+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Cukai LVG Hanya Untuk Barang Import Dalam Talian Bawah RM500, Tidak Patut Berlaku Kenaikan Harga Pada Barangan Lain

Benarkah...

Cukai 10 peratus Barang Bernilai Rendah (LVG) dikenakan kepada semua produk dalam talian, sekali gus menjadi faktor kenaikan harga barang.

Sumber : WhatsApp / Januari 2024

Hasil

Cukai LVG hanya terpakai bagi produk import bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian. Namun terdapat segelintir peniaga produk tempatan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan mereka.

21/01/2024 11:59 AM

SEKILAS FAKTA

  • Pelaksanaan cukai LVG didakwa terpakai kepada semua barangan dalam talian, sedangkan cukai 10 peratus itu hanya bagi produk LVG import dalam talian bernilai bawah RM500.
  • Ramai pihak khususnya pembeli mendapati harga barangan lain yang bukan dikategori LVG import, juga naik mendadak sebaik pelaksanaan cukai baharu itu bermula Januari tahun ini.
  • Difahamkan perkara ini terjadi kerana segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan lain dengan alasan pelaksanaan cukai LVG.
  • Menurut Kementerian Kewangan tujuan utama cukai baharu itu untuk memberi kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan, namun pakar berpendapat terdapat kelemahan yang boleh disalahguna untuk tujuan menaikkan harga.
  • Cukai itu sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 April 2023 tetapi ditangguh kepada 1 Januari 2024 agar isu-isu berkaitan pelaksanaannya dapat diperhalusi.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan dalam talian menjadi topik hangat yang diperkatakan pengguna sebaik pengumuman pelaksanaan cukai jualan 10 peratus terhadap barang bernilai rendah.

Lebih-lebih lagi apabila berlakunya kenaikan harga barangan tersebut setelah cukai baharu itu bermula, malah ada segelintir peniaga yang tanpa segan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga kesemua barangan mereka.

Pelbagai justifikasi diberi pihak berwajib bahawa cukai itu akan memberi impak positif kepada penjanaan ekonomi tempatan, namun ia tetap kurang disenangi pengguna yang sebelum ini memilih untuk membeli-belah di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada sebagai langkah penjimatan.

Justeru, ramai yang mahukan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan ini untuk diambil tindakan oleh pihak berwajib agar mereka tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan membebankan pengguna akhir.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam yang meminta kepastian berhubung dakwaan kononnya semua pembelian dalam talian kini dikenakan cukai LVG.

Mesej tersebut juga bertanyakan sama ada benarkah cukai itu memberi impak kenaikan harga bagi semua barangan yang dijual menerusi platform e-dagang?

Turut disertakan satu tangkap layar hantaran pengguna media sosial.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

APA YANG KAMI TEMUI

Oleh kerana tangkap layar yang diterima merujuk kepada hantaran seorang pengguna media sosial, MyCheck mengambil langkah untuk membuat tinjauan di semua platform bagi mendapatkan maklumat lanjut serta melihat reaksi warganet.

Pemerhatian kami mendapati ada pihak yang memberi reaksi positif dan tidak kurang juga yang negatif berhubung pengenalan cukai LGV di kebanyakan platform media sosial.

Kami kongsikan antara reaksi orang ramai seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Media sosial

 


Sumber: Media sosial

 

Pemerhatian awal kami mendapati masih ada yang keliru dan mendakwa semua barangan dikenakan cukai LVG.

Tambahan pula terdapat peniaga barang tempatan yang turut menaikkan harga disebabkan pelaksanaan cukai baharu itu.

 

Apakah Maksud Cukai LVG?

Sebelum MyCheck merungkai isu ini dengan lebih lanjut, lebih baik kita ketahui terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan cukai LVG ini.

Menurut laman rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), cukai jualan bagi LVG akan dikenakan kepada semua barang import atau dari luar negara yang dijual dalam talian bernilai RM500 ke bawah.

Penjual dari Malaysia atau luar Malaysia yang menjual LVG dikehendaki berdaftar dan mengenakan cukai jualan dengan kadar rata 10 peratus. Tarikh kuat kuasa cukai jualan ke atas LVG bermula pada 1 Jan 2024.

Menurut portal Berita Harian, semua barang yang terlibat dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan darat, laut atau udara.

Bagaimanapun, barangan ini tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok paip, rokok elektronik dan peranti pengewapan sama ada mengandungi nikotin atau tidak.

Menurut artikel itu, pengendali pasaran dalam talian sama ada di dalam atau di luar Malaysia serta berdaftar dengan JKDM di bawah peruntukan Akta Cukai Jualan 2018 (LVG) yang boleh mengenakan 10 peratus cukai ke atas LVG.

Selain itu cukai jualan ke atas nilai jualan LVG juga tidak termasuk sebarang cukai, duti, yuran atau caj lain seperti pengangkutan, insurans atau kos lain.

 

Hanya Terpakai Untuk Produk LVG Import

Maklumat utama yang perlu difahami berkenaan cukai LVG ialah ia hanya terpakai bagi produk LVG import ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara serta dijual secara dalam talian sahaja.

Menurut maklumat infografik Jabatan Komunikasi Komuniti, ini bermaksud cukai LVG tidak terpakai untuk produk tempatan.

 


Sumber: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

 

Menurut Dewan Ekonomi, cukai jualan LVG import pada asalnya dijadualkan dilaksanakan pada 1 April 2023 namun ia ditangguh bagi membolehkan pemain industri memperhalusi pelaksanaan tersebut.

Kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini telah mewujudkan jurang dan pengenaan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barangan dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal di Malaysia.

 

Harga Barang Tempatan Dalam Talian Turut Naik

Berpandukan maklumat di atas, cukai baharu itu hanya terpakai kepada barangan LVG import bernilai bawah RM500 yang dijual dalam talian sahaja.

Namun, sebaik cukai itu dikuatkuasakan, mengapakah harga jualan produk tempatan dalam talian turut meningkat?

Merujuk kepada ciapan pengguna aplikasi X @IniAlalalannn, beliau turut bertanyakan saluran bagi membuat laporan terhadap peniaga tempatan yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan pelaksanaan cukai LVG.

Dalam masa sama, ciapan pengguna aplikasi X @Boeing747S8 turut mengkritik peniaga dalam talian yang mula menaikkan harga barangan sedia ada (ready stock).

 


Sumber: Aplikasi X

 

Cubaan MyCheck untuk membuat pembelian barangan dalam talian, sekali gus meninjau dakwaan kenaikan harga, mendapati sememangnya terdapat peniaga yang menjual barangan tempatan dan import secara ‘pukul rata’ dengan mengenakan caj cukai 10 peratus LVG terhadap semua produk jualannya.

Penemuan itu seolah-olah mengiyakan pandangan sesetengah pihak bahawa pembelilah yang paling mudah menjadi mangsa kenaikan harga.

Sebagai contoh, peniaga yang menjadi ‘reseller’ barangan import bernilai rendah, tetapi mendapatkan stok jualan secara pukal bernilai lebih daripada RM500, turut mengambil kesempatan dengan mengenakan cukai LVG. Sedangkan mereka tidak menanggung cukai LVG dengan pembelian stok tersebut.

Seperti komen daripada Hari Hamzi seperti dilapor portal Nextstep Malaysia yang berkata, “Nak sokong peniaga tempatan, tetapi pengguna pula yang kena. Siapa pengguna akhir? rakyat B40 yang beli barang bawah RM500,”.

 

Kelebihan Dan Kelemahan Cukai LVG

Tidak dinafikan setiap perkara atau sistem yang diperkenalkan pastinya mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Menurut portal rasmi Kementerian Kewangan (MOF), cukai LVG itu bertujuan memberi kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan.

Tambahan pula terdapat ‘loophole’ dalam sistem cukai jualan sedia ada yang menyebabkan amalan mengelak cukai jualan berlaku dalam kalangan penjual.

Bagaimanapun cukai LVG ini tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang berkenaan sudah dikenakan duti import, duti eksais dan cukai jualan.

Lazimnya amalan di peringkat global tidak mengenakan cukai jualan dan duti import ke atas barang import di bawah nilai ‘de minimis’ (minimum) dan di Malaysia, nilainya ditetapkan pada RM500 seunit barang bagi memudahkan urusan pelepasan kastam serta penghantaran melalui pos dan kurier.

Untuk rekod, penggubalan akta berkaitan pengenaan cukai jualan ke atas LVG diimport ke Malaysia telah diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Menurut MOF, penjual dalam talian tempatan dan luar negara yang menjual LVG diimport ke Malaysia dengan nilai melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan boleh memohon untuk berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 melalui mylvg.customs.gov.my/.

Negara-negara jiran telah menguatkuasakan cukai ke atas LVG, antaranya Singapura berkuat kuasa 1 Jan 2023 dan Indonesia pada 1 April 2023.

Memetik portal Berita Harian yang melaporkan pendapat orang awam, Mohd Naim Abdul Rahim berkata cukai itu membantu peniaga tempatan.

Beliau berkata sebagai peniaga dalam talian tempatan, pengenalan cukai baharu ini akan menyokong usahawan domestik.

Tambahnya, tentulah pelaksanaan cukai ini baik untuk peniaga tempatan kerana dapat bersaing harga dengan produk import. Namun, dari sudut yang lain, sebagai pembeli mungkin tidak menyukainya.

Dalam masa yang sama Harian Metro melaporkan Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata cukai ini juga harus menjadi pemangkin bagi pengeluar Malaysia.

Mereka perlu meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk yang lebih kompetitif serta berdaya saing di pasaran tempatan, malah dapat menembusi pasaran luar negara.

Menurut portal The Vocket yang memetik pandangan Penganalisis Politik dan Sosial Lim Sian See, cukai LVG mempunyai kelemahan kerana sebarang kenaikan harga barang atau jumlah nilai cukai yang dikenakan tidak diberitahu secara jelas.

Katanya, dengan sistem cukai baharu ini, penjual sebenarnya boleh menaikkan harga barang asal tanpa memberitahu pengguna.

Anda juga boleh baca komen pakar ekonomi Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia yang berpendapat sistem cukai negara yang tidak cekap perlu dikaji semula.

 

KESIMPULAN

Justeru apa yang dapat kami rumuskan berdasarkan semakan yang telah dibuat, dakwaan bahawa semua barangan dalam talian dikenakan cukai LVG adalah tidak benar.

Namun sememangnya berlaku kenaikan harga barangan LVG ekoran pelaksanaan cukai tersebut. Malah ada peniaga yang turut mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan, meskipun barangan itu mereka peroleh secara pukal dan tidak dikenakan cukai LVG.

Kita difahamkan pelaksanaan cukai LVG itu bagi membantu peniaga produk tempatan yang terkesan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal naik ke lapan peratus, sedangkan peniaga bukan domestik yang menjual LVG import bernilai bawah RM500 tidak terbeban dengan sebarang cukai, malah menjadi pilihan pengguna kerana dapat menawarkan harga yang jauh lebih rendah.

Dalam masa yang sama, usaha ini juga menggalakkan pengguna menyokong produk tempatan.

Namun, memandangkan rata-rata pembeli produk LVG ini adalah dalam kalangan B40, mungkin pihak berwajib dapat kiranya memikirkan mekanisme sesuai bagi mengatasi kelemahan cukai baharu tersebut agar dapat mengekang peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Para peniaga juga perlulah lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa dengan tidak menekan pembeli semata-mata untuk mendapat keuntungan berganda.

Bagi pengguna pula, kita perlu bijak dalam berbelanja, misalnya membuat pembelian ketika ada tawaran potongan harga sempena perayaan tertentu atau diskaun pada hari gaji dan sebagainya.

Pesan kami di MyCheck, elakkan berkongsi maklumat yang anda tidak pasti kesahihannya bagi mengelakkan kebimbangan awam.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Majalah Forex Malaysia.com I Beli barang import online bernilai bawah RM500 kena cukai mulai 2023 I 5 Ogos 2022

  2. Kementerian Komunikasi I Cukai Jualan Belian Dalam Talian Hanya Terpakai Pada Produk Import Bawah RM 500 I 17 Disember 2023

  3. KLSE Screener I Cukai LVG Melindungi Pembuat Barangan Tempatan | 20 Disember 2023

  4. Buzzkini I Cukai 10% LVG Mula Berkuat Kuasa, Harga Produk Online Alami Kenaikan & Tren Pembelian Menurun I 4 Januari 2024

  5. The Reporter I Cukai LVG: Produk Dalam Shopee, Lazada Mula Naik Harga I 4 Januari 2024

  6. The Vocket I Cukai Barang Nilai Rendah Berkuatkuasa, Produk Dalam Talian Naik Harga I 4 Januari 2024

  7. Harian Metro I Cukai LVG Melindungi Pembuat Barangan Tempatan I 20 Disember 2023

  8. BH Online I Anda Ada Soalan Mengenai LVG? Ini Jawapannya I 17 Disember 2023

  9. Dewan Ekonomi I Cukai Jualan LVG 10 Peratus Mulai I Januari Hanya Terpakai Bagi Barangan Import I 20 Disember 2023

  10. Majalah Labur I Cukai Jualan Ke Atas LVG Import Beri Kesaksamaan Persaingan Kepada Perniagaan Tempatan - MoF I 19 Disember 2023

  11. MyLVG I Jabatan Kastam Diraja Malaysia

  12. SME Info I Memahami Percukaian

  13. MOF I Cukai Jualan Ke Atas LVG Import Beri Kesaksamaan Persaingan Kepada Perniagaan Tempatan

  14. Malaysia Kini ULASAN | Rakyat Mula Terasa Dengan Cukai Barang Bernilai Rendah I 4 Januari 2024

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.