+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Guru Hilang Wang Akaun Bank Islam Kerana Terjebak Penipuan ‘Phishing’, Bukan Kerana Daftar PADU

Benarkah...

Ramai guru kehilangan duit simpanan dalam akaun Bank Islam selepas mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU).

Sumber : WhatsApp / Februari 2024

Hasil

Siasatan polis mendapati kehilangan wang dalam akaun bank membabitkan guru di Dungun, Terengganu adalah disebabkan oleh perbuatan scammer.

14/02/2024 03:47 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial ramai guru di Terengganu kehilangan wang di dalam akaun Bank Islam selepas mendaftar PADU.

  • Berikutan itu, ramai pihak menyuarakan keengganan mendaftar PADU kerana bimbang ditimpa nasib sama.

  • Siasatan polis mengesahkan insiden itu adalah angkara scammer dan tiada kaitan dengan pendaftaran PADU.

  • Semakan MyCheck mendapati scam itu turut melibatkan mereka yang belum mendaftar PADU.

 


Sumber : MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Kerajaan Malaysia telah melancarkan sistem PADU pada 2 Jan 2024, yang mana rakyat berusia 18 tahun ke atas digalakkan untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam pangkalan data itu.

Antara objektif PADU ialah untuk memastikan rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar serta bantuan dan perlindungan sosial.

Namun, ada pihak yang masih enggan mendaftar atau mengemaskini maklumat di sistem pangkalan data itu kerana khuatir tentang keselamatan data peribadi.

Kebimbangan ini telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahkan sistem PADU atas pelbagai kejadian scam dan penggodaman (hacking), termasuk yang melibatkan kehilangan wang simpanan individu.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber : WhatsApp MyCheck

 

MyCheck menerima WhatsApp dari orang awam pada 11 Feb 2024 yang bertanya mengenai kesahihan dakwaan bahawa ramai guru telah kehilangan wang simpanan akaun Bank Islam mereka sebaik sahaja membuat pendaftaran PADU.

Mesej WhatsApp itu juga menyatakan bahawa dakwaan berkenaan telah banyak dikongsikan di kumpulan laman sembang keluarga dan rakan-rakan. 

Akibatnya ramai yang berasa bimbang sekiranya akan mengalami nasib sama jika telah mendaftar PADU. Ada juga pihak yang memutuskan untuk tidak mendaftar PADU rentetan dakwaan tular ini. 

Dalam situasi ini, kami di MyCheck faham akan kegusaran orang ramai ketika ini. Manakan tidak, duit hasil titik peluh yang diusahakan selama ini berisiko hilang sebegitu sahaja. 

Apa yang penting, sekiranya ada menerima sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya, jangan panik. Biar MyCheck semak kesahihannya untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Mangsa-mangsa Merupakan Guru di Terengganu

MyCheck memulakan semakan dengan membuat carian rawak di semua platform media sosial dan enjin carian Google.

Menggunakan kata kunci ‘guru hilang duit selepas daftar PADU’ ternyata isu berkenaan sedang hangat dibincangkan di pelbagai platform termasuk laman sembang seperti WhatsApp dan Telegram.

Segelintir warganet mempertikaikan dakwaan tersebut dan menganggap kes kehilangan duit itu hanyalah rekaan. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah sekiranya benar kes tersebut berkaitan PADU, mengapa hanya golongan guru yang menjadi mangsa?

Ada juga yang mendakwa salah seorang mangsa yang kehilangan duit itu belum lagi mendaftar dengan PADU. Kami kongsikan tangkap layar reaksi warganet seperti di bawah.

 


Sumber : Facebook

 

Rujukan kami di laman semakan fakta Sebenarnya.my juga menafikan dakwaan kes kehilangan duit melibatkan guru-guru itu disebabkan pendaftaran PADU.

 

Apa kata pihak polis dan Bank Islam?

Ketika mengulas mengenai isu berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu laporan berita pada 9 Feb 2024 menjelaskan bahawa kejadian tersebut adalah disebabkan oleh perbuatan 'scammer' atau sindiket penipuan, malah langsung tiada kaitan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata siasatan awal mendapati terdapat unsur mangsa tertipu dengan taktik phishing atau pemancingan maklumat menerusi akaun Tabung Haji dan Bank Islam.

 


Sumber : NSTP

 

Seterusnya Kementerian Ekonomi menerusi Facebook rasminya menjelaskan tiada sebarang aduan berkenaan isu tersebut di dalam sistem pengurusan aduan awam kementerian itu.

Bagaimanapun, isu ini telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kami turut menatal laman Facebook Bank Islam untuk mendapatkan maklumat dari pihak bank berkenaan tetapi tidak menemui sebarang kenyataan rasmi berhubung isu ini.

Walau bagaimanapun, laman Facebook Bank Islam aktif membuat hantaran mengingatkan pengguna berkenaan isu penipuan pancingan data yang membolehkan pengguna kehilangan duit di dalam akaun mereka. Anda boleh lihat di sini dan di sini .

 


Sumber : Facebook Bank Islam

 

Apa Kata Teknologis?

Kami meneruskan carian dengan merujuk suatu hantaran oleh teknologis profesional Ts. Adil Hidayat bin Rosli melalui laman Facebook kendaliannya Pendakwah Teknologi.

 


Sumber : Facebook Pendakwah Teknologi

 

Berdasarkan maklumbalas mangsa dan kenyataan pihak polis, beliau menyimpulkan bahawa kes guru kehilangan wang simpanan sememangnya berlaku namun tiada kaitan dengan sistem PADU

Jika dilihat pada rajah yang kami kongsikan daripada Facebook Pendakwah Teknologi itu, salah seorang mangsa turut memaklumkan beberapa minit sebelum akaun bank mereka diceroboh, akaun Kementerian Pendidikan guru-guru telah digodam. 

Walaupun percaya kes itu disebabkan angkara scammer, beliau masih belum dapat memastikan teknik scam yang digunakan untuk melesapkan wang mangsa daripada akaun bank masing-masing.

 

KESIMPULAN 

Apa yang dapat kami rumuskan berdasarkan semakan yang telah dibuat, dakwaan ramai guru kehilangan duit simpanan dalam akaun Bank Islam selepas mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) adalah TIDAK BENAR.

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, terdapat juga mangsa yang belum lagi mendaftar PADU, iaitu beberapa guru di Terengganu, turut menjadi antara mangsa yang kehilangan wang simpanan.

Kami juga mengambil kira pandangan pihak yang ahli dan mahir dalam isu ini termasuklah siasatan pihak polis yang mengesahkan insiden kehilangan duit dalam bank akaun mangsa adalah angkara scammer yang menggunakan taktik pancingan data.

Oleh itu pesan kami di MyCheck, dalam era serba canggih yang memerlukan kita berurusan secara dalam talian, orang ramai juga harus mempersiapkan diri dengan pengetahuan berkaitan jenayah siber agar tidak tersilap langkah dan berputih mata.

Paling penting rujuk dan semak sebarang maklumat yang anda tidak pasti dengan sumber berkredibiliti bagi mengelakkan anda menjadi antara pencetus kebimbangan serta rasa tidak tenteram orang ramai.

-- MYCHECK.MY --

 

 RUJUKAN :

  1. Sebenarnya.my I Dakwaan Kehilangan Duit Dari Akaun Bank Selepas Daftar PADU Adalah Tidak Benar | 8 Februari 2034 

  2. Berita Harian I Wang Simpanan Hilang Tiada Kaitan Dengan Sistem PADU - Polis I 9 Februari 2024 

  3. Sinar Harian I Waspada Mesej Tular Dakwa Duit Lesap Selepas Daftar PADU I 8 Februari 2024 

  4. Harian Metro I Hilang Wang Dalam Bank Tiada Kaitan Dengan PADU I 10 Februari 2024 

  5. Majoriti.com I Kehilangan Duit Dalam Akaun Para Pendidik Besar Kemungkinan Tiada Kaitan Dengan Padu I 9 Februari 2024 

  6. Suara Sarawak I Kes Hilang Duit Lepas Pendaftaran PADU Adalah Palsu | 9 Februari 2024 

  7. Facebook Pendakwah Teknologi 

  8. Facebook Kementerian Ekonomi- Laman Rasmi

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.