+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bayaran RM500 Hanya Untuk Isi Rumah Berpendapatan RM2,500 Ke Bawah, Bukan Untuk Warga Emas

Benarkah...

Warga emas boleh menuntut bantuan tunai RM500 di Bank Simpanan Nasional (BSN)

Sumber : WhatsApp / Januari 2024

Hasil

Mesej di luar konteks, penyerahan bantuan tunai di BSN hanyalah kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), jumlah bantuan berbeza mengikut kelayakan. 

31/01/2024 07:15 PM


SEKILAS FAKTA 

  • MyCheck menerima mesej forward berhubung dakwaan individu berusia 60 tahun ke atas (warga emas) boleh mula menuntut RM500 di BSN
     
  • Semakan mendapati RM500 ialah jumlah bayaran STR Fasa 1 ialah bagi kategori isi rumah pendapatan RM2,500 ke bawah, bukan bagi warga emas
     
  • Warga emas tiada pasangan yang berdaftar akan menerima RM150, bukan RM500
     
  • Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bayaran STR Fasa 1 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui BSN secara berperingkat mengikut kelayakan mulai 29 Januari
     
  • MyCheck mendapati mesej tular itu diambil di luar konteks dan terdapat maklumat salah dalam mesej berantai tersebut


Sumber: MyCheck Malaysia


LATAR BELAKANG 

Hebahan dalam talian mengenai pemberian wang tunai sememangnya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja, terutama sekali warga emas yang kebanyakannya sudah bersara atau tidak lagi mampu bekerja.

Bagi golongan ini, sebarang bantuan kewangan biasanya amat dialu-alukan. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang berkongsikan maklumat ini dengan niat untuk membantu mereka yang memerlukan.

Tambahan pula, kerajaan Malaysia sememangnya menyediakan pelbagai bantuan kewangan bagi golongan ini. Ini menyebabkan maklumat yang disebarkan lebih mudah dipercayai.


 

MENGENAI DAKWAAN 

MyCheck menerima dakwaan dari WhatsApp dengan status forwarded many times mengatakan individu yang berumur 60 tahun ke atas (warga emas) boleh menuntut RM500 di BSN.

Menurut mesej itu, warga emas hanya perlu mengemukakan kad pengenalan di mana-mana cawangan BSN untuk mendapatkan wang tunai tersebut. 

Mesej tersebut turut memaklumkan bahawa pemberian itu hanya bagi seorang wakil isi rumah.


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI 

Bagi menyiasat kesahihan maklumat ini, MyCheck pertama sekali menyemak jika BSN ada mengumumkan apa-apa sumbangan baru-baru ini. 

Kami menggunakan kata kunci “tuntut wang di BSN” di enjin carian Google dan menemui keputusan carian seperti di bawah: 


Sumber: Google

 

Sumbangan Tunai Rahmah

Sebelum kita telusuri isu ini dengan lebih lanjut, MyCheck akan terangkan terlebih dahulu mengenai STR. 

STR bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan menghadapi cabaran kos sara hidup.

Ia mula diperkenalkan pada Januari 2023 di bawah MOF dan diagihkan kepada penerima yang layak melalui beberapa fasa pembayaran. 

Pada 2023, sebanyak empat fasa pembayaran telah dilaksanakan.

 

STR 2024

Menurut kenyataan media MOF pada 26 Januari 2024, kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun 2023. 

Peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lepas dalam usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Pembayaran Fasa 1 bagi 2024 itu mula disalurkan pada 29 Januari 2024 mengikut kelayakan dan kategori ditetapkan serta berdasarkan penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR. 

 

Pembayaran Tunai STR Di BSN Hanya Untuk Penerima Yang Tiada Akaun Bank

Seterusnya, kami ke Facebook rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh.

Ketika kami menatal (scroll) kandungan Facebook LHDN, kami menjumpai hantaran poster yang dimuat naik pada 26 Januari 2024 seperti di bawah.


Sumber: LHDN

 

Menurut poster itu, terdapat dua kaedah pembayaran yang dikreditkan kepada penerima iaitu: 

  1. Bagi penerima yang tiada akaun bank, bantuan boleh dituntut melalui penunaian (cash) di cawangan BSN. 

  2. Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bantuan akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing. 
     

Jelas di sini, tidak semua pembayaran diberikan secara tunai seperti dalam dakwaan. 

Namun, adakah semua penerima akan mendapat kadar bayaran RM500 seperti yang ditularkan?

 

Bayaran RM500 Hanya Disalurkan Kepada Penerima Isi Rumah RM2500 Ke Bawah

Pada 28 Januari 2024, Kementerian memuat naik hantaran gambar di Facebook berhubung kenyataan MOF seperti di bawah. 


Sumber: MOF

 

Melalui maklumat di atas, dua perkara dapat dijelaskan:

  1. Bayaran RM500 hanya diberikan kepada penerima yang berpendapatan isi rumah RM2,500 ke bawah. 

  2. RM150 diberikan kepada warga emas yang tidak mempunyai pasangan, bukan RM500 seperti yang didakwa. 

 

Malah, tiada apa-apa syarat mengatakan berapa isi rumah yang layak mendapat bantuan tersebut. 

Maklumat yang sama telah dimuat naik oleh di laman Facebook LHDN pada 26 Januari 2024. 

 

KESIMPULAN 

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan mengatakan pemberian tunai RM500 kepada warga emas di cawangan BSN sebagai tidak benar. 

Semakan kami mendapati perkara ini diambil diluar konteks dan terdapat maklumat salah dalam mesej berantai tersebut. 

Keadaan ekonomi pada masa ini sememangnya mencabar dan ini menyebabkan ramai pihak mudah berharap dan percaya kepada makluman dalam talian mengenai apa jua bantuan.

Namun, kami nasihatkan anda untuk terus beringat membuat semakan dahulu sebelum mempercayai apa-apa maklumat yang anda terima terutamanya di media sosial dan laman sembang seperti WhatsApp. 

Jangan mudah ‘melompat’, ingat “Jangan Sebar Melulu, MyCheck dulu”. 

–MYCHECK.MY–-

 

RUJUKAN 

  1. Berita Harian | Bantuan Tunai B40 kini Sumbanganb Tunai Rahmah | 16 Januari 2023

  2. MOF | Siaran Media STR 2024 | 26 Januari 2024

  3. Facebook | LHDN | 26 Januari 2024

  4. Facebook | MOF | 28 Januari 2024

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.