+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dua Klip Berita Pelaburan Bernama TV Adalah Palsu, Video Asal Disunting Menggunakan AI

Benarkah...

Bernama TV terbit siaran berita mengenai platform pelaburan baharu ciptaan usahawan, Elon Musk.

Sumber : WhatsApp/Facebook Januari

Hasil

Siaran asal berita Bernama TV telah disunting di luar konteks menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

19/01/2024 04:37 PM

SEKILAS FAKTA 

  • MyCheck menerima dua pautan video mendakwa Bernama TV menyiarkan berita berkenaan pelaburan baharu ciptaan usahawan teknologi terkenal, Elon Musk.

  • Pemerhatian MyCheck mendapati video tular itu agak janggal kerana audio suara serta visual dalam paparan itu kelihatan tidak selari.

  • Semakan MyCheck menggunakan ‘tools’ dalam talian yang boleh digunakan secara terbuka (open source) mendapati kedua-dua video itu telah disunting di luar konteks menggunakan AI. 

  • Malah, klip berita asal sebenarnya dalam Bahasa Melayu dan tiada kaitan dengan pelaburan saham itu. 

  • Bagi mengekang penularan maklumat palsu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Meta menurunkan kandungan itu. 


Sumber: MyCheck Malaysia

LATAR BELAKANG 

Tawaran keuntungan kewangan menerusi pelbagai medium pelaburan pastinya menarik minat orang ramai untuk mencuba nasib mempertingkatkan taraf kewangan.

Ditambah pula dengan kepesatan teknologi serta capaian Internet tanpa sempadan masa kini, skim pelaburan seperti mata wang digital (bitcoin), emas dan tukaran mata wang asing (forex) antara yang berleluasa diiklankan secara dalam talian. 

Lebih-lebih lagi jika promosi tawaran pelaburan itu disokong atau disiarkan menerusi medium yang meyakinkan seperti pempengaruh media sosial, individu ternama, media atau lain-lain organisasi kerajaan.

Namun masyarakat seharusnya sentiasa berwaspada dengan sebarang bentuk pelaburan yang ditawarkan kerana dikhuatiri terjerat dengan skim pelaburan palsu.

 

MENGENAI DAKWAAN 

MyCheck menerima dua pautan video dari laman Facebook menerusi aplikasi WhatsApp, mendakwa saluran berita Bernama TV milik Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melaporkan berkenaan aplikasi pelaburan baharu ciptaan Elon Musk yang bertujuan membendung masalah kemiskinan global.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Malah menurut siaran berita berkenaan, Elon dikatakan berhasrat memperkenalkan aplikasi tersebut di Malaysia serta menjanjikan keuntungan berlipat ganda.

Semestinya ramai yang teruja sebaik menonton berita tersebut. Namun, benarkah Bernama TV melaporkan sedemikian? Jom, ikut MyCheck semak kesahihannya!

 

APA YANG KAMI TEMUI 

MyCheck memulakan semakan dengan meneliti secara terperinci rakaman siaran kedua-dua video berkenaan. Hasilnya, kami menjumpai beberapa petunjuk yang boleh membantu dalam mengenal pasti kesahihan serta ketulenan kandungan berkenaan.

 

Audio Suara, Visual Tidak Selaras 

Jika diteliti video berkenaan, anda boleh kenalpasti bahawa pergerakan mulut kedua-dua pembaca berita BERNAMA serta Elon sendiri, tidak selari (synchronise) dengan butiran perkataan yang disebut.

Malah tutur kata pembaca berita dan Elon menerusi paparan tersebut kelihatan janggal kerana mereka dilihat seakan tidak menarik nafas ketika melontarkan ayat demi ayat serta kedengaran seperti suara mesin (machine voice). 

Justeru, bagi memastikan keabsahan paparan siaran video tersebut, MyCheck perlu  menggunakan ‘tools’ semakan fakta untuk memastikan kesahihannya. 

Disebabkan dakwaan tersebut dalam bentuk audio dan visual, kami perlu memeriksa satu demi satu. MyCheck mulakan dengan membuat semakan audio untuk mengesan sekiranya audio yang digunakan dalam video itu adalah palsu ataupun tidak.

Kami cuba menggunakan alat mengesan audio palsu (audio fake detection), malangnya, tidak semua ‘audio detection tools’  dalam talian tersedia secara percuma. Kebanyakan alat semakan AI tidak mudah diakses kerana ia platform ‘premium’ berbayar. 

Kami teruskan mencari ‘tools’ yang boleh digunakan secara terbuka (open source) dan menemui aplikasi ‘deepWare’. 

DeepWare adalah ‘tools’ AI bagi pengesanan sebarang unsur ‘DeepFake’ dalam bentuk audio suara mahupun visual. 

Langkah pertama yang kami lakukan menggunakan DeepWare ialah memuat naik audio suara yang telah kami pisahkan (extract) daripada visual hantaran siaran berita di laman Facebook berkenaan.

Hasilnya, suara bagi kedua-dua audio yang disemak menggunakan aplikasi itu menunjukkan keputusan ‘Deepfake Detected’ sebanyak 95 peratus.

Ini bermakna kedua-dua audio yang digunakan bukan tulen tetapi dijana menerusi AI agar kedengaran sama dengan suara asal pembaca berita berkenaan. 

Seterusnya, kami memeriksa pula kesahihan visual tersebut menggunakan aplikasi yang sama. Keputusan saringan menunjukkan rating seperti dalam rajah berikut.


Sumber: Deepware

Ini bermakna video-video tersebut telah disunting bagi menunjukkan pergerakan mulut pembaca berita berkenaan kelihatan selari dengan audio suara yang telah dijana menggunakan AI.

 

Video Asal Disunting Di Luar Konteks 

Seterusnya, kami beralih pula untuk membuat semakan sekiranya terdapat visual asal bagi membuat perbandingan serta mengumpul lebih lagi maklumat berkenaan intipati dan konteks asal klip tular itu. 

Jika anda perhatikan, terdapat ayat ‘New York Times DealBook Summit’ pada latar belakang acara ketika Elon sedang berucap.


Sumber: Facebook

Berdasarkan petunjuk tersebut, kami melayari YouTube untuk membuat carian dengan menggunakan kata kunci ‘The New York Times DealBook Summit Elon Musk’.


Sumber: YouTube

Hasil carian kami membawa kepada beberapa video. Kami klik salah satu video yang menunjukkan pakaian serupa dipakai Elon dalam video tular tersebut sewaktu program DealBook Summit 2023 yang diadakan pada 30 November tahun lepas.  Elon menjadi tetamu pada acara tersebut.

Kami dapati sebenarnya ucapan Elon pada program tersebut adalah berbeza dari paparan klip berita tular itu.

Dalam masa sama, kami turut mencari visual asal video kedua melalui petunjuk dalam klip berita terbabit. 

Kami dapati teks yang digunakan pada kedua-dua video tular itu hampir sama. Namun, hanya berlainan pembaca berita dan figura. Dalam video pertama, figura yang ditonjolkan ialah Elon manakala dalam video kedua pula adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anda boleh lihat klip asal Tun Mahathir itu di sini yang disunting menjadi konten dalam video kedua. Video asal Tun Mahathir adalah sewaktu beliau terlibat dalam perbahasan di Oxford Union pada 18 September 2022. 

Kami teliti pula konteks perbahasan tersebut yang langsung tidak menyebut dan menyentuh berkaitan isu pelaburan saham seperti yang ditularkan. 

 

Berita Sebenarnya Dalam Bahasa Melayu 

Bagi mendapatkan kesahihan yang lebih menyeluruh, kami beralih pula kepada proses mencari video asal pembaca berita Bernama TV. 

Pada awalnya kami menggunakan aplikasi semakan fakta iaitu InVid bagi mencari kandungan asal termasuk membuat semakan di platform carian imej berbalik lain seperti Yandex dan Google Image.

Sekali lagi, kami tidak menemui sebarang dapatan di platform terbabit. 

Disebabkan itu, kami harus membuat carian video asal secara manual di YouTube dan proses tersebut memerlukan lebih masa kerana memerlukan kami meneliti satu per satu video siaran berita terbitan Bernama TV. 

Menggunakan petunjuk pakaian yang dipakai pembaca berita terbabit kami temui video asal itu yang bertajuk “Pulau Bangau gamit kedatangan pelancong dalam, luar negara”. 

Kami dapati video itu dimuat naik Bernama TV pada 25 Dis 2023. Manakala, akaun Cyber Community Convergence memuat naik hantaran itu di Facebook pada 15 Jan 2024. 

Apa yang lebih mengejutkan, berita Buletin Bernama itu sebenarnya dibacakan dalam Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Inggeris seperti dalam video tular.


Sumber: YouTube

Sudah terang lagi bersuluh, kedua-dua petunjuk ini jelas membuktikan klip berita itu disunting menggunakan konteks yang berlainan daripada video asal serta menggunakan teknik AI bagi menampakkan ia seakan video tulen. 

 

‘Crawler’ Disunting Berlainan Dengan Buletin Bernama 

Petunjuk seterusnya yang dapat dikenal pasti adalah ‘news ticker’ atau ‘crawler’ yang digunakan dalam klip berita yang tular itu. 

Jika anda perhatikan pada gambar di bawah, ‘news ticker’ yang digunakan pada klip berita palsu adalah sangat berbeza dengan klip asal Buletin Bernama.


Sumber: YouTube

Malah, jika anda sedari nilai matawang yang tertera pada ‘crawler’ tersebut menggunakan “MYR” berbanding RM yang lazim digunakan dalam laporan berita.

Ini kerana kesilapan sebegini amat jarang berlaku kerana rata-rata media dalam negara menggunakan ‘house style’ yang seragam dalam pelaporan berita.


Cara Pelaburan Seakan Penipuan Pelaburan (Scam)

Jika anda mendengar semula video tular terbabit, terdapat bahagian di mana Elon kononnya menjelaskan cara untuk melabur pada aplikasi pelaburannya. 

Menurut video itu, pelabur boleh meninggalkan butiran di laman web berkenaan dan akan ada pakar bahagian teknikal yang membantu untuk muat turun aplikasi di dalam peranti. 

Selepas itu, pelabur diminta untuk membayar deposit sebanyak RM1,200, yang mana selepas beberapa hari, mereka yang melabur akan memperoleh keuntungan mencecah RM160,000 setiap bulan. 

Seperti yang kerap kali dilaporkan media, penipuan skim pelaburan melalui laman web antara trend dan taktik popular penjenayah ‘scammer’. 

Ini kerana butiran atau laman web yang tidak ditentusahkan kesahihannya boleh menyebabkan individu atau pelabur itu mengalami kerugian akibat terpedaya dengan iklan yang ditawarkan. 

Dalam kes ini, besar kemungkinan aplikasi itu adalah penipuan pelaburan untuk memerangkap mangsa yang mudah terpedaya, tambah lagi skim pelaburan itu dilihat terdesak hingga menyunting klip berita daripada agensi berita yang dipercayai seperti Bernama. 

Berikutan itu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengarahkan Meta menurunkan kandungan kedua-dua video tular itu sebagai usaha mengekang penyebaran maklumat palsu. Kedua-dua video berkenaan telah diturunkan pada 18 Jan 2024.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu, muncul pula satu lagi klip video dibuat seolah-olah wujud laporan berita berkenaan pelaburan yang mengaitkan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Menggunakan teknik AI yang sama, video palsu berkenaan sekali lagi menggunakan klip laporan berita oleh Bernama TV.

Dalam masa yang sama BNM telah mengambil langkah proaktif dengan memuat naik satu hantaran menafikan konteks berita yang mengaitkan pihaknya.

 "Jangan terpedaya dengan video, hantaran atau mesej yang menyalahgunakan nama, logo atau nama pegawai kanan Bank Negara Malaysia. Tindakan akan diambil terhadap pelaku.

Sentiasa ingat, BNM TIDAK MEMPROMOSIKAN mana-mana skim pelaburan", menurut hantaran penafian BNM itu.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata teknologi AI mempunyai banyak kebaikan tetapi berisiko untuk diguna pakai ‘scammer’ bagi tujuan penipuan. Maka adalah sangat penting untuk orang ramai menghantar aduan kepada Meta atau SKMM sekiranya menerima atau melihat video seperti ini.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan klip berita yang didakwa disiarkan oleh Bernama TV berkenaan pelaburan itu sebagai tidak benar. 

Semakan MyCheck mendapati ia adalah suntingan AI yang menampakkan video tersebut seakan video tulen. 

Anda boleh mengaplikasikan teknik semakan fakta seperti yang kami kongsikan bagi melakukan ‘fact-checking’ terhadap maklumat salah membabitkan penggunaan AI. 

Di sebalik pendigitalan yang semakan rancak ini, tidak dinafikan AI antara cabaran baharu dalam lanskap penyampaian maklumat. 

Pesan kami di MyCheck, sebagai individu yang celik teknologi dan celik fakta, mahirkan diri anda dengan ilmu yang memerlukan keupayaan teknologi agar dapat mengelak diri dari menjadi antara individu yang terpedaya dengan maklumat palsu. 

Tidak rugi jika sekiranya anda turut belajar asas semakan fakta menggunakan pelbagai aplikasi terbuka dalam talian. Jom sama-sama kita banteras maklumat palsu!

 

RUJUKAN 

  1. DeepWare | Scanner DeepWare

  2. YouTube | Elon Musk on Advertisers, Trust and the “Wild Storm” in His Mind DealBook Summit 2023 | 30 November 2023 

  3. YouTube | Tun Dr Mahathir Bin Mohamad: Former Malaysian Prime Minister |18 September 2022

  4. InVid | InVid

  5. YouTube | Pulau Bangau gamit kedatangan pelancong dalam, luar negara | 25 December 2023

  6. Astro Awani | Lelaki rugi lebih RM840,000 akibat penipuan pelaburan melalui laman web | 8 November 2023

  7. Instagram | Bank Negara Malaysia | 18 Januari 2024

  8. Harian Metro | SKMM diarah minta Meta turunkan video palsu berita Bernama TV guna AI | 18 Januari 2024

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.