenakan bayaran sebagai upah.

Individu yang menawarkan perkhidmatan itu turut berkongsi tangkap layar kejayaan transaksi pemindahan wang kepada orang ramai yang telah menggunakan perkhidmatan tersebut.

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Program eMADANI?

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), eMADANI merupakan kesinambungan kepada kejayaan program eBelia Rahmah yang sebelum ini dikhususkan buat golongan belia berumur antara 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi.

Menerusi program berkenaan, setiap belia yang layak, menerima kredit e-tunai RM200 yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal menerusi penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.

Manakala untuk program kredit eMADANI pula, MOF menjelaskan bahawa seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40, bakal menerima kredit e-tunai sebanyak RM100 sekali sahaja (one-off) melalui program ini.

Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat dalam program kredit eMADANI iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sumbangan eMADANI bertujuan meringankan beban kewangan rakyat di samping memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, sekali gus menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara.

Dalam masa sama, eMADANI juga bertujuan untuk membantu peniaga kecil-kecilan yang menawarkan perkhidmatan pembayaran sedemikian di premis perniagaan masing-masing.

 

Syarat-Syarat Kelayakan

Terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mereka yang memohon program kredit eMADANI.

Antara kriteria itu adalah warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Jan 2023, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod MOF pada 7 Nov 2023 dan pendapatan tahunan pemohon di bawah RM100,000 berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), setakat 15 Julai 2023.

 

Tempoh Pendaftaran Dan Tuntutan eMADANI

Permohonan untuk program kredit eMADANI telah dibuka sejak 4 Dis 2023 lalu,  yang mana tarikh akhir permohonan adalah pada 20 Feb 2024, melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.

Penggunaan e-tunai daripada program berkenaan serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sehingga 29 Feb 2024.

Kredit yang diterima daripada program eMADANI juga boleh dimanfaatkan menerusi peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

 

Grup Khas Di Facebook Jadi Pusat Iklan Perkhidmatan Tebus Tunai eMADANI

Berbalik kepada perkhidmatan tebus tunai eMADANI yang tular di Facebook, MyCheck menatal (scrolling) laman sosial itu untuk membuat carian lanjut.

Kami mendapati perkhidmatan itu bukan sahaja ditawarkan secara terbuka oleh segelintir individu di laman sosial peribadi masing-masing sebaliknya terdapat grup atau komuniti khas yang diwujudkan sebagai platform untuk mengiklankan perkhidmatan itu.

 


Sumber: Facebook

 

Bahkan ramai antara penerima manfaat turut berkongsi pengalaman mereka yang telah berjaya melakukan penebusan tunai dengan mendapatkan perkhidmatan yang diiklankan menerusi kumpulan tersebut.

 

‘Scammer’ Ambil Kesempatan Tawar Perkhidmatan Tebus Tunai

Namun, di sebalik pengalaman daripada mereka yang telah berjaya membuat penebusan tunai, ramai juga yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ sehingga kerugian wang ringgit.

Dikatakan ‘scammer’ begitu aktif mengiklankan perkhidmatan tebus tunai kredit eMADANI di dalam grup yang diwujudkan itu dan telah berjaya memperdaya ramai penerima manfaat tersebut.

Kami turut menemui beberapa hantaran pengguna Facebook yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa penipuan dan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

 


Sumber: Facebook

 

Beberapa hantaran lain anda boleh lihat antaranya di sini, di sini dan di sini.

 

Bolehkah Tukar Nilai Kredit eMADANI Secara Tunai?

Persoalannya bolehkah nilai kredit eMADANI ini ditukar secara tunai?

MyCheck melakukan carian lanjut dan menemukan kenyataan daripada MOF bertarikh 4 Dis 2023 mengenai perkara itu.

Menurut MOF, kredit eMADANI TIDAK BOLEH ditebus tunai atau digunakan bagi pemindahan ‘peer-to-peer’.

“Pihak kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pembayaran tanpa tunai,” menurut kenyataan itu.

MOF turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-to peer’ eMADANI oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Hal ini bertujuan mengelakkan penerima manfaat eMADANI menjadi mangsa penipuan ‘scam’, sekali gus hilang kredit masing-masing.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kewangan

 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut memberikan peringatan yang sama supaya penerima manfaat kredit eMADANI tidak melakukan penebusan tunai bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan.

"Contohnya dulu, sewaktu diumum boleh keluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), macam-macam scam berlaku, apabila diumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), macam-macam juga berlaku. Samalah untuk eMadani.

"Tolong hati-hati, baca betul-betul (syarat)...jangan 'cash out', sebab kalau ada siapa-siapa kata dia boleh bagi duit, dijamin dia tak akan bagi duit, kita akan hilang RM100," jelas Fahmi yang dipetik menerusi laporan Sinar Harian.

Laporan sama mengenai isu berkenaan turut disiarkan media arus perdana lain antaranya Berita Harian dan The Star.

 


Sumber: Sinar Harian

 

Rujuk Maklumat Terperinci Mengenai eMADANI Di Portal Manfaat

Untuk panduan lebih jelas mengenai eMADANI dan sekali gus mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan ‘scammer’, orang ramai boleh mengakses Portal Manfaat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Portal Manfaat merupakan laman web kelolaan MOF yang menyediakan informasi dalam talian berhubung pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan.

Terdapat pelbagai maklumat mengenai eMADANI termasuklah kriteria penggunaan e-tunai.

Menurut portal itu jelas dinyatakan bahawa penerima kredit eMADANI boleh menggunakan e-tunai RM100 yang diberikan untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan masing-masing.

Penerima manfaat kredit eMADANI bagaimanapun TIDAK dibenarkan membuat beberapa transaksi seperti pemindahan 'peer-to-peer', penebusan tunai, bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet, bayaran fi berkaitan kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet.

Selain itu, penerima manfaat program kredit eMADANI TIDAK dibenarkan melakukan pembayaran bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet serta bayaran tempat letak kereta atau tol.

Mereka yang layak juga TIDAK dibenarkan melakukan aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet dan transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.

 

KESIMPULAN

Kerajaan tidak membenarkan penebusan tunai kredit eMADANI kerana tujuan asal pengenalan program berkenaan bermatlamat membantu mengurangkan beban rakyat selain memperkasakan agenda pendigitalan ekonomi negara.

Selain itu, program berkenaan turut menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kedai runcit atau premis perniagaan, sekali gus membantu peniaga kecil menjana pendapatan yang lebih baik.

Larangan penebusan tunai seperti yang dimaklumkan oleh MOF juga adalah bagi memastikan penerima manfaat program eMADANI tidak menjadi mangsa penipuan pihak-pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Nasihat kami jangan terpedaya dengan sebarang perkhidmatan penebusan kredit eMADANI yang ditawarkan mana-mana pihak di laman sosial walaupun tiada sebarang caj perkhidmatan dikenakan.

Rujuk platform media sosial atau laman web rasmi bagi mengetahui lebih jelas berhubung mana-mana bantuan yang diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Nurul Asmaa Hamizan | 31 Dis 2023

  2. Facebook | Puteri | 28 Dis 2023

  3. Facebook | Natasha Rahim | 13 Dis 2023

  4. Laman sesawang Kementerian Kewangan

  5. Facebook | CASHOUT E-MADANI 2023 RM100 & BNPL MALAYSIA 

  6. Facebook | Nur Syazwani | 2 Jan 2024

  7. Facebook | Fikrie Ekys | 19 Dis 2023

  8. Facebook | Amirul Shafiq | 19 Dis 2023

  9. Facebook | Kementerian Kewangan | 4 Dis 2023

  10. Sinar Harian | Jangan terpedaya tawaran khidmat 'cash out' eMadani - Fahmi | 5 Dis 2023

  11.  Berita Harian | Jangan terpedaya helah scammer tawar khidmat 'cash out' eMadani | 5 Dis 2023

  12. The Star | Don't be duped by scammers claiming to provide eMadani cash-outs, says Fahmi | Dec 5 2023

  13. portal manfaat eMADANI

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.