+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tag RFID Tidak Dihantar Secara Rambang, Dakwaan Data Peribadi Boleh Digodam Tidak Benar

Benarkah...

Tag RFID dihantar kepada orang ramai secara rambang dan data peribadi pengguna yang membuat imbasan boleh digodam.

Sumber : WhatsApp / Januari 2024

Hasil

Syarikat Touch ‘n Go sahkan pelekat tag RFID tidak dihantar secara rambang kepada orang awam. Tag tersebut perlu dibeli melalui beberapa platform sah.

31/01/2024 02:12 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial dan perkongsian WhatsApp kononnya terdapat pek sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dihantar secara rambang dan percuma kepada orang ramai oleh pihak tertentu yang dipercayai ‘scammer’.
  • Dikatakan data peribadi di dalam telefon bimbit boleh digodam sejurus pengguna melakukan imbasan untuk mengaktifkan tag RFID tersebut.
  • Syarikat Touch ‘n Go sahkan dakwaan berkenaan tidak benar, malah tag RFID tidak dihantar secara rambang oleh Touch ‘n Go kepada orang awam.
  • Isu berkenaan adalah dakwaan lama yang ditularkan semula.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Seiring dengan senario semasa, penggunaan teknologi digital menjadi satu kemestian yang mana orang ramai kini tidak lagi canggung untuk mengguna pakai, demi memudahkan kehidupan dan urusan seharian.

Pengenalan teknologi RFID misalnya bertujuan untuk memudahkan pembayaran tol dan menjadi mod pembayaran elektronik tambahan selain dari kad Touch n’ Go, Smart Tag dan kad debit, sekali gus melancarkan aliran trafik di lorong tol.

Dengan RFID, tiada kos penyelenggaraan memandangkan tag RFID tidak memerlukan bateri, malah tambah nilai juga boleh dibuat dalam talian kerana sistem RFID menggunakan pelekat yang dihubungkan dengan e-dompet Touch n’ Go. 

 

MENGENAI DAKWAAN

Kini, tular pula dakwaan di media sosial dan juga aplikasi WhatsApp bahawa wujud taktik terbaharu yang digunakan oleh penipu (scammer) dengan menghantar bungkusan mengandungi tag RFID secara rambang kepada orang awam.

Dikatakan data pengguna yang menerima pek pelekat RFID itu akan digodam sekiranya mereka mengimbas kod bar pada muka hadapan pek tersebut.

Mesej tular itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan pek berkenaan dan membuangnya, atau data peribadi mereka akan digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab jika mereka mengimbasnya.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

APA YANG KAMI TEMUI

Isu Lama Kembali Tular

MyCheck memulakan semakan di beberapa laman sosial termasuklah di Facebook. Hasilnya, apa yang kami temui adalah isu ini sebenarnya pernah diperkatakan pada 2022, 2023 dan kembali diperkatakan kini.

 


Sumber: Facebook

 

Ramai pengguna media sosial berkongsi dakwaan sama dengan ada antaranya mendakwa ia adalah taktik penipuan yang terbaharu dan meminta orang ramai supaya berhati-hati.

Anda juga boleh lihat hantaran-hantaran tersebut di sini, di sini, di sini dan di sini.

 

Apa Itu Teknologi RFID?

Bagi memahami isu ini dengan lebih mendalam, MyCheck menghubungi Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sawal Hamid Md Ali, menerusi e-mel bagi mengetahui lebih lanjut mengenai RFID, fungsi dan kegunaannya.

Menurut beliau, RFID adalah satu kaedah komunikasi tanpa wayar yang menggunakan gelombang radio.

Maklumat dan informasi mengenai peralatan yang hendak dikesan akan dimasukkan ke dalam tag RFID, yang mana kemudiannya peranti pembaca atau pengimbas akan membaca maklumat peralatan ini dari jauh.

Secara ringkasnya, tag RFID menyimpan maklumat mengenai peralatan, inventori dan kenderaan manakala pengimbas RFID pula merupakan sejenis alat yang digunakan untuk membaca tag RFID tersebut.

 

Kod Bar TNG RFID Tidak Boleh Menggodam Telefon Pintar

Seterusnya, kami cuba mencari maklumat mengenai kod bar Touch ‘N Go RFID ini.

Adakah kod bar mampu untuk menggodam telefon pintar? MyCheck menemui satu penulisan artikel yang turut membuat semakan fakta dan mengulas mengenai isu ini.

Menurut seorang penulis berkaitan teknologi Dr Andrian Wong, kod bar Touch ‘N Go RFID tidak boleh menggodam telefon pintar.

Menurut beliau, kod bar yang tertera di pek tersebut hanyalah nombor siri yang turut dicetak di bawah kod bar itu. Nombor-nombor siri ini tidak mungkin dapat menggodam telefon pintar.

 

Tujuan Nombor Siri

Apakah tujuan sebenar nombor siri ini?

Menurut Dr Andrian Wong, nombor siri tersebut digunakan untuk mendaftar pelekat RFID, dengan membuat imbasan kod bar menggunakan aplikasi mudah alih ‘Touch n’ Go eWallet’.

Apa yang pengguna perlu lakukan adalah dengan memautkan (link) tag RFID ke akaun e-dompet Touch n’ Go mereka, supaya membolehkan caj tol ditolak secara automatik daripada akaun pengguna.

 

Syarikat Touch ‘n Go Tidak Hantar Pek Pelekat RFID Secara Rambang

Mari kita berbalik kepada dakwaan yang mengatakan terdapat bungkusan pek RFID dihantar kepada orang ramai secara rawak.

Benarkah perkara ini berlaku dan adakah bungkusan tersebut daripada pihak Touch ‘n Go sendiri atau sebaliknya?

Bagi mendapatkan kepastian, MyCheck menghubungi talian Khidmat Pelanggan Touch ‘n Go dan mereka mengesahkan bahawa syarikat itu tidak akan menghantar tag RFID secara rambang kepada orang awam.

Sebaliknya jika pengguna berminat untuk mendapatkan dan menggunakan tag RFID, mereka harus membuat pembelian terlebih dahulu.

Pek pelekat RFID tersebut boleh dibeli secara terus di pusat pemasangan RFID, dan kedai-kedai seperti Watsons, stesen minyak Petronas dan Shell serta pembelian dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, dan platform seperti di bawah:

 


Sumber: Laman Sesawang Touch ‘n Go

 

Jelas di sini, jika pun seseorang itu menerima pek bungkusan berisi tag RFID yang dihantar oleh syarikat kurier, ia bukanlah penghantaran yang dibuat secara rawak tetapi ia semestinya telah dibeli secara dalam talian, seperti di laman membeli-belah Shopee atau Lazada.

 

Pek Pelekat dan Kod Bar Adalah Sah

Syarikat Touch ‘n Go menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram mereka pada 31 Mei 2023 mengesahkan bahawa mesej tular tersebut adalah tidak benar.

Menurut penyedia perkhidmatan e-dompet itu, pek RFID dan kod bar seperti yang ditularkan adalah sah dan bukannya palsu.

Mereka turut menafikan maklumat peribadi pengguna boleh digodam sekiranya pengguna mengimbas kod bar pek berkenaan menerusi aplikasi Touch ‘n Go di telefon bimbit masing-masing.

 


Sumber: Instagram Touch ‘n Go

 

Dalam kenyataan yang sama, syarikat berkenaan bagaimanapun turut mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada dan senantiasa berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan.

Menurut Touch ‘n Go, syarikat itu dan juga e-dompetnya dalam masa sama tidak akan dan tidak pernah membuat panggilan kepada pengguna untuk meminta maklumat peribadi terutamanya mengenai log masuk akaun pengguna.

“Jangan daftar atau memberikan maklumat peribadi, maklumat perbankan seperti nombor akaun, nombor pin, nombor OTP (pas pengesahan transaksi) atau kata laluan,” tegas kenyataan itu.

Pihak Touch ‘n Go turut menegaskan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang cuba mengubah produk keluaran mereka, melanggar terma dan syarat penggunaan produk atau menyebarkan maklumat salah mengenai produk syarikat tersebut.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, MyCheck mendapati dakwaan mengatakan data peribadi pengguna boleh digodam menerusi imbasan kod bar tag RFID adalah tidak benar.

Syarikat Touch ‘n Go sendiri telah menafikan dakwaan itu, bahkan syarikat itu menerusi notis privasinya telah menyatakan komitmen untuk melindungi kerahsiaan maklumat peribadi pengguna.

Jika anda menerima sebarang panggilan, emel atau mesej mencurigakan, yang mendakwa mereka adalah dari Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go eWallet, boleh laporkan atau menentusahkannya dengan menghubungi 03-27148888 atau 03-50223888.

Anda juga boleh memajukan pertanyaan ataupun aduan kepada @MyTouchnGo di Facebook dan Twitter, atau menghantar emel ke careline@touchngo.com.my.

Nasihat kami jika anda tidak pasti mengenai kesahihan sesuatu maklumat,  dapatkan pengesahan daripada pihak yang terlibat sebelum menyebarkannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Ameera Mirinin | 17 Nov 2023

  2. Facebook | Kenrich Poh | 13 Julai 2022

  3. Facebook | Eric Wong | 14 Julai 2022

  4. TechArp| Free TNG RFID Bar Code Scam Fact Check!| 17 Nov 2023

  5. Instagram | Touch 'n Go | 31 Mei 2023

  6. laman sesawang rasmi Touch 'N Go

  7. Facebook | Aji Yusop | 27 Ogos 2022

  8. Facebook | Arein Ewani | 23 Ogos 2022

  9. Facebook | Munie Din | 16 Nov 2023

  10. Facebook | Peter Goh | 6 Jan 2024

  11. TNGD Group’s Privacy Notice

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.