+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Inisiatif MyLesen B2 Tahun 2024 Memang Wujud, Hanya Melalui JPJ

Benarkah...

Adanya program MyLesen B2 Tahun 2024 yang ditawarkan percuma?

Sumber : Facebook / Januari 2024

Hasil

Program MyLesen B2 ditawarkan kepada golongan B40 untuk mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2 (motosikal). Permohonan menerusi platform rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

05/02/2024 08:37 PM

SEKILAS FAKTA 

  • MyCheck menerima mesej daripada orang awam yang bertanyakan mengenai program MyLesen B2 Tahun 2024, yang dikhuatiri tidak wujud dan hanyalah cubaan scam

  • Semakan MyCheck mendapati inisiatif itu sememangnya sah dan merupakan program yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia termasuk kos ujian dan latihan untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2.

  • Mereka yang layak boleh membuat permohonan melalui JPJ.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG 

Memiliki lesen memandu kini boleh dikatakan sebagai satu keperluan wajib bagi setiap individu memandangkan ia memberikan kebebasan, kemudahan mobiliti dan kemandirian untuk bergerak sama ada di kota mahupun desa.

Seseorang individu itu perlu lulus ujian memandu dan memperoleh lesen memandu yang sah di Malaysia terlebih dahulu sebelum dibenarkan memandu kenderaan bermotor di jalan raya berdasarkan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Namun, ada yang tidak memiliki lesen memandu, antaranya kerana ketidakmampuan membiayai kos bagi memperolehnya.

Oleh kerana itu, pastinya orang ramai akan mudah tertarik dengan sebarang tawaran yang ditularkan termasuklah peluang untuk mereka memperoleh lesen memandu yang sah.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej daripada orang awam menerusi WhatsApp yang bertanyakan kesahihan program MyLesen B2 Tahun 2024, yang dikhuatiri adalah satu bentuk penipuan (scam).

Mesej itu turut disertakan satu pautan borang untuk orang ramai membuat permohonan.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

APA YANG KAMI TEMUI 

Program MyLesen B2 2024 Sememangnya Wujud 

Langkah pertama MyCheck adalah membuat carian di Google untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini. 

Menggunakan kata kunci ‘MyLesen B2 2024’, kami temukan artikel Astro Awani bertarikh 8 Julai 2023.

Memetik artikel itu, program MyLesen B2 yang diperkenalkan pada tahun lepas dengan peruntukan RM2.7 juta di bawah Belanjawan 2023 kerajaan Malaysia telah memberi manfaat kepada 9,000 orang dari golongan B40 di seluruh negara.

Pada Belanjawan 2024 pula, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 untuk tahun 2024.

Sinar Harian pula melaporkan bahawa sebanyak 35,000 kuota permohonan lesen motosikal B2 percuma telah dibuka kepada orang ramai untuk tahun 2024.

Program itu merupakan usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi JPJ untuk menaiktaraf kehidupan B40 serta membuka lebih peluang untuk menambah pendapatan, sekali gus meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pemilikan lesen memandu.

 

Borang Pendaftaran MyLesen B2 2024

Kami teruskan carian di platform media sosial bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif tersebut daripada JPJ sendiri.

 


Sumber: Facebook JPJ

 

Pada 8 Dis 2023, JPJ memuat naik hantaran di laman Facebook rasminya berkenaan program MyLesen B2 untuk tahun 2024 yang telah dibuka pendaftarannya.

Hantaran itu turut memaparkan pautan borang penyertaan dalam bentuk kod ‘QR’ untuk orang ramai mengimbasnya berserta syarat-syarat untuk memohon.

Program ini terbuka kepada golongan B40 dan tanggungan, selain pemohon perlulah berwarganegara Malaysia, berumur 16 tahun dan ke atas, sihat fizikal dan mental, belum memiliki sebarang lesen memandu serta bebas senarai hitam mahkamah, JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut JPJ, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel di mylesenb2@jpj.gov.my.

Anda juga boleh semak butiran dan perincian permohonan program itu di sini.

 

Orang Ramai Khuatir Program MyLesen B2 Adalah Scam

Berbalik kepada mesej yang dihantar kepada MyCheck, ia mencerminkan sikap cakna dan berwaspada orang ramai terhadap kemungkinan iklan yang ditawarkan adalah satu bentuk penipuan.

Ia juga merupakan satu respons positif orang ramai yang dilihat lebih berhati-hati dalam menerima informasi berkaitan program bantuan yang dikongsi oleh pihak ketiga.

MyCheck sebelum ini pernah melaporkan berkenaan pautan inisiatif bantuan yang telah dijadikan modal dan taktik ‘scammer’ bagi melakukan aktiviti penipuan. Antara laporannya seperti di sini dan di sini.

Oleh sebab itu, tidak dinafikan pautan atau hebahan sedemikian boleh menimbulkan keraguan kepada orang ramai yang berminat untuk memohon.

Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mendedahkan bahawa terdapat penerima daripada golongan B40 menolak MyLesen B2 kerana takut menjadi mangsa ‘scammer’ memandangkan ia dilaksanakan secara percuma.

“Mereka tidak percaya inisiatif ini dilaksanakan secara percuma, mungkin mereka berhati-hati kerana takut menjadi mangsa scam,” katanya.

 


Sumber: TVS

 

Dalam pada itu, Datuk Hasbi turut menekankan bahawa program MyLesen B2 bukan sindiket 'lesen terbang', malah setiap penerima manfaat wajib mengikut prosedur pembelajaran dan ujian JPJ sebelum menerima Lesen Memandu Malaysia motosikal.

Tegasnya, tiada sebarang keistimewaan atau jalan pintas diberikan kepada peserta program itu malah mereka perlu menghadiri kelas, latihan di litar dan juga lulus ujian JPJ, meskipun kosnya ditanggung kerajaan.

 

Semak Maklumat Lanjut Mengenai MyLesen B2 Di Platform Rasmi JPJ

MyCheck tidak menafikan inisiatif ini berkemungkinan boleh disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, adalah lebih selamat untuk anda berhati-hati setiap masa dengan menyemak butiran kemaskini mengenai MyLesen B2 di platform rasmi JPJ seperti di laman web atau media sosial JPJ.

Semakan di platform rasmi amat penting bagi mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh dari semasa ke semasa.

Hal ini kerana, ‘scammer’ sering menyalahgunakan inisiatif dan bantuan kerajaan dengan tujuan memancing orang awam agar mereka terjebak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Akibatnya, berlaku scam atau pancing data (phishing) yang menyebabkan kerugian besar wang ringgit, selain ketirisan maklumat.

 

KESIMPULAN 

Semakan MyCheck mendapati program MyLesen B2 sememangnya wujud dan telah dibuka bagi tahun 2024.

Bagaimanapun, untuk sebarang maklumat lanjut termasuk bagi membuat permohonan, orang ramai disaran agar merujuk terus pada platform rasmi JPJ.

Pesanan kami di MyCheck, teruskan membuat semakan fakta terhadap sebarang maklumat yang diterima.

Tindakan semak fakta ini bukan sahaja boleh menghindarkan anda daripada menjadi mangsa penipuan ekoran mempercayai bulat-bulat maklumat palsu yang ditularkan, tetapi dalam masa sama juga untuk mengelakkan anda terlepas peluang jika ia sebenarnya maklumat sahih mengenai sesuatu bantuan.

– MYCHECK.MY –

 

RUJUKAN 

  1. Astro Awani | MOT mohon RM10 juta untuk program MyLesen B2 tahun depan | 8 Julai 2023 

  2. Kosmo | Belanjawan 2024: Kerajaan terus tanggung bayaran lesen B2, e-hailing, teksi | 13 Oktober 2023 

  3. Sinar Harian | Kuota 35,000, Permohonan Lesen Percuma Program MyLesen B2 2024 Kini Dibuka. Mohon Sekarang! | 8 Disember 2023

  4. Kosmo! | Program MyLesen B2 Bukan ‘Lesen Terbang’ | 9 Ogos 2023

  5. Facebook | Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia | 8 Disember 2023

  6. MyCheck | Pautan Semakan Bagi Menuntut Wang RM1,000 Dalam MyKad Adalah Palsu | 16 September 2023

  7. MyCheck | Pautan Semakan Penerima Bantuan RM600 Di Telegram Adalah ‘Scam’ Pancing Data | 1 September 2023

  8. TV Sarawak | Ada Yang Tolak My Lesen B2 Kerana Anggap Ia 'scam' -Hasbi | 29 Oktober 2023

  9.  JPJ | Website

  10. Facebook | Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.