+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Lantikan Kontrak Penjawat Awam Bermula 1 Februari Hanya Langkah Sementara, Lantikan Tetap Akan Dibuat Mengikut Kaedah Baharu

Benarkah...

Tiada lagi lantikan tetap bagi pengambilan penjawat awam pada masa hadapan.

Sumber : WhatsApp / Januari 2024

Hasil

Lantikan penjawat awam secara kontrak hanya sementara dan mereka akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

29/01/2024 08:52 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa pengambilan penjawat awam selepas ini hanya secara lantikan kontrak dan kononnya tiada lagi lantikan tetap.
  • Semakan MyCheck mendapati lantikan kontrak yang diumumkan baru-baru ini merupakan langkah yang bersifat sementara dan ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.
  • Keputusan ini diambil bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang.
  • Kakitangan awam sedia ada tidak terjejas, manakala Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis dikecualikan dalam pelaksanaan ini.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Bekerja dalam sektor perkhidmatan awam sering kali dianggap sebagai satu kelebihan besar. Apa tidaknya, sebagai penjawat awam, seseorang itu memperoleh jaminan pekerjaan yang stabil dan berpendapatan tetap.

Biarpun dikatakan penjawat awam tidak memperoleh gaji selumayan tenaga kerja di sektor swasta, namun pelbagai imbuhan dan keistimewaan yang tersedia menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada warga sektor awam.

Sebagai contoh, kadar faedah pinjaman bank yang lebih rendah, elaun perumahan, pinjaman perumahan, kenaikan gaji setiap tahun dan jumlah cuti tahunan yang lebih banyak dari sektor swasta adalah antara kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam.

Namun pada masa sama, Sistem Saraan Malaysia yang dilaksanakan sejak 2002 boleh dianggap bagaikan kerangka 'rumah lama' yang sudah tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan memerlukan kajian, penambahbaikan serta pelarasan baharu.

 

MENGENAI DAKWAAN

Maka, sejurus pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa pengambilan penjawat awam hanya akan dibuat secara lantikan kontrak, banyak persepsi dan keluhan dari orang ramai didengari.

Ramai menyuarakan kebimbangan terhadap nasib serta masa depan pekerja sektor perkhidmatan awam selepas pelaksanaan ini, termasuklah daripada penjawat awam sendiri yang khuatir sekiranya mereka akan turut terkesan.

Malah, MyCheck sendiri menerima pertanyaan daripada orang awam tentang adakah benar selepas ini tiada lagi pengambilan penjawat awam secara lantikan tetap di pejabat-pejabat kerajaan.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Pengguna media sosial turut tidak terlepas melontarkan pelbagai pandangan termasuk spekulasi tidak enak berhubung isu ini.

 


Sumber: TikTok @beritapertiwi3

 

Justeru, apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pada 23 Januari lepas, Berita Harian melaporkan bahawa kerajaan akan melaksanakan kaedah pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak yang akan bermula pada 1 Februari 2024.

Laporan itu memetik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menerusi satu pekeliling yang diperoleh media tersebut.

Justeru, bagi mendapatkan kesahihan lanjut berkenaan dasar kerajaan dalam isu pelantikan penjawat awam ini, kami merujuk kepada pihak berwajib bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jelas.

Kami terus mencari siaran media rasmi dari pihak JPA sendiri. Menurut kenyataan pada 24 Januari 2024 itu, pengambilan secara lantikan kontrak tersebut adalah merupakan langkah interim iaitu bersifat sementara.

 


Sumber: Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam

 

Tindakan berkenaan dibuat sementara menunggu pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.

Bagaimanapun, pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak itu nanti akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Lantikan ke jawatan tetap ini juga tertakluk kepada prestasi dan perakuan ketua jabatan.

Menurut JPA, kerajaan pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

Keputusan ini juga diambil adalah bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang.

 

Lantikan Baharu Penjawat Awam Kontrak Tidak Melibatkan Kakitangan Sedia Ada

Semakan di dalam Portal rasmi JPA mengesahkan bahawa pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak akan bermula pada 1 Februari 2024.

Ini bermakna ia langsung tidak akan melibatkan penjawat awam sedia ada.

Malah, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penjawat awam sedia ada tidak akan terkesan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang bakal dimuktamadkan.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan kebajikan serta kesejahteraan penjawat awam dan juga pesara akan terus terbela.

Menurut portal Harian Metro, kerajaan memperkenalkan inisiatif kaedah lantikan baharu penjawat awam ini bagi memperkukuhkan lagi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam di Malaysia.

Inisiatif itu yang kini sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Persoalan Berhubung Lantikan Baharu Penjawat Awam Berstatus Kontrak

Di sini kami kongsikan antara soalan-soalan lazim yang dimuat naik dalam portal JPA berhubung isu lantikan tersebut agar dapat menjawab kekeliruan yang timbul berkenaan perkara ini.

1. Mengapakah pengambilan lantikan kontrak (interim) ini diperkenalkan?

Pengambilan secara lantikan kontrak ini adalah merupakan langkah interim (bersifat sementara) ke arah memperkenalkan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam.

 

2. Bilakah pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak (interim) akan bermula?

Pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak (interim) bermula pada 1 Februari 2024.

 

3. Adakah urusan lantikan kontrak (interim) ini melibatkan semua Pihak Berkuasa Melantik (PBM)?

Urusan lantikan kontrak (interim) ini dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan lantikan Pegawai Awam Persekutuan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA). Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis adalah dikecualikan dalam urusan ini

 

4. Bagaimanakah kaedah permohonan untuk lantikan kontrak (interim) ini?

Permohonan untuk lantikan kontrak (interim) adalah sepertimana lantikan tetap sebelum ini menerusi portal SPA9. Semua urusan pengambilan akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

 

5. Berapa lamakah tempoh bagi lantikan kontrak (interim) ini?

Tempoh kontrak pegawai yang dilantik secara kontrak (interim) adalah selama tiga (3) tahun atau sehingga kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa

 

6. Adakah pegawai lantikan kontrak (interim) berpeluang untuk diserap ke jawatan tetap?

Ya. Pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) ini akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu lantikan tetap kelak tertakluk kepada prestasi dan perakuan ketua jabatan.

 

7. Adakah gaji pegawai lantikan kontrak (interim) berbeza dengan jawatan tetap?

Gaji pegawai lantikan kontrak (interim) adalah sama seperti pegawai lantikan tetap.

Anda boleh lihat di sini untuk maklumat selanjutnya.

 

KESIMPULAN

Apa yang dapat kami rumuskan berdasarkan semakan yang telah dibuat, dakwaan tiada lagi lantikan tetap pada masa hadapan bagi pengambilan penjawat awam adalah TIDAK BENAR.

Kami mendapati pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam yang dimaksudkan bukanlah bersifat kekal dan ia tidak terpakai kepada semua penjawat awam yang sedia ada.

Ia hanyalah langkah interim iaitu bersifat sementara sementara menunggu pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.

JPA turut memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak ini akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Pesan kami di MyCheck, rujuk dan semak sebarang maklumat yang anda tidak pasti dengan sumber yang berkredibel bagi mengelakkan kekeliruan seterusnya mencetus kebimbangan serta rasa tidak puas hati ramai pihak.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. JPA I Siaran Media - Lantikan Kontrak Interim Kepada Perjawatan Tetap I 24 Januari 2024

  2. JPA I Soalan Lazim Pengambilan Pegawai Baharu Secara Lantikan Kontrak (cos) Dalam Perkhidmatan Awam I Januari 2024

  3.  Berita Harian |'Penjawat awam kini hanya dilantik secara kontrak' | 23 Januari 2024

  4. Sinar Harian | Penjawat Awam Sedia Ada Pilih Skim Pencen, Tidak Akan Terjejas- Amir Hamzah | 26 Januari 2024

  5. Berita Harian | Lantikan Kontrak Perkhidmatan Awam Bersifat Sementara - JPA I 24 Januari 2024

  6. Harian Metro | Penjawat Awam Dilantik Secara Kontrak Dalam Fasa Interim I 24 Januari 2024

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.