Terdapat harimau berkeliaran di kawasan perumahan Kemensah Height, Selangor
Sumber : WhatsApp & Facebook / Mei 2022
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu namun video harimau melintas jalan yang disertakan bersama mesej tular adalah kejadian yang berlaku di India.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Berita mengenai haiwan liar terutamanya harimau atau turut dikenali sebagai ‘Pak Belang’ muncul makin kerap kedengaran sejak kebelakangan ini.
Tahun ini sahaja, sudah beberapa berita melaporkan tentang penampakan harimau di kawasan-kawasan orang ramai.
Pada Januari lepas, pembukaan sekolah ‘disambut’ dengan kehadiran pak belang di luar pagar di sebuah sekolah di Gua Musang, Kelantan.
Disambung pula pada bulan Februari apabila kecoh di TikTok menunjukkan kelibat haiwan liar ini di laluan Simpang Pulai Cameron Highland.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu mesej di WhatsApp mendakwa penampakan seekor harimau berkeliaran di Jalan Tropika, Kemensah Height, Hulu Klang, Selangor.
Menurut mesej berkenaan yang dihantar berkali-kali (forwarded many times), seorang pengawal keselamatan telah melihat haiwan itu di tengah-tengah sebatang jalan pada 12 tengah malam, 20 Mei 2022.
Penduduk sekitar juga dinasihati agar berhati-hati.
Selain mesej bertulis, turut disertakan rakaman suara mengenai kelibat haiwan liar itu di kawasan berkenaan yang mencetuskan kebimbangan orang ramai, khususnya pihak pengurusan penduduk di kawasan sekitar.
Menerusi pesanan suara itu, kedengaran seorang lelaki bernama Encik Fadzil memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi penduduk yang memaklumkan mengenai kejadian terbabit.
Selain itu, beberapa mesej berangkai WhatsApp berhubung dakwaan tersebut turut disertakan dengan video harimau melintas jalan.
Dakwaan berkenaan turut tular di media sosial Facebook.
APA YANG KAMI TEMUI
Video Sama Pernah Tular
MyCheck memulakan semakan dengan meneliti mesej yang tular.
Perkara pertama yang ‘mencuri’ perhatian kami adalah video yang disertakan dalam mesej itu yang menunjukkan seekor harimau sedang berjalan melintasi sebatang jalan.
Kami seperti pernah melihat video itu sebelum ini.
Hasil semakan lanjut mendapati memang benar video itu pernah kami teliti dan ditulis dalam laporan MyCheck bertajuk ‘Pak Belang’ Yang Didakwa Kelihatan Di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands TIDAK SAMA Dengan ‘Pak Belang’ di Tamil Nadu, India’ yang diterbitkan pada 6 Februari 2022.
Berdasarkan semakan kami sebelum ini, harimau yang melintas sebatang jalan tersebut bukan berlaku di Kemensah atau kawasan sekitarnya seperti Melawati.
Kejadian itu juga bukan berlaku di Malaysia tetapi sebenarnya di India.
Kami berikan anda tangkap layar video berdurasi 15 saat tersebut dan laporan akhbar di India menunjukkan video yang sama.
1. Video harimau yang dikatakan berkeliaran di Kemensah
2. Video tular di India
Jelas menunjukkan video tersebut adalah sama dan pernah tular di India pada Februari lepas.
Namun, hantaran WhatsApp yang baru tersebar ini adalah pada tarikh 20 Mei 2022.
Menurut laporan akhbar di India seperti One India dan India Today, kejadian ini berlaku di sebuah lebuh raya di Tamil Nadu, India.
Carian kami juga menunjukkan memang wujud lebuh raya tersebut di India. Anda juga boleh semak di sini.
Maka, jika ada yang mengaitkan video ini dengan penampakan harimau di kawasan Kemensah, ia adalah tidak benar.
Jadi, jika video itu bukan kejadian di Kemensah, bagaimana pula dengan mesej bertulis dan pesanan suara menerusi WhatsApp mengenai penampakan harimau di kawasan terbabit? Jom kita semak lagi.
Perincian Mesej Pesanan Suara
MyCheck perincikan pesanan suara dalam bahasa Inggeris itu kepada bahasa Melayu.
Berdasarkan pesanan suara itu, seorang individu memperkenalkan dirinya sebagai Fadzil, pengerusi kawasan berkenaan.
Menurut Fadzil, beliau telah mengesahkan dengan pihak Zoo Negara bahawa harimau yang dikatakan berkeliaran itu bukan milik pihak zoo berkenaan sebaliknya ia adalah haiwan liar dari hutan, yang dikatakan lebih berbahaya.
Fadzil turut menasihati semua penduduk di kawasan Kemensah, Taman Melawati untuk menjaga keselamatan dan tidak keluar rumah ke lokasi sekitar yang dikenal pasti itu buat masa ini.
Beliau turut memaklumkan pihak pengurusan penduduk telah membuat laporan polis manakala beliau turut melaporkannya kepada Jabatan Pertahanan Awam untuk siasatan lanjut.
Apa Respons Pihak Berkuasa?
Menurut Astro Awani, pihak polis telah mengesahkan menerima laporan orang awam yang mendakwa terserempak dengan seekor harimau di kawasan perumahan Kemensah Heights. (laporan paling terkini setakat artikel ini ditulis).
Namun bagi menjamin keselamatan penduduk setempat, polis mempertingkatkan rondaan di kawasan terbabit.
Pihak Perhilitan Selangor juga sudah berusaha mengesan harimau tersebut, namun tidak menemui sebarang jejak mahupun kesan tapak kaki haiwan liar itu.
Menurut laporan Bernama, Zoo Negara turut mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari kandang di bawah pengurusan mereka.
Mengapa Penampakan Harimau Dikaitkan Dengan Zoo Negara?
Ini kerana kedudukan Zoo Negara adalah terletak bersebelahan Kemensah Height, kawasan yang didakwa kelihatan kelibat Pak Belang itu.
Untuk gambaran lebih jelas kami sertakan tangkap layar yang kami ambil dari google earth.
Siasatan Diteruskan, Usaha Menjejaki Pak Belang Masih Diteruskan
Setakat laporan ini ditulis (21 Mei 2022), pihak berkaitan masih menjalankan siasatan termasuk menjejaki haiwan yang didakwa berkeliaran itu.
Justeru kesahihan dakwaan mesej dan pesanan suara mengenai kelibat Pak Belang di Kemensah Height belum dapat dipastikan lagi.
Namun, jangan bimbang, MyCheck akan mengemas kini laporan ini termasuk maklumat selanjutnya dari pihak berkuasa.
KESIMPULAN
MyCheck mengajak anda semua untuk kekal prihatin dengan alam.
Terdapat pelbagai faktor haiwan liar boleh berkeliaran di kawasan penempatan manusia.
Mungkin berpunca daripada sifat manusia sendiri yang rakus mengorek bumi, meneroka hutan belantara bagaikan alam ini hanya manusia yang punya.
Bak kata orang, ‘jika kita tak kacau ‘mereka’, mereka pun tak kacau kita’. Fikir-fikirkan.
Selain itu, sebarang maklumat jangan sebar melulu, semaklah dahulu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.